TAQWA MELIMPAHKAN KEKAYAAN… - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

TAQWA MELIMPAHKAN KEKAYAAN…


Sebelum tidur wahai dua bidadari kesayanganku, berdoalah mohon diberikan taqwa...


Anda rungsing?
Wahai remaja,
Di sekolah mahupun di IPT,
Anda sedang rungsing? Kenapa? Pinjaman atau biasiswa belum masuk? Peperiksaan makin hampir? Tak ada idea nak buat karangan? Atau apa?
Tahukah anda,
Allah menjamin kekayaan yang melimpah buat orang yang bertaqwa. Orang bertaqwa kaya dengan qanaah iaitu merasa cukup apa yang ada, kaya penyelesaian, kaya ilham dan kaya jiwa dengan Allah SWT. Setiap masalah yang membelit kehidupan ada ubatnya dengan taqwa. Malah taqwa memandu kepada kebaikan dan mencegah segala kemaksiatan.

Kaya Jalan Keluar

Orang bertaqwa sering menemukan penyelesaian terhadap setiap masalah yang menimpa. Kadangkala penyelesaian itu datang tidak terduga daripada sumber yang tidak disangka-sangka. Ia menenangkan hati dan fikiran. Firman Allah SWT:
Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka. (Surah al-Thalaq: 2-3).

Kaya Kemampuan Membezakan Yang Hak dan Batil

Ketaqwaan mencelikkan mata hati untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Firman Allah SWT:
Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqan (kemampuan membezakan antara yang hak dan yang batil). (Surah al-Anfal: 29).
Furqan yang tumbuh di dalam hati ini mampu menyingkap rahsia kehidupan, menghadiahkan ketenteraman dan kedamaian.

Kaya Cahaya Keampunan

Orang yang bertaqwa sentiasa akan ditunjuki cahaya oleh Allah SWT. Cahaya itu memandu kehidupan malah sentiasa dinaungi keampunan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hadid:
Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, nescaya Allah memberikan dua bahagian daripada rahmat-Nya kepadamu, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah al-Hadid:28)
Firman Allah SWT lagi:
Hai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberi kepadamu furqan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahan kamu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar. (Surah al-Anfal: 29.

Taqwa Natijah Iman

Taqwa tidak akan dapat dicapai tanpa proses. Ia buah daripada keimanan yang sentiasa dibajai dan disirami dalam diri dengan takut dan harap kepada Allah SWT. Sebahagian ulama’ mendefinisikan taqwa sebagai keadaan di mana Allah tidak melihat kamu berada dalam larangan-larangan-Nya dan tidak kehilangan kamu dalam perintah-perintah-Nya. Taqwa juga bermaksud mencegah diri daripada azab Allah dengan membuat amal soleh dan takut kepada-Nya di kala sendirian atau di hadapan orang.

Ibarat Melalui Jalan Berduri

Riwayat yang sahih mengisahkan bahawa Umar al-Khattab r.a bertanya kepada Ubai bin Kaab tentang taqwa. Ubai r.a menjawab dengan anologi yang sungguh berkesan, “Bukankah anda pernah melalui jalan yang berduri?” Tanya Ubai kembali.
“Ya,” jawab Umar.
“Apa yang anda lakukan saat itu?” Tanya Ubai lagi.
“Saya bersiap untuk berjalan dengan hati-hati.”
“Itulah taqwa,” simpul Ubai.

Duri Kehidupan

Kehidupan ini penuh dengan duri syahwat, duri maksiat, duri angan-angan kosong, duri keraguan dan duri kejahilan. Andai tidak menyiapkan diri untuk melangkah dengan penuh waspada, duri-duri itu akan menembusi langkah kita. Sebelum melangkah kita perlu mengenal mana pijakan yang selamat dan mana pijakan yang membinasakan kerana fitrah insan mengenal mana yang baik dan buruk. Kesiapan dan kewaspadaan itulah ibaratnya taqwa.
Alam remaja yang mencabar hanya berjaya diharungi dengan bekalan taqwa. Taqwa bukan sesuatu yang fantasi tapi suatu yang realiti bagi pemburunya. Taqwa suatu natijah dan tiada natijah tanpa usaha merebutnya. Ayuh, sama-sama kita tempuhi alam remaja ini dengan usaha pembinaan jiwa dan akhlak serta usaha memerangi nafsu syaitan agar nanti kita dimuliakan Allah dengan taqwa. Kemanisan taqwa akan menjadikan kita benar-benar merasa puas dan kaya!
TAQWA MELIMPAHKAN KEKAYAAN… Reviewed by Fatimah Syarha on 11:05:00 Rating: 5 Sebelum tidur wahai dua bidadari kesayanganku, berdoalah mohon diberikan taqwa... Anda rungsing? Wahai remaja, Di sekolah mahupun di ...

7 comments:

  1. Subhanallah..comelnya bidadari akak...
    ^_^..
    Peluk cium saya utk kedua2 bidadari akk ya..
    Semoga keduanya menjadi bidadari yang bertaqwa dan menyenangkan abi dan umi..^_^

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah, kak Haura' sangat penyayang pada adiknya. Tengoklah gelagatnya, suka meniru aksi ummi menyusukan si adik

    ReplyDelete
  3. ^_^, Kak Haura kecil2 lagi dah pandai tiru ummi ya..Insya Allah dewasa nanti Kak Haura akan jadi seperti ummi juga..Jaga adik baik-baik ya..^_^

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum kak fatimah .. apa nama anak2 comey ni ? :)

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum kak fatimah .. apa nama anak2 comey ni ? :)

    ReplyDelete
  6. Waalaikumussalam wbt. Al-Haura' Maqsurah dan al-Qoosirah Thorfina

    ReplyDelete
  7. Apa maksud nama tu ustazah?

    ReplyDelete