Karier Wanita dalam Fiqih al-Qaradhawi - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Karier Wanita dalam Fiqih al-Qaradhawi

"Abang, indah melukis impian masa depan bersamamu :)"
“Abang nak tahu impian Sayang untuk para bidadari kita… Sayang impikan bidadari-bidadari kita belajar setinggi mungkin agar ilmu memuliakannya di dunia dan di akhirat.  Jika dia ingin berkerjaya, biarlah kerjaya itu mempunyai masa yang anjal dan mesra keluarga. Moga dengan ilmu dan kepakarannya, dia tidak perlu mencari kerja sebaliknya kerja dan masyarakat yang memerlukannya hingga  dia dipanggil keluar berbakti kepada masyarakat. Dalam masa yang sama, keluarganya terus menikmati banyak masa bersamanya, bahagia, terjaga dan penuh cinta.”

“Alhamduluillah, tinggi impian Sayang. Moga tinggi juga usaha dan doa kita untuk mencapainya…:)

Karier Wanita dalam Fiqih al-Qaradhawi

Dr Yusuf al-Qaradhawi ditanya:
“Apa hukum wanita bekerja? Iaitu bekerja di luar rumah sebagaimana lelaki? Bolehkah wanita berkerjaya? Bukankah kewajipan wanita berada di  dalam rumahnya?”
Syeikh al-Qaradhawi menjawab:

Allah Memberi Tanggung Jawab Kepada Manusia dengan Kerja (Amal)

                Wanita adalah manusia sebagaimana lelaki. Lelaki sebahagian daripada wanita dan wanita sebahagian daripada lelaki. Sebagaimana firman Allah SWT, “Sebahagian kamu adalah keturunan daripada  sebahagian yang lain.” (Ali Imran: 195).
                Allah menciptakan manusia untuk bekerja, bahkan Dia ingin tahu siapa yang membuat kerja (amal) secara terbaik. “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) “ (Surah al-Mulk, ayat 2).

Keperluan Ummah dan Dunia Kepada Tenaga Wanita

                Wanita sebagaimana lelaki dibebani untuk bekerja (amal). Dan kerja yang dilakukan dengan terbaik akan memperolehi hasil terbaik. Firman Allah SWT, “Rab (Tuhan) mereka memperkenankan (permohonan) mereka (dan Allah berfirman): “Aku (Allah) tidak akan mempersiakan amalan orang yang beramal di kalangan kamu, baik lelaki mahupun perempuan; sebahagian kamu berasal daripada sebahagian yang lain.”
                Wanita sebagaimana yang dikatakan selalu adalah sebahagian daripada komuniti manusia. Tidak boleh dibayangkan bagaimana Islam kehilangan sebahagian dari komunitinya (jika semua wanita tidak berkerja), lalu dinyatakan sebagai agama yang jumud dan stagnan (‘down’, terhenti, membosankan), yang hanya mengambil dari kehidupan tetapi tidak memberi kepada kehidupan, hanya mengkomsumsi (menjadi pengguna) akan tetapi tidak berproduksi (menjadi pengeluar).

Fiqh Prioriti: Mendidik Generasi Adalah Kerja Utama Wanita
                Pekerjaan wanita yang pertama dan utama adalah mendidik para generasi. Allah SWT telah menyiapkan jiwa dan fizikal wanita untuk melakukan tugas ini. Kerana itu, sebaik-baiknya kita hendaklah tidak menyibukkan wanita dengan kesibukan lain, sehingga memalingkan wanita dari tugas mulia ini. Tidak seorangpun mampu menggantikan kedudukan wanita dalam tugas mulia ini. Di tangannyalah bergantung kehidupan umat manusia.
                Moga rahmat Allah tercurah kepada al-Hafiz Ibrahim yang telah bersyair:
Ibu adalah madrasah (sekolah), jika engkau mempersiapkannya
Beerti engkau telah mempersiapkan bangsa yang hebat dan kuat.
                Pekerjaan utama tersebut ialah tugasnya menguruskan rumah tangga, membantu suaminya, membentuk keluarga bahagia yang tegak di atas kedamaian, kasih sayang dan rahmat. Disebutkan dalam ssatu riwayat bahawa pekerjaan terbaik wanita adalah menyiapkan keperluan suaminya untuk pergi berjihad.

Hukum Mengharuskan Wanita Keluar Berkerja

                Huraian di atas tidak bermakna haram bagi wanita berkerja di luar rumah. Hukum haram hanya boleh ditetapkan dengan nas sahih dan jelas maknanya. Sebagaimana diketahui bahawa, setiap perkara adalah boleh hukumnya kecuali ada dalil yang mengharamkannya.
                Maka, pada dasarnya ‘boleh’ bagi wanita untuk berkarier. Dalam keadaan-keadaan tertentu, ia boleh menjadi dianjurkan, atau bahkan diwajibkan, jika memang terdesak dengan tuntutan hidup. Contohnya, janda atau wanita yang ditalak dan dia tidak mempunyai hasil pendapatan, sementara itu dia mempunyai kemahiran atau keahlian tertentu untuk digunakan. Dalam konteks ini, bekerja dengan kemahiran atau keahliaannya itu boleh menyelamatkannya daripada hidup meminta-minta.

Contoh Wanita Berkerjaya Dalam Al-Quran dan Hadis

                Kadang kala, keluarga yang memerlukan tenaga wanita berkerja, seperti membantu pekerjaan suaminya, mendidik anaknya atau saudara perempuan yang masih kecil atau membantu orang tuanya sebagaimana yang diceritakan dalam Surah al-Qashash tentang dua anak gadis yang membantu orang tuanya yang sudah lanjut usia dalam menggembalakan kambingnya.
Firman Allah SWT, “Dan tatkala ia sampai di sumber air negeri Mad-yan ia menjumpai di sana sekumpulan orang yang sedang meminumkan (ternaknya), dan ia men- jumpai di belakang orang banyak itu, dua orang wanita yang sedang menghambat (ternaknya). Musa berkata: “Apakah maksudmu (dengan berbuat at begitu)?” kedua wanita itu menjawab: “Kami tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum pengembala-pengembala itu memulangkan (ternaknya), sedang bapak kami adalah orang tua yang Telah lanjut umurnya”.
Riwayat lain juga menyebutkan bahawa Asma’ binti Abu Bakar-pemilik dua ikat pinggang (Dzatil Nitaqain)- berkerja membantu suaminya Zubair bin al-Awwam dalam merawat kuda-kudanya, menggiling bijian lalu ditiriskan. Asma’ membawa gilingan bijian-bijian tersebut dari kebunnya yang jaraknya sangat jauh dari Kota Madinah.
Ummul Mukminin, Zainab binti Jahsy mahir menyamak kulit, memintal serta menenun kain sutera, hasilnya dijual di pasar dan disedekahkan. Itulah kerjaya Zainab yang menguatkan sumber ekonominya hinggakan beliau mempunyai keistimewaan sebagai seseorang yang banyak bersedekah. Lalu, mendapat julukan ‘panjang tangan’ (bermaksud banyak bersedekah) oleh Rasulullah SAW.

Keperluan Masyarakat Kepada Doktor Wanita, Jururawat, Guru Wanita dan Sebagainya

                Kadang-kadang juga masyarakat sendiri yang memerlukan tenaga wanita seperti doktor wanita, atau jururawat wanita atau guru wanita dan pekerjaan seumpamanya yang secara khusus lebih mahir dikerjakan oleh wanita. Paling ideal, wanita bekerja dengan kaum wanita, dan tidak dengan kaum lelaki, kecuali kerana keperluan mendesak yang mengharuskan wanita hadir dalam pekerjaan tersebut.
Syarat-syarat dan Batasan-batasan Wanita dalam Berkarier
1.       Pekerjaan tersebut memang disyariatkan. Ertinya bukan pekerjaan haram atau membawa kepada perkara haram seperti:
a.       Teman sosial kepada lelaki
b.      Setiausaha kepada pengarah yang memerlukannya duduk seruangan dengannya (biasanya di pejabat-pejabat, S/U selalu berdua-duaan dengan pengarah. Saya kagumi cara Syarikat Telaga Biru Sdn Bhd yang melantik setiausaha bagi pengarah iaitu seorang wanita yang mempunyai pertalian darah).
c.       Penari
d.      Pelayan bar yang menyediakan minuman keras yang dilaknat oleh Rasulullah SAW penuangnya, pembawa dan penjualnya
e.      Pramugari yang memerlukannya sentiasa tersenyum menyambut penumpang atau sering melakukan perjalanan jauh tanpa mahram, dan yang memerlukannya duduk sendirian di negara orang lain.
f.        Dan lain-lain pekerjaan yang diharamkan Islam bagi wanita apatah lagi pekerjaan yang diharamkan bagi lelaki dan wanita.

2.       Menjaga adab wanita muslimah saat keluar rumah dengan menjaga cara berpakaian, berjalan, berbicara, bahkan bergerak. Allah SWT berfirman, “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup  dada (juyub[1]) dengan tudung kepala mereka (khimar);

3.       Pekerjaan itu tidak sampai melalaikan kewajipan utamanya, seperti kewajipan mengurus suami dan anak-anaknya. Sebab itulah pekerjaan dan kewajipan yang paling utama seorang wanita.

Saranan Al-Qaradhawi Buat Pemerintah

1.       Pemerintah hendaklah menyiapkan sesuatu berupa Undang-undang Tenaga Kerja dan saranan pekerjaan bagi para wanita ketika keperluan mendesaknya berkerja untuk dirinya, keluarganya atau masyarakatnya. Persiapan ini penting dilakukan agar harga diri wanita tidak tergadai atau tidak mengacau kewajiban rumah tangga.

2.       Pemerintah hendaklah membuat peraturan yang memudahkan peranan serta memudahkan wanita ini, misalnya separuh kerja dengan separuh upah. Seperti kerja 3 hari dalam seminggu dan upah disesuaikan dengan hari kerjanya. Contoh lainnya adalah seperti adanya undang-undang cuti menikah, melahirkan atau peraturan khusus bagi ibu menyusu. (Alhamdulillah sebahagiannya telah dinikmati oleh wanita di Malaysia).

3.       Pemerintah harus mempersiapkan sekolah agama, sekolah umum dan universiti khusus untuk kaum wanita, sehingga kaum wanita mempunyai  peluang berolah raga dan melakukan aktiviti lain yang menyihatkan.

4.       Menyediakan bahagian dan tempat khusus bagi wanita yang berkerja di pemerintahan, yayasan, atau bank sehingga menghindarkan terjadinya fitnah, serta fasiliti-fasiliti lain yang disesuaikan dengan keperluan[2].

Kesimpulan Penulis (Fatimah Syarha).
                Hormatilah wanita yang memilih untuk berada di rumah. Mereka bukannya ketinggalan zaman sebaliknya keluarga mereka lebih memerlukan mereka di situ.
                Hormatilah juga wanita yang memilih untuk berkerjaya. Mereka bukannya melakukan suatu dosa seolah-olah berkerjaya itu haram sebaliknya mereka melakukan sesuatu yang harus.
                Samada berada di rumah atau berkerjaya, masing-masing ada sebab dan keperluannya yang tersendiri. Masing-masing ada peranan yang besar buat diri, keluarga dan ummah. Asal  saja tugas utama wanita iaitu mendidik generasi terus terpelihara. Asal juga suami redha dengan pilihannya. Berbincanglah.
                Wanita yang memilih untuk berada di rumah namun tidak berusaha memberi didikan kepada anak-anaknya, akan gagal mencapai matlamat mendidik generasi.
                Wanita yang memilih untuk berkerjaya namun tidak menyediakan pengurusan yang terbaik untuk rumah tangganya, akan gagal juga mencapai matlamat.
                Tips bagi wanita berkerjaya:

1.       Jika perlu, ambillah pembantu rumah yang dididik dan dihargai dengan baik agar urusan teknikal rumah tangga tersusun rapi.  Isteri-isteri Rasulullah SAW meskipun kebanyakan mereka tidak berkerja di luar rumah namun kebanyakkan mereka mempunyai pembantu. Masakan tidak, isteri baginda yang berada di rumah itu juga mempunyai kesibukan untuk menekuni ilmu.

2.       Wanita yang berkerjaya dari rumah juga mungkin perlukan pembantu kerana kesibukan kerjaya itu dan kesibukan urusan rumah tangga. Jika mereka mampu melakukan kerja-kerja teknikal di rumah itu sendiri, tidak mengapa. Tapi realitinya, kerja-kerja teknikal di rumah tidak pernah habis, ditambah lagi dengan ragam anak-anak yang sentiasa inginkan perhatian. Terpulang pada kebijaksanaan masing-masing dalam memastikan adanya keseimbangan.

3.       Pilih penjaga atau nursery yang terbaik untuk jagaan sementara bagi anak-anak dengan membuat pemantauan teliti terlebih dahulu. Maka, isteri boleh berkerjaya dengan lebih fokus dan professional dalam waktu kerjanya.

4.       Lebih menarik jika wanita boleh memilih suatu pekerjaan yang mempunyai masa anjal dan lebih mesra famili.


[1] Juyub sering diterjemahkan sebagai dada. Bagi penulis, ia adalah terjemahan yang baik mengikut konteks pakaian wanita di Malaysia yang ringan, lembut dan senang membentuk di  badan, maka amat wajar tudungnya (khimar) melepasi dada agar tidak menggiurkan lelaki jahat dengan nampaknya bentuk buah dada.

Mengikut bahasa Arab, dari segi bahasa, juyub adalah jamak daripada jaib yang sebenarnya bukan bererti dada. Erti sebenar juyub ialah bahagian terbuka daripada pakaian dan semisalnya pada bahagian dada. Atau lebih tepatnya bererti belahan leher baju.

Maka, sama-samalah kita menghormati orang yang tetap ingin bertudung labuh, atau bertudung tiga segi tetapi bajunya longgar atau bertudung singkat dengan bajunya longgar. Masing-masing mempunyai sebab dan fatwa hati yang tersendiri. Hormatilah! Asalkan pakaiannya menutup aurat dan lebih baik lagi dipakai dengan rasa taqwa, bukan sebab-sebab lain.
[2] Al-Qaradhawi, Fatawa Mua’shirah, juz. 2. Hal. 303-306.
Karier Wanita dalam Fiqih al-Qaradhawi Reviewed by Fatimah Syarha on 16:11:00 Rating: 5 "Abang, indah melukis impian masa depan bersamamu :)" “Abang nak tahu impian Sayang untuk para bidadari kita… Sayang impikan ...

29 comments:

  1. Assalamualaikum,
    Kak Fatimah yang dikasihi Allah.

    Kenapa ya,hati saya tak setuju dengan Muslimah Solehah yang sering bertukar tudung seumpamanya:
    Sekejap pakai tudung bulat labuh,sekejap lagi pakai shawl pula.
    Saya merasakan sedikit sebanyak ia boleh merosakkan imej Muslimah solehah yang bertudung labuh(bulat).

    Salahkah pendapat saya?
    Mohon disimbahkan kefahaman yang lebih mendalam dari Kak fatimah melalui ilham dari Allah.InsyaAllah.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam wbt.

    Bagi akak, orang yang konsisten bertudung labuh kerana dia bertudung labuh dengan kefahaman. Iaitu dia berasa perlu bertudung labuh apatah lagi dalam konteks pakaian wanita di Malaysia yang berkain ringan dan lembut. Dia juga mengalami pengalaman-pengalaman hidup yang membuatkan dia berasa tudung labuh istimewa.

    Bagi orang yang tidak konsisten bertudung labuh, mungkin dia dalam proses berjinak-jinak dengan tudung labuh. Dia belum sampai merasai tudung labuh benar-benar istimewa buatnya. Hormatilah pilihannya kerana dia melakukan sesuatu yang masih dalam batasan harus, bukannya membuka aurat.Memperlecehkan mereka ibarat tidak membenarkan mereka berhijrah perlahan-lahan mengenal kebaikan. (Tapi akak yakin adik Aufa bukan seseorang yang suka memperlecehkan).

    Bagi yang bertudung tidak labuh pula, mereka melakukan sesuatu yang masih dalam batasan harus. Hormatilah pilihannya. Cuma, bagi akak, dengan pakaian wanita Malaysia yang ringan dan lembut ini, bertudung labuh lebih berpotensi besar untuk menutup potongan bentuk badan berbanding tudung tidak labuh. Maka, jika bersedia, bolehlah menutup dengan lebih sempurna.

    Sama-sama saling menghormati, saling menasihati, saling berbaik sangka dan saling mendoakan agar kita menjadi lebih baik di sisi Tuhan. Rasulullah SAW mendidik hingga satu generasinya (generasi sahabat) masuk ke syurga. Begitulah yang kita impikan pada generasi kita, biar satu generasi sama-sama layak ke syurga.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum WBT,

    Akak, apa pandangan akak pada tudung shawl ni? Tentunya apabila singkat, ia sudah pasti salah. Apabila yang labuh, shawl ini bertujuan mengikut arus fesyen kini.

    Seolah-olah, muslimah kita tidak pernah bebas dari rasa ingin bergaya. Tidak senang andai diri tidak sama dan tidak ikut fesyen semasa. Bagaikan, satu kewajipan untuk ikut serta bersaing antara satu sama lain.

    Saya kurang setuju, kerana sekalipun menutup aurat, bersaing sebegini, bagaikan menuju ke arah tabarruj pula.

    Sedangkan, mereka yang memakai tudung labuh, BEBAS dari semua ini. Tidak dinafikan juga bagi mereka yang bertudung menutup dada namun tidak bertabarruj.

    Apa pandangan akak?

    p.s: Sehingga ke hari ini, saya mempunyai halangan yang besar untuk bertudung labuh. Hanya boleh mengenakan selendang berkain tebal dan labuh menutupi dada. Doakan saya semoga halangan yang satu itu boleh dikendalikan sebaiknya :-(

    ReplyDelete
  4. Subhanallah thanks for the sharing kak. Ni lah juga impian saya, dapat berbakti kepada masyarakat. dan dapat kerja yg mesra keluarga.. Semoga Allah memakbulkan doa kita =)

    ReplyDelete
  5. Adik Iffah yang disayangi fillah,

    Mari kita teliti mana yang lebih hikmah dalam gaya dakwah berikut:

    a) Tabarruj:

    1. Mengkritik muslimah yang berfesyen sebagai bertabarruj dan melabel dia sebagai orang yang berdosa atau membuat kesalahan.

    (Atau)

    2. Memahami bahawa tabarruj itu haram tapi ‘maksud’ tabarruj itu diperselisihkan oleh para ulama . Tidak memaksakan orang lain mengikut ‘maksud’ yang kita faham kerana ‘maksud’ yang kita faham itu mungkin berat bagi orang lain. Menghargai perselisihan dalam masalah ini tetap dalam daerah pahala.

    b) Fesyen:

    1. Memperleceh muslimah yang bergaya dengan shawl dan sebagainya sebagai mengikut-ngikut arus fesyen, dan menganggap industri fesyen itu haram.

    (Atau)

    3. Memahami bahawa muslimah itu melakukan sesuatu yang harus kerana tiada dalil haram terhadap pilihannya itu. Menganggap asal hukum bagi dunia fesyen adalah harus. Daripada sekadar mengkritik keterukan fesyen yang dicipta pada hari ini, dia tampil memberikan alternatif bagaimana fesyen-fesyen muslimah yang masih melepasi syarat-syarat dan batasan-batasan sebagai gaya dakwah bil hal (dakwah dengan contoh tauladan).

    ReplyDelete
  6. Erti tabarruj dalam fiqih al-Qaradhawi ialah: Membiarkan anggota aurat tubuh terbuka dan tampak bebas dilihat oleh mata.
    Ilustrasi makna tabaruj yang dilakukan oleh wanita jahiliah dahulu menurut para ulama tafsir iaitu:
    • 1. Bercampur dengan lelaki
    • 2. Berjalan melenggang-lenggokkan tubuh dan genit
    • 3. Mengenakan tudung tetapi tetap menampakkan aurat dan kecantikan tubuh-badannya.

    ReplyDelete
  7. Fatwa Berat atau Fatwa Mudah Pilihan Hati?

    Kita terbiasa dengan fatwa-fatwa yang berat berkenaan masalah wanita selama ini kerana kebanyakan para ustaz yang baik yang sudi mengajar kita itu terbiasa merujuk terus fatwa-fatwa lama dan kurang memerhatikan fiqah perbandingan (fiqh muqaran) dan fiqah kontemporari (fiqh mua’shirah) . Alhamdulillah, sejuta penghargaan buat mereka kerana ijtihad para ulama masih dalam daerah pahala.

    Akak lebih menemui ketenangan beragama, kemudahan beramal, keindahan toleransi , kekuatan penyatuan dan kehalusan seni dakwah dalam fatwa dan ijtihad ulama-ulama muktabar kontemporari dalam masalah-masalah wanita. Khususnya para ulama muktabar itu ialah dari kalangan mereka yang bermanhaj pertengahan seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Wahbah Zuhaili, Syeikh Abdul Karim Zaidan, Syeikh Said Ramadhan al-Buthi dan seumpamanya. Kebanyakan mereka lahir dari tarbiyyah (didikan) Ikhwanul muslimin. Seperti juga para ulama yang lain, mereka berijtihad dengan ilmu bukan dengan nafsu.


    Syukur sangat kerana golongan ulama muktabar ini mendedahkan suatu kefahaman dan tafsiran Al-Quran dan hadis yang membuatkan ummah berasakan Islam itu benar-benar mudah dan praktikal untuk diamalkan. Yang halal amat luas sebaliknya yang haram amat sempit dalam Islam. Allah mempersoalkan kita di akhirat nanti berdasarkan ilmu dan kefahaman kita. Oleh sebab itu, bagi mereka yang tetap ingin berpegang dengan fatwa-fatwa yang berat, silakan. Tiada masalah. Tapi perlu bersedia beramal dengan fatwa-fatwa berat yang dipegang itu kerana Allah bakal mempersolkan seseorang berdasarkan apa yang kita pegang.

    Contohnya, bagi mereka yang berpegang dengan fatwa bahawa hukum asal purdah itu adalah wajib, maka wajiblah baginya menutup wajah. Wajiblah baginya tidak meletak gambar ‘wajah’ di facebook meskipun untuk tujuan dakwah bil hal (dakwah dengan contoh tauladan). Wajiblah baginya makan nyorok-nyorok masa kenduri-kendara, bimbang nanti ternampak wajahnya. Wajiblah baginya tidak mencari pekerjaan yang mewajibkannya membuka wajah. Dan banyak lagi implikasi ‘pegangan seseorang’ dalam praktikaliti hidupnya. Sebaliknya, bagi mereka yang berpegang hukum asal purdah cuma harus, maka dia mempunyai kebebasan untuk berpurdah atau tidak berpurdah mengikut keperluannya. Hatinya tenang dan tidak diburu rasa berdosa kerana dia cuma mengikut ijtihad jumhur ulama yang masih dalam daerah pahala, samada 1 atau 2 pahala.

    Mari baca penerangan lanjut dalam entry akak seterusnya tentang Islam mempersempit yang haram dan meluaskan yang halal

    ReplyDelete
  8. Alhamdulillah, rasa macam segar bugar :)

    Maksudnya -

    Andai memakai shawl yang labuh menutupi dada, menutup aurat dengan sempurna, tidak salah kan?

    Dan jika memakai shawl untuk kelihatan cantik di hadapan lelaki, yang bersalah adalah niat tersebut, bukan gaya pemakaian shawl tersebut?

    Jika begitu, fahamlah saya. Terima kasih akak, moga redha Allah bersama akak. ANa uhibbuki fillah :)

    ReplyDelete
  9. on behalf of Aufa;

    terima kasih Kak Fatimah.

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum, Ustazah , saya ingin bertanya apa yang perlu saya buat kerana saya jenis berjalan agak berlenggang, saya dah cuba namun xdapat dikawal..even saya sudah masuk rekrut berkawat selama 9 bulan..jalan saya masih sama..what should i do..=)saya risau saya berdosa dek kerana berjalan agak melenggang lenggok..

    ReplyDelete
  11. Waalaikumussalam wbt.
    Ukhti yang disayangi fillah,
    Allah SWT menciptakan kita maka Dia lebih tahu hati dan niat kita.
    Ada wanita dilahirkan berjalan melenggang.
    Ada wanita dilahirkan bersuara manja, dan lembut.
    Ada lelaki dilahirkan tidak ‘keras’, tapi ‘lemah gemalai.’

    Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya(QS. al-Baqarah:86)

    Dalam buku Al-Fiqh al-Islamiy wa adillatuhu, karya ulama’ muktabar, Prof. Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili, m/s 21, disebutkan bahawa tiada taklif (tanggung jawab) dalam perkara-perkara tabi’e dan fitrah yang di luar kuasa kita.

    Jika Allah SWT menghukumkan HARAM ke atas golongan yang berjalan melenggang tanpa pilihannya, apatah lagi tanpa niat bertabarruj, sudah tentu hukuman ini ZALIM dan sifat zalim tidak layak bagi Allah. Maha Suci Dia dari berlaku zalim.

    Apa yang harus dibuat?

    Alhamdulillah, adik sudah berusaha namun sifat semulajadi adalah sesuatu yang sukar diubah. Apa yang perlu adik buat ialah, jika ada orang mengata adik, atau menghukum adik, maka tersenyumlah kerana ternyata Allah jauh lebih memahami adik. Insyallah, adik akan dapat pahala ‘free’ dengan banyaknya. Indah hidup bersama Allah, kan?;)

    ReplyDelete
  12. Assalamualaikum ustazah, saya bekerja sebagai seorang jururawat. Tetapi ustazah, apabila saya beritahu pekerjaan saya, ramai yang tidak dapat menerima kerana alasan mereka uniform jururawat yang tidak menutupi syariat dan kerja jururawat yang tidak tentu masa. Soalan saya, adakah pekerjaan jururawat tidak sesuai untuk muslimat yang aktif dalam usrah atau halaqah kerana uniform dan juga kerja tidak tentu masa yang membataskan perjuangan. Semoga ALLAH mengampuni dosa dosa saya, saya tidak berniat untuk riak tetapi kalau di luar waktu kerja saya memakai jubah dan tudung labuh. Mohon pencerahannya

    ReplyDelete
  13. Waalaikumussalam wbt.
    Salam sayang buat jururawat ummah yang dihormati.

    Pekerjaan jururawat sungguh mulia.
    Pekerjaan jururawat sungguh diperlukan.
    Berkerja sebagai jururawat suatu ibadah umum yang boleh menuai banyak pahala.
    Berkerja sebagai jururawat juga suatu perjuangan.

    Saya tidak dapat bayangkan betapa sukarnya meniti hari-hari di hospital tanpa jasa dan pengorbanan seorang jururawat. Dr. Yusuf al-Qaradhawi sendiri mengiktiraf betapa berhajatnya masyarakat kepada tenaga wanita berupa jururawat.

    Tanpa jururawat, siapa yang akan menjaga jutaan muslimah di hospital lebih-lebih lagi di wad-wad OnG?

    Tanpa jururawat, siapa yang akan memudahkan urusan doktor untuk menyiapkan kerja-kerja teknikal? Kerja-kerja teknikal ini pula biasanya lebih diteliti diuruskan oleh seorang perempuan.

    Tanpa jururawat yang berkesedaran Islam seperti ukhti, siapa yang akan bangkit memperjuangkan pakaian jururawat yang mesra syariah?

    Tanpa jururawat berjiwa seperti ukhti, siapa yang akan memimpin usrah dan halaqah untuk para jururawat di sana lebih-lebih lagi yang sangat berhajatkan kefahaman Islam? Islam milik semua.

    Semoga Allah memudahkan urusan keluarga semua jururawat di dunia ini yang banyak berjasa mengorbankan masanya demi masyarakat.

    Semoga lebih banyak institusi-instusi sokongan keluarga yang akan bangun mengasuh anak-anak dengan lebih efektif agar para jururawat ini dapat terus menabur jasa.

    Berkaitan pakaian, suami ana (Dr. Farhan Hadi) pernah mengatakan, dia menemui ramai jururawat yang melonggarkan pakaiannya, melabuhkan sedikit tudungnya dan tiada siapa berani mengambil tindakan apa-apa kepada mereka.

    Semoga lebih ramai jururawat hari ini berjiwa berani seperti ini dan jururawat akan datang dapat menemui peluang berpakaian yang lebih baik.

    Ukhtiku sayangfillah, rasa mulialah dengan tugas muliamu! Kami semua amat berhajatkan baktimu. Sudah tentu kami lebih bertuah, jika anak kami yang lahir disambut oleh seorang doktor atau jururawat yang jiwanya sangat cinta kepada Islam.:)

    ReplyDelete
  14. Assalamualaikum ustazah.
    tersentuh hati saya membaca kata2 ustazah,terima kasih di atas kata2 yg menguatkan azam sy utk menjadi hambaNya yang lebih baik.Insya-ALLAH.Sungguh sy jatuh cinta dengan blog ini dan sudah tentunya penulisnya.Kata2 ustazah semuanya hanya memandang kepada kebaikkan dan tidak memandang negatif malah walaupun ada yang tidak baiknya, tapi masih lagi diputar ttg kebaikkan lainnya.Moga kehidupan ustazah dan keluarga sentiasa diberkati ALLAH. :)

    ReplyDelete
  15. salam..kak ha, mntak pndangan scra detail tentang PEREMPUAN DAN ALQURAN KETIKA HAID dri pelbgai pndgan mazhab2 ,ulama` salaf dan kontemporari.. klau ada.

    persoalan:-

    >mmegang AQ ktika haid
    -quran terjemah
    -xterjemah
    -berlapik
    -helaian AQ shj
    -huruf2 arab dlm AQ trjmahan

    >baca AQ ketika haid

    >hafal AQ

    >mmbaca ayat yg telah dihafal

    >ulang hafazan

    >bca mathurat

    >mbaca ptongan ayat shj


    ...ada yg kta boleh bca klau niat zikir@bljar@hafaz... apa pndgn?
    ...ada gk yg bpndpat xboleh lgsng buat apa2 dgn AQ time haid...??

    klau ada,kterangn dri pelbgai pndgn...

    w`allam..jzkllahkhair..

    asslmkm..

    -iffahhanna

    ReplyDelete
  16. assalamualaikum ustazah,,
    sangat tertarik dengan ulasan ustazah berkaitan kerjaya sebagai jururawat,,
    saya juga seorang jururawat berkhidmat dgn kerajaan dan memakai uniform semasa bekerja,,hanya Allah mengetahui perasaan saya semasa memakai uniform,, walaupun uniform yg dipakai longgar,saya tetap rasa malu ketika bekerja,,
    selain waktu bekerja saya mengenakan tudung labuh dan memakai pakaian yg menutup aurat,,
    soalan saya,,adakah berdosa sekiranya saya memakai uniform yg menampakkan susuk tubuh walaupun longgar ketika mnjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang perawat??

    harap ustazah dapat membantu,,
    ~insan yg mncari keredhaan ALLAH~

    ReplyDelete
  17. Assalamualaikum.. Saya masih bergelar jururawat pelatih, apapun saya berusaha melonggarkan uniform saya.. sungguh. berbaur perasaan saya tatkala mengenakan uniform jururawat yang dikatakan menampakkan susuk tubuh..sedih,marah, walaupun bukanlah pilihan saya untuk belajar dalam kejururawatan..Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk saya..Sekiranya Rufaidah binti Sa'ad masih hidup,saya akan kuat menghadapinya.. saya berazam untuk menjadi seperti Rufaidah yang memperjuangkan ilmu kejururawatan disamping melaksanakan dan mengamalkan syariat islam ketika bekerja..InsyaAllah..andai suatu masa saya berjaya dalam kejururawatan, insyaAllah pastinya saya mengubah cara berpakaian uniform jururawat bagi wanita islam dengan pemakaian mengikut syariat..

    ReplyDelete
  18. Waalaikumussalam wbt. Ya Allah, saksikanlah! Inilah jiwa jururawat yang ummah rindukan. Firraudhah, we support you :) we love you ;)

    ReplyDelete
  19. assalammualaikum kak ha prtama skali tahniah sy ucpkn pada jururawat2 dan pelatih jururawat yg sntiasa istiqamah,hal ini sy juga mngalami situasi yg sama sprti ukhti2,sy dlema dan sdih teramat sgt krn uniform sy xseperti ukhti2 yg masihknya lgi dapt mlindungi diri dgn sbaik2nya,sbaliknya unifrm sy hanya berlengan pendek dan yg paling sy brasa trsgt marah dan sedih apabila dtegur olh phk atasan dan bberapa org tntg diri sy yg cba untk mmakai handsock,smpaikn trkadg rsa sedih dgn teguran keras yg perlu sy hadapi,sdangkn dluar sy bpakaian labuh dan brtudung labuh sprti ukhti2,sy brasa malu dgn diri sy dan pada semua,trkadg ja sy trfikir untk brhnti blajar dan mmiih bidang pgajian lain.tp dsini akak ha,adkh mnjadi satu ksalahn dlm dri sy jika sy mnukar kpda bdang lain?salahkah sy dalm mmberi bebanan pada kedua org tua sy?

    ReplyDelete
  20. http://layakkahakumenjadibidadarisyurga.blogspot.com/2011/12/cabaran-menjadi-seorang-jururawat.html

    Sedikit perkongsian dari saya berkaitan cabaran menjadi seorang jururawat muslimah =)

    ReplyDelete
  21. salam sayang.. sungguh tertarik melihat di atas ramai komen mengenai jururawat.. subhanaAllah... sangat membantu saye yang baru menatapak dalam bidang kejururawatan.. sye merupakan student first year nursing.. dan saye baru genap sebulan menjadikan pakaian muslimah sebagai uniform harian saye..syukur nikmat Allah memberi saye kesedaran dari segala kepincangan hidup.. moge hati-hati kite terus merindui dan mencari redha serta rahmat Allah irhamna ya Allah ya Rahman Ya Rahim.....

    berjihadlah menjadi perawat muslimah yang unggul.. amin...

    ReplyDelete
  22. Assalamualaikum kak..Salam ukhwah fillah..^^
    Saya ingin bertanya pendapat bagaimana cara yang baik untuk menasihati seorang rakan yang suka bergayut lama2 dalam talian dan sering keluar berdua-duan? Rakan saya pernah menasihati rakan saya tetapi dia menjawab bahawa dia tidak dapat hidup jika tidak mempunyai kekasih, dan dia juga mengatakan bahawa semasa zaman sekolahnya memang sebegitu..Sedangkan rakan saya itu mengambil jurusan dalam bidang agama..
    Terima kasih atas kesudian kak Fatimah Syarha untuk memberikan penjelasan..

    ReplyDelete
  23. asalamualaikum..ustazah saya nk tanya pasal suara wanita..apa hukumnya kalau wanita membaca al-quran dgn berlagu dan didengari oleh yg bkn muhrim?...contohnya peserta wanita yg masuk musabaqoh..terima kasih

    ReplyDelete
  24. assalamualaikum kak fatimah tersayang kerana ALLAH..

    kak,saya ada soalan...saya bercita-cita nak jadi seperti akak seorang pendakwah ...boleh bagi tips tak ? saya bukan lah student dari jurusan agama.saya student sains.tapi saya berusaha untuk belajar ilmu2 agama ..terima kasih kak...<3<3

    ReplyDelete
  25. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  26. Assalamu'alaikum ustazah..


    Sy ingin meminta penjelasan Apa pandangan agama tentang keadaan seorang wanita yang berdua-duaan dengan lelaki bukan mahramnya dalam perjalanan ke suatu tempat atas urusan kerja? Ini berlaku ke atas saya. Sy mahu menaiki kapal terbang tetapi pihak syarikat tidak mahu menanggung kosnya. Mahu menaiki bas, keluarga tidak mahu melepaskan sy musafir sendirian tanpa mahram tambahan pula negeri yang dituju itu sy tidak biasa keadaannya (kerana tidak pernah menjejakkan kaki ke sana dan tiada pula saudara mara di sana). Mahu memandu sendirian, keluarga tidak membenarkan kerana sy belum cukup pengalaman untuk memandu jarak jauh sendirian. Apatah lagi sy belum berkahwin, sy seringkali gusar dgn keadaan ini (bmusafir sendirian tanpa mahram) boleh menjejaskan maruah sy sebagai seorang wanita. Mungkin bagi pihak rakan sekerja sy yg lelaki itu tidak kisah tetapi tidak semestinya sy berpandangan serupa. Sy pernah mencadangkan agar seorang rakan sekerja wanita dibawa bersama tetapi cadangan itu tidak diterima dengan alasan pihak syarikat tidak mahu menambah kos penginapan bagi menampung seorang lagi pekerja di sana. Sy berasa malu untuk menjawab pertanyaan mereka yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut dgn siapa sy dtg.. Walaupun sy jauh lebih muda dan belum berkahwin, ini tidak membenarkan saya untuk bersenang-senang musafir dengan lelaki yang bukan mahram saya Kan ustazah? Kadangkala sy mahu cepat2 kahwin spy masalah ini boleh selesai tapi belum bertemu jodoh. Apa yg sy boleh buat hny berdoa dan bersabar shj. Kini, sy tidak lg bekerja dgn syarikat tersebut kerana sy tidak mahu lagi berkompromi dlm isu sebegini.


    Minta pandangan ustazah agar lebih cerah pemahaman sy. Tq.

    ReplyDelete
  27. Assalmu'alaikum ustazah,

    Membaca tulisan ustazah memberi saya sikit pemahaman tentang kerjaya terbaik bagi seorang wanita. Setiap hari saya berdoa moga Allah memberi kekuatan dalam menempuhi kerjaya saya yang mencbar ini. Sebnarnya saya impikan kerjaya yang flexible untuk anak anak saya,tapi sukar dilaksanakan buat masa ini. Kadangkala terselit rasa menyesal kerana tidk memikirkan awal awal berknaannya. Sekarang emosi selalu memohon dilepaskan dari perasaa bersalah pada suami dan anak2 kerana makin sukar menjdi ibu dn isteri terbaik. Moga utazah dapat memberi dan berkongsi sedikit ilmu menghadapi cabaran semasa ini.

    ReplyDelete
  28. Assalamualaikum ustazah... Sy ingin dptkan pandangan ustazah tentang kerjaya wanita yg beruniform, mksudnya pkrjaan yg mana uniformnyer kna masukkan tudung ke dalam baju... Apa pandàngan ustazah tentang cara btol2 nk tutup auràt bg muslimah yg akan mnuju kearah kerjaya yg begitu...??? Mohon pencerahan dari ustazàh.. Jazakallah khairan kathir...

    ReplyDelete