Tinta Pengarang Sebarkan Cinta-Mu - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Tinta Pengarang Sebarkan Cinta-Mu



Alhamdulillah!!! Kalimah apa lagi yang lebih baik untuk kulahirkan syukurku pada-Mu ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang! Solawat dan salam buat Rasul junjungan, keluarga baginda, para sahabat dan pendokong risalah Islam hingga akhir zaman.
            Lahirnya buku ini bersama harapan besar agar pembacanya makin dekat dengan Islam dan makin berbaik sangka dengan Allah SWT. Sungguh tersirat dan mendalam sebuah pengertian hadis qudsi,
 
 “Aku (Allah) berada dalam sangkaan hamba-Ku. Maka bersangkalah dengan apa yang dia kehendaki.” (Riwayat Ahmad).
Suatu kenikmatan jiwa yang hebat apabila kita dapat berlapang dada dengan ajaran-Nya yang mulia. Sekiranya kita bersangka baik kepada Allah, maka natijahnya baik. Sekiranya kita bersangka buruk, maka natijahnya juga buruk. Banyak perkara yang melingkari hidup ini dihijab oleh kepercayaan ekstrim, tradisional dan ketaksuban menyebabkan ramai umat Islam menjadi kabur tentang kejernihan ajaran Islam yang sebenar.
Buku ini hadir dengan penuh kerendahan hati untuk menyumbang ke arah kejernihan itu. Berkata Imam Malik dengan kata-katanya yang mahsyur ketika berada di samping kubur Rasulullah SAW, “Setiap pendapat boleh diterima dan ditolak kecuali pendapat pemilik kubur ini (Rasulullah SAW).”
            Saya mengambil masa yang agak lama untuk menghasilkan buku ini kerana penghasilannya seiring dengan satu bab daripada kajian tesis Master saya yang berkaitan dengan isu-isu gender daripada kaca mata fiqh. Hampir 3 tahun saya mengadaptasikannya dalam bentuk realiti dan kreatif sedikit demi sedikit.  Saya mengharapkan doa semua agar saya terus digagahkan oleh Allah SWT untuk mengkaji lanjut persoalan ini dalam kajian Ph.D.
            Walau bagaimanapun, saya percaya tulisan saya ini tidak mampu memuaskan hati semua pihak walaupun saya berusaha ke arahnya. Bak kata pepatah Arab, ‘Kepuasan manusia adalah matlamat yang mustahil dapat dicapai.’Lumrah manusia berbeza pendapat. Ada yang beradab dan ada yang kurang beradab dalam menghadapi perbezaan pendapat. Tidak kurang ada yang bersikap ilmiah dan ada pula yang senang menyerang dengan bahasa emosi dan logik. Saya meneguhkan diri bahawa langkah jihad ini tidak maju dek puji, tidak mundur dek keji tetapi akan tetap melangkah memburu janji Ilahi.
Prioriti masa pada suami dan anak membuatkan saya memberikan penantian yang lama buat peminat-peminat karya kreatif saya. Ampun maaf dipinta. Sokongan kalian amat dihargai. Apapun, saya sangat berpuas hati apabila setiap karya kreatif yang saya hasilkan berdasarkan kajian ilmiah. Lumrah karya ilmiah memang memakan masa untuk mengkajinya.  Ia menjadikan saya lebih tenang untuk berhujah dengan Allah SWT nanti andai dipersoalkan setiap huruf yang saya nukilkan. Sungguh, saya gerun dan gentar menanti saat hisab itu.
            Bersaksikan semua pembaca, saya berdoa pada-Mu ya Allah, tunjukkanlah yang benar itu benar dan bimbinglah kami untuk mengikutinya. Tunjukkanlah yang salah itu salah dan jauhilah kami daripadanya. Semoga setiap fikrah yang disampaikan menyentuh isu yang sensitif ini seiring dengan redha-Mu. Diriku hanya mampu berusaha keras untuk memastikannya betul dan berdoa kepada-Mu, selebihnya kuserahkan pada-Mu untuk sesuatu yang diriku tidak mampu. Aku lemah dan tidak berdaya kecuali dengan kekuatan yang Kau berikan. Kumerayu hadirkanlah nasihat-nasihat membina buatku jika ada sesuatu yang lebih baik. Sudilah mengampuniku pada apa yang aku sengajakan dan apa yang diriku tidak ketahui.
            Saya berasa tenang apabila Rasulullah SAW memujuk:

اذا اجتهد الحاكم واصاب فله اجران واذا اجتهد فأخطأ فله اجرا واحد
(رواه البخارى ومسلم)

“Apabila seseorang hakim menjatuhkan hukuman lalu ia berijtihad dan didapati apa yang ia ijtihadkan itu benar, maka ia mendapatkan dua pahala, sekiranya pula ia menjatuhkan hukuman dan berijtihad serta salah maka ia mendapat satu pahala sahaja.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Saya bukanlah hakim yang mampu berijtihad. Oleh sebab itu, saya banyak memanfaatkan pendapat-pendapat ulama-ulama fiqh kontemporari yang dikenali seantero dunia berdasarkan keluasan ilmu mereka dan ketepatan ijtihad mereka. Lagipun, Ahl Al-Sunnah wa al-Jama‘ah tidak menghalang seseorang individu itu boleh berbeza-beza tahapnya dalam persoalan fiqh dalam suasana yang berbeza-beza. Semua ini bergantung kepada kemampuan dirinya dan persekitaran yang dihadapinya.
Anggaplah permasalahan yang diutarakan di dalam karya ini unik kepada suasana watak-wataknya. Keputusan watak dalam pilihan hidupnya adalah haknya untuk memilih. Ada yang sesuai dan ada yang kurang sesuai untuk dipraktikkan dalam suasana orang lain yang mungkin berbeza. Sama-sama menghormati perbezaan selagi mana ia berada dalam batasan.
Kepada mereka yang ingin melontarkan sebarang pandangan dan perbincangan sihat, saya amat mengalu-alukannya. Emailkan kepada: fs_loveislam@yahoo.com atau fatimahsyarha@yahoo.com . Selagi mana sesuatu perkara itu dibenarkan khilaf (berselisih), maka memaksakan semua orang berpegang pada satu pendapat hanya akan menambahkan lagi perpecahan. Kita hanya mampu menyampaikan, terserahlah kepada penerimaan orang lain. Asalkan pegangan kita semua jelas daripada sumber yang ma’sum (terpelihara), dikuatkan pula dengan hujah ilmiah bukannya daripada dorongan nafsu dan kepentingan peribadi.
            Kepada Allah Azza wajalla, kupersembahkan sekelumit tinta ini untuk menolong agama-Mu. Sudilah menerimanya dan meneguhkannya. Jangan Kau jadikan ia sia-sia bak debu yang berterbangan. Penerimaan-Mu yang paling penting daripada segala-galanya.
Kepada semua pembaca, selamat menikmati bacaan anda kerana Allah. Untuk makluman semua, memandangkan novel ini sebuah novel islami yang ilmiah, maka seperti mana buku ilmiah yang lain, ia turut menyelitkan dalil daripada ayat-ayat suci al-Quran dan al-Hadis.
Kisah yang anda tatapi ini hanyalah rekaan semata-mata, tiada kaitan dengan mana-mana pihak. Jika ada sedikit persamaan, anggaplah ia hanyalah kebetulan dan harap sudi dimaafkan. Hajat doa dan nasihat kalian. Wassalam.

FATIMAH SYARHA MOHD NOORDIN.

Tinta Pengarang Sebarkan Cinta-Mu Reviewed by Fatimah Syarha on 11:29:00 Rating: 5 Alhamdulillah!!! Kalimah apa lagi yang lebih baik untuk kulahirkan syukurku pada-Mu ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Mah...

3 comments:

  1. Assalamualaikum,
    Alhamdulillah dah berjaya order Sebarkan CintaMu.
    Tunggu delivery sampai je:)

    Kak Fatimah,kalau ada masa check email ya.
    Syukran.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum...

    Alhamdulillah dan Tahniah kerana menghasilkan satu karya yang hebat dengan izin Allah s.w.t. Novel yang pertama kali dalam hidup saya yang saya habis/qatam membacanya dengan penuh minat . Suami yg membeli buku tersebut dan saya berjaya curi2 masa selepas selesai tugasan rumahtangga untuk membacanta. Terima kasih kerana tulisan puan dapat memberi satu motivasi dan semangat baru dalam diri saya . Insyaallah berdasarkan fakta dan dalil yang dibentang dengan terperinci dapat memberi kefahaman tentang kehebatan syariat Allah dan Islam terutamanya bab poligami. Semoga puan terus diberi Allah rahmat untuk menghasilkan karya penulisan yang dapat memberi manfaat bersama. Wassalam..

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum kak fatimah...apa khabar? alhmadulillah sha minat sngat2 dgn karya k.fatimah yang bnyk mmbantu sha berubah ke arah kebaikan..semua karya k.ftimah sha dah baca dan ad setengahnya sdah dimiliki...semoga k ftimah truskn entry sebarkan bahagia dah sha sngat bahagia...trima kasih k,ftimah kerana mnyedarkn sy akan cinta Allah yg lebih hakiki berbnding cinta manusia yg kdang2 melekakan =)

    ReplyDelete