BERNIKAH DARI JAUH - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

BERNIKAH DARI JAUH


Semoga puteri-puteri kebanggaan ummi dan abi dapat mencontohi peribadi Ubbad (Tekun beribadah) dan Ruhama' (Berkasih-sayang) dalam jiwa kebanyakan sahabat dan sahabiah Rasulullah SAW

Ramlah binti Abu Sufyan: Bernikah Dari Jauh.

Profil

·         Nama penuh beliau ialah Ramlah binti Abu Sufyan bin Harb.
·         Digelar Ummu Habibah.
·         Sepupu Nabi SAW.
·         Berhijrah ke Habsyah dan suaminya murtad di sana.
·         Dinikahkah dengan Rasulullah SAW di negara Habsyah berwakilkan Raja An-Najasyi.
·         Isteri  Rasulullah SAW yang paling banyak menerima mahar iaitu 400 dinar ditambah dengan kelengkapan-kelengkapan lain. (Siyar A’laam An-Nubalaa’, Adz-Dzahabi, vol.2, hlm. 218-219).
·         Saudara kandung kepada Khalifah Muawiyah.
·         Meninggal pada masa pemerintahan Muawiyah.

Ayahnya Hebat Menentang

                Ramlah binti Abu Sufyan atau Ummu Habibah merupakan puteri kepada seorang tokoh musyrik.  Berbangsa Quraisy.  Siapa tidak kenal Abu sufyan?
Ayahnya hebat mengerah minda siang dan malam untuk menghancurkan Islam.  Biarpun begitu, hidayah menerobos masuk ke dasar hati Ummu Habibah sejak fasa pertama  dakwah Rasul. Begitu juga hidayah menerpa suaminya.
Abu Sufyan tidak redha dengan ke-Islaman mereka. Dia berusaha sehabis daya memurtadkan kembali puteri dan menantunya. Kemarahan dan kebencian meluap-luap. Hinggakan, orang-orang Quraisy berani menindas pasangan mukmin itu dan memberi tekanan dari segala arah. Masakan tidak, ayah mereka sendiri tidak akan membela.

Membawa Diri ke Habsyah

Deraan mental dan fizikal di bumi Makkah tidak tertahan lagi. Ummu Habibah dan suaminya termasuk dalam golongan mustad’afuun (orang-orang yang lemah, tiada pembela).
Rasulullah SAW mengizinkan para sahabat berhijrah ke Habsyah. Ummu Habibah dan suaminya berada di barisan pertama.
Orang-orang musyrikin Quraisy tidak berdiam diri. Mereka berhimpun lalu memutuskan untuk menghantar dua orang delegasi hebat ke Habsyah. Tujuannya untuk menghasut Raja An-Najasyi agar menghalau muslimin yang berlindung di sana.
Di istana, dialog sengit berlaku antara delegasi musyrikin Makkah iaitu Abdullah bin Abu Rabi’ah dan Amr bin Al-Ash bin Wail, kaum muslimin di Habsyah dan Raja An-Najasyi. Hujah kaum muslimin lebih bersinar terang. Bergemerlapan cahayanya. Akhirnya, An-Najasyi mengisytiharkan ke-Islamannya secara terbuka. Ummu Habibah dan kaum muslimin yang lain hidup dalam keadaan aman damai.

Terpisah Akidah

                Disangka  panas hingga ke petang. Rupanya hujan di tengah hari. Kedamaian yang disangka berpanjangan, rupanya ada ujian berat di hadapan. Suami tercinta, Ubaidullah murtad dari Islam dan memeluk agama Nasrani.
                Ummu Habibah sedih bukan kepalang. Beliau murung berpanjangan. Kehidupan asing di negeri orang lebih menambah tekanan. Ingin kembali ke Makkah, ayahnya sudah membuang. Terpaksalah beliau bertahan di situ dalam serba keterasingan. Hanya Allah teman kesedihan.

Kebahagian Menyeruak

                Ketika hidupnya rebah di dada sepi, datanglah pembelaan dari Ilahi. Suatu hari yang cerah, seorang pelayan wanita Raja An-Najasyi telah menyampaikan pinangan Nabi. Wajah Ummu Habibah yang mendung kini berseri-seri.
                Untuk mengubat derita Ummu Habibah, pernikahan disegerakan. Raja An-Najasyi menjadi wakil daripada Rasulullah SAW untuk melafazkan akad sakinah. Semua para sahabat di Habsyah berkumpul untuk meraikan pernikahan barakah itu.
                Kemudian, si pengantin baru dikirimkan ke Makkah. Bersamanya Syurahbil bin Hasanah. Raja An-Najasyi yang baik hati itu menanggung segala bekalan perjalanan. (Rujuk lanjut Riwayat Abu Daud). Ummu Habibah lalu pulang ke Makkah mendapatkan cinta hatinya, seorang Nabi.
Berada di sisi Nabi, dengan pangkat besar, Ibu Orang-orang Beriman, keimanannya bertambah tinggi. Kelembutan sikap dan kemuliaan akhlak Rasul mengubat segala sendu.

Memuliakan Suami

                Sebelum berlakunya pembukaan Makkah, Az-Zuhri meriwayatkan bahawa Abu Sufyan datang ke Madinah untuk membincangkan perihal genjatan senjata. Rasulullah SAW menolak.
                Abu Sufyan lalu mendatangi rumah puterinya. Ketika dia hendak duduk di atas alas yang biasa diduduki oleh Rasulullah SAW, Ummu Habibah segera mengambil dan melipatnya.
                Abu Sufyan terkejut. Dia bertanya,
                “Kamu tidak suka ayah duduk di atas alas ini? Atau kamu tidak suka alas ini diduduki oleh ayah?”
                Ummu Habibah menjawab,
                “Saya tak suka alas ini diduduki oleh ayah kerana ia milik Nabi. Sedangkan ayah ini najis dan musyrik.”
                Abu Sufyan berkata perlahan,
                “Puteriku, engkau banyak berubah setelah jauh dariku.” (Rujuk al-Ishaabah, vol. 8. Hlm. 142).

Perpisahan Di Dunia

                Perginya seorang Rasul, suami dan kekasih adalah saat paling gelap dalam hidup Ummu Habibah. Akidah yang mantap mengakar membuatkan beliau tetap teguh dengan keimanan. Hari-hari yang dilalui tanpa suami dihiasi dengan banyak berpuasa dan bersolat malam.
                Ummu Habibah diberikan umur panjang sehingga pemerintahan Muawiyah, saudara kandungnya. Beliau sentiasa dihormati dan disegani oleh setiap orang lebih-lebih lagi ketika saudara kandungnya itu diangkat menjadi pemimpin besar.

Mengubat Pahit Bermadu

                Auf bin al-Harits berkata, Aisyah r.ha pernah berkata, “Menjelang wafatnya, Ummu Habibah memanggilku lalu berkata, ‘Di antara kita pernah ada beberapa hal yang biasa terjadi antara isteri-isteri yang bermadu. Aku memohon semoga Allah mengampuni segala kesalahanku dan kesalahanmu berkenaan hal itu.’”
                Aisyah membalas, “Semoga Allah mengampuni segala kesalahanmu dalam hal itu dan semoga menghalalkan semuanya.”
                Ummu Habibah berkata lagi, “Saya berasa sangat bahagia. Semoga Allah memberikanmu kebahagiaan pula.” Ummu Habibah juga memnaggil Ummu Salamah dan mengatakan hal yang sama. (Riwayat Ibnu Saad).
                Ummu Habibah meninggal dunia pada 44 Hijriah pada masa pemerintahan Muawiyah. Semoga Alah meredhainya dan beliau juga meredhai Allah.


BERNIKAH DARI JAUH Reviewed by Fatimah Syarha on 08:08:00 Rating: 5 Semoga puteri-puteri kebanggaan ummi dan abi dapat mencontohi peribadi  Ubbad  (Tekun beribadah) dan  Ruhama'  (Berkasih-sayang...

9 comments:

  1. salam 'alaik ya ukhti fi rahmatillah, saya ingin bertanyakan sesuatu kepada akak mengenai soal perkahwinan. i'Allah saya bakal mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan dan saya tertarik kepada tajuk ini yang mengatakan bernikah dari jauh. saya masih lagi seorang pelajar dan saya bakal melangsungkan perkahwinan. jadi, saya akan berkahwin dalam pertengahan tahun hadapan. seterusnya hujung tahun pula akan dilaksanakan walimah. Justeru, saya ingin memohon dengan seikhlasnya melalui akak menurut pendapat dan pandangan islam, cara atau apa sahaja nasihat yang akak (islam) boleh berikan kepada saya untuk menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar dan isteri kelak. saya mengharapkan diri ini(hanya kepadaNya) agar dikuatkan iman dan semangat serta saya tidak akan mengambil peduli "perbualan msyarakat" kepada saya dan bakal suami kelak oleh kerana saya masih lagi pelajar. sesungguhnya perkahwinan ini juga merupakan pengaturan kedua belah pihak(keluarga) moga saya tetap bersabar. i'Allah saya bersedia sebagai zaujah namun saya gusar dan risau seandainya diri ini lemah untuk menghadapi apa jua keadaan kerana saya dan suami tinggal berjauhan kerana saya masih belajar sedangkan bakal suami pula bekerja. jadi, kami masing-masing saling berada berjauhan. maaf di atas segala kelemahan diri ini yang bertanyakan di luar kotak perbincangan. syukran^_^ mohon perkongsian akak. sampaikan tips yang mampu nur cuba untuk laksanakan. salam sayang dari *nur_
    ~~~la haula wala quwwata illa billah~~~

    ReplyDelete
    Replies
    1. salam sayang adikku bakal pengantin solehah.
      Ampun maaf, akak baru terbaca mesej adik ini.

      Situasi adik
      1. Adik telah redha agama dan akhlak si dia, bukan di paksa-paksa.
      2. Adik telah mendapat restu dari keluarga kedua-dua pihak.

      Berbahagialah adikku. Faktor-faktor ini mempunyai impak yang besar dalam perkahwinanmu nanti.

      Berkenaan pandangan masyarakat, ianya penting tapi tidaklah sepenting pandangan Allah dan restu ibubapa kita.
      Dahulukan yang lebih penting daripada apa yang penting.
      Masyarakat bercakap sekejap sahaja, lepas tu dia lupa. Bahkan, jika adik menunjukkan contoh cemerlang ketika belajar, ramai insan yang mempunyai sitausi sama dengan adik akan membuka mata, mempunyai contoh untuk dirujuk.

      Berkenaan cinta jarak jauh...
      take it positive. Ini zaman IT. Cinta boleh bersemarak di alam maya,, SMS, CALL, E-MAIL dsb.
      Bahkan rindu yang disubur-suburkan selepas nikah ini berbuah pahala yang tidak sudah-sudah. saling meneguhkan. saling memberi perhatian.
      Bila bertemu, penuh 'kehangatan'. Nikmatilah cinta halalmu!

      Delete
  2. k.ha.. mohon diberi pcerahan utk ujian hebat dri ukhti an-nur..

    ReplyDelete
  3. salam 'alaik. akak maaf ea, mungkin soalan nur ni terlebih pulak. namun, nur akan terus tunggu unk dapatkan nasihat berguna dari akak. maaf atas segalanya
    ~~~la haula wala quwwata illa billah~~~

    ReplyDelete
  4. salamun a'laik.. akak, ana masih lagi baru berkecimpung dalam pembabitan blog.. jadi, ana nak tanya, macam mana ya rakan2 ingin m'lihat atau m'ninjau2 blog ana? dan d'harap akak dapat lah singgah sebentar di dashboard blog ana.. mungkin hanya untuk melepaskan sedikit kegersangan dalam hati.. =) http//seindahfaratulaisya.blogspot.com.. atau fb ana, eira salamun.. asifah.. salamun a'laik..

    ReplyDelete
  5. asalamualaikum akk.
    alhamdulilah pertemuan blog ini stu yang bermanfaat, akk saya ingin bertanya pada akk, keluarga saya telah menjodohkan saya dengan seorang perempuan yang juganya seorang hafizah tetapi saya masih tidak bersedia menjadi seorang suami kerana saya masih mnuntut dalam masa yang sama sy meminati salah satu sy yang beljar di faculty yang sama. saya ingin menolak namun apabila saya balik bercuti 3bulan ini keluarga saya dah bersungguh-sungguh sangt nak jodohkan saya dengan hafizah tu sebelum sy fly 2bulan dr sekrang. sy redha tapi saya risau andai xmampu jadi suami yang baik dan soleh pada wanita sebaiknya, sy juga risau apabila saya pulang semula ke zech perasaan syg tu wujud pada wanita yang sy minati tu, sungguh jika boleh sy xnak jadi suami yang mcm ni nak2 bila lihat bakal isteri yang terlebih baik berbanding saya yang xsempurna ni. ~amar yasir~

    ReplyDelete
  6. assalamualaikum,,ustazah fatimah syarha,,
    ustazah,,
    saya ingin berkongsi dengan ustazah,,saya menyayangi seorang sahabat saya kerana allah,,dia juga mnyayangi sya ,,tapi,,ustazah,,kami masih di alam persekolahan,kami bakal mnghadapi peperiksaan spm pada tahun hadapan,,,saya kerap menghubunginya ustazah,,saya tak couple pn dngan dia,,tapi,,saya snagt menyayangi dia ustazah,,saya banyak membaca mengenai cinta islamik,,,dan saya terfikir,,apakah yang saya lakukan ini salah??tapi,,saya tau,,saya tak lakukan perkara yang allah murka,,saya sayang dia kerana allah,,saya ingin dia menjadi teman sya seumur hidup,,jika diizinkan allah,,saya selalu berdoa kepada allah,,agar dijodohkan dengan dia,,agar allah menjada hati kami,,ustazah,,tolong saya,,bantu saya,,apa yang saya perlu lakukan??kerana saya telahpun meluahkan,,yang saya sayang dia,,saya harap,,ustazah sudi memberi nasihat kepada saya,,wassalam,,

    ReplyDelete
  7. salam mahabbah ilallah,ustazah
    ana ada emailkan pada alamat ustazah (fc_loveislam@yahoo.com) mengenai satu permasalahan. mohon respon ustazah. syukran kathiran jiddan ustazah :)

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum.ustazah

    ReplyDelete