Ekspo Buku Islam, bedah buku bersama Fatimah Syarha - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Ekspo Buku Islam, bedah buku bersama Fatimah Syarha





PETIKAN DARI NOVEL SEBARKAN CINTA-MU
Petang itu, Sarra dipanggil ke bilik Ustazah Qatrun sekali lagi. Dia tidak banyak bertanya. Permintaan ustazahnya dihormati lalu dipenuhi. Kakinya melangkah bersama beberapa buah buku yang didakap ke dada.
Sarra mengungkap salam dari balik pintu.
Krekk…
Pintu dibuka. Ustazah tersenyum menyambutnya. Sarra terkejut melihat seorang lelaki dan seorang wanita turut berada di situ. Si lelaki nampak serius. Serbannya besar, janggutnya lebat. Dia bersandar di kerusi utama. Pakaiannya itu menyalurkan rasa hormat dan segan Sarra kepadanya.
Si wanita pula nampak tenang. Duduk di sebuah kerusi plastik berwarna merah di sisi kanan lelaki itu. Cuma kerusinya ke belakang sedikit. Ustazah Qatrun duduk di sebelah wanita itu.
“Sarra, ini suami ustazah, Ustaz Murad. Ini pula madu ustazah. Boleh panggil Kak Syida. Kak Syida ini kawan rapat ustazah semasa belajar dahulu. Ada dua anak. Tengok, kami madu yang sejahtera,” kata ustazah.
Dia meletakkan sebelah tangan di atas bahu Kak Syida. Kak Syida tersenyum. Kepala Sarra bercelaru memikirkan maksud ustazah mengadakan pertemuan itu.
‘Adakah ingin memujuk lagi? Ataupun mahu mengajak aku menjadi yang ketiga?’ fikirnya dalam teka-teki.
“Kami tidak pernah berperang. Boleh keluar ke mana-mana secara bersama. Malah, ketika hendak berkahwin dahulu, Kak Syida yang meminang ustazah untuk suaminya. Ustazah ada seorang anak dan semasa ustazah datang bekerja, Kak Syida yang menjaganya,” beritahu Ustazah Qatrun lagi.
Sarra memandang Kak Syida. Wanita itu diam sahaja. Mengiya tidak, menafikan pun tidak.
Alhamdulillah. Inilah hikmah poligami yang diaplikasikan dengan terhormat. Apabila suami berjaya memenangi kerelaan isteri pertama dan berpoligami atas dasar keperluan bukan nafsu, maka inilah natijahnya. Saya tumpang gembira,” puji Sarra.
Dia cuba membuktikan bahawa dia tidak prejudis dalam isu itu.
 “Bukan itu sahaja penyebabnya. Penyebab utama adalah isteri-isteri saya bukanlah wanita yang tamak, lokek berkongsi, mengikut nafsu, menghalang sunnah dan sanggup menentang hukum Allah. Sekiranya saya mahu tambah yang ketiga atau keempat pun, bila-bila masa sahaja saya boleh lakukan, tanpa halangan,” kata suami Ustazah.
Sarra terpukul. Dia menghormati mereka semua dan pilihan mereka bagi berpoligami. Namun, dia agak terkilan dengan kenyataan itu. Ia seakan-akan mengurung pemikiran wanita di dalam paradigma sempit.
Sarra tidak marah sekiranya suami menuntut kerelaan isteri pertama dengan cara memikat hati dan berlaku baik. Ia suatu kemahiran yang layak dikagumi. Namun, Sarra berasa marah sekiranya diketahui suami menuntut kerelaan isteri pertama dengan memperalatkan agama dan mengancam dengan balasan akhirat. Sarra memujuk hati agar berbaik sangka kepada pasangan di hadapannya.
Alhamdulillah, saya hormati. Cuma, saya mahukan kepastian. Ustaz tidak bermaksud mengatakan wanita yang tidak rela bermadu itu tamak dan menentang hukum Allah, bukan?” Sarra mahukan lebih penjelasan bagi membantu dirinya dapat terus berbaik sangka.
“Saya dengar kamu ini pelajar pintar. Itu pun kamu tidak boleh fikir? Sekiranya tidak rela bermadu, memang jelaslah tamaknya dan tidak mengikut hukum,” pantas Ustaz Murad memberikan jawapan.
Perasaan Sarra terhenyak. Jiwa remajanya yang cepat memberontak sekan dicucuh api.
“Habis, lelaki yang menambah isteri padahal isterinya sudah mampu memberikannya anak dan cukup menjaga makan pakainya, itu juga dikira lelaki tamak dan tidak mengikut cara Nabi?” Sarra memulangkan paku buah keras.
Dia tidak berniat sengaja mengenakan. Dia cuma mahukan keadilan dan pembelaan terhadap wanita atas tuduhan sebegitu. Namun, Ustaz Murad nampaknya berasap telinga.
“Kamu menuduh saya?” Ustaz Murad membeliakkan mata.
“Maaf, sekiranya ustaz terasa. Sampai saat ini saya masih sangat hormat ustazah saya. Ustazah Qatrun seorang yang sangat baik. Saya yakin suaminya juga baik. Saya hormat pilihan hidup kalian. Cuma saya pinta jangan cepat menghukum orang yang tidak memilih jalan hidup yang sama,” kata Sarra.
“Sebab itu kami semua jumpa kamu. Kami mahu kamu tahu betapa bagusnya hidup berpoligami. Saya sayang semua isteri saya sama rata. Kedua-duanya dapat 100 peratus. Tiada lebih, tiada kurang. Adil zahir batin. Lihat isteri-isteri saya, baik-baik sahaja. Boleh naik kereta sekali, boleh keluar makan sekali. Sekiranya saya pegang tangan isteri kedua depan isteri pertama, isteri pertama langsung tidak berkata apa-apa,” bangga Ustaz Murad.
Sarra memandang isteri pertamanya. Terasa mahu mengorek isi hati sebenar wanita itu. Hati Sarra berbisik,
‘Ustaz boleh ceritakan yang indah-indah sahaja berkenaan poligami. Ustaz boleh beritahu semua orang. Hakikat sebenarnya yang berlaku dalam rumah ustaz, Allah lebih tahu. Masa dan perhatian kepada isteri dan anak-anak pasti berkurang seiring dengan besarnya tanggungjawab untuk mencari nafkah dan membahagi giliran. Ustaz tidak melalui bagaimana para isteri menjeruk perasaan sebab mencari redha Allah dan redha suami. Sekiranya ustaz sesuka hati melukai hati isteri-isteri ustaz ini, tunggulah pengadilan Allah di sana. Isteri pula hanya mampu katakan yang baik-baik sahaja untuk menjaga nama baik suami.’
Buruk sangka menyerang. Sarra yakin tindak-tanduk daripada kecemburuan Ustazah Qatrun dan madunya sudah tentu lebih berat daripada para isteri Nabi kerana mereka tidaklah sebaik isteri Nabi. Apatah lagi, suami mereka tidaklah sehebat Rasulullah dalam kerja keras melaksanakan keadilan.
Mujurlah, isteri-isteri Nabi yang jujur kepada ilmu, hidayah dan kebenaran mendedahkan segala kerenah kecemburuan mereka dan kesabaran Nabi melayan mereka. Ia menjadi bukti bahawa Islam ini benar-benar agama yang memahami fitrah manusia dan menghormati fitrah kejadian wanita. Tiada wanita pada zaman ini lebih baik daripada isteri-isteri Nabi hingga langsung tidak cemburu dan tidak bersengketa. Sekiranya ada yang menafikannya, dia mungkin sedang menipu, fikir Sarra.
            “Ustazah bawa suami dan madu ustazah ini sebab mahu menunjukkan kepada Sarra sisi positif poligami. Ustazah rasa selama ini Sarra nampak sisi gelapnya sahaja,” kata ustazah.
            “Maksudnya, saya berat sebelah?” tanya Sarra.
“Bukan begitu. Sarra mungkin tidak pernah nampak poligami yang aman seperti yang ustazah lalui. Sarra cuma nampak perlaksanaan poligami ibu bapa Sarra dan ibu bapa Madam Zeema sahaja serta bacaan-bacaan sisi gelap berkenaan poligami,” kata ustazah.
“Sekiranya dalam masyarakat umum, penyalahgunaan poligami  lebih merata berbanding yang adil seperti ustazah, sudah tentu sisi gelap yang lebih nampak di mata sesiapa jua. Tidak patut kita hanya bersikap memejamkan mata dan memekakkan telinga sahaja kepada realiti negatif yang banyak berlaku. Saya yakin saya boleh buktikan kenyataan ini dengan kajian sosial selain mengkaji kajian-kajian lain yang pernah dilakukan,” kata Sarra.
“Awal-awal lagi kamu sudah menunjukkan bahawa kamu ini seorang yang berat sebelah. Tidak usahlah mengkaji apa-apa, kamu akan tetap nampak sisi gelap sahaja. Apabila kamu membeli buku Bahagiakan Dirimu dengan Satu Isteri pun, saya sudah dapat mengagak kamu ini jenis yang bagaimana,” hentam suami ustazah.
“Sekiranya begitu, adilkah orang yang nampak sisi cerah sahaja padahal realitinya tidak begitu?” ujar Sarra.
Wajah suami ustazah berubah, nampak marah.
“Apakah Islam memejamkan mata sahaja kepada realiti yang berleluasa? Perlaksanaan poligami banyak yang zalim. Bukankah hukum-hakam Islam yang asalnya harus boleh melentur mengikut zaman? ” Sarra mencucuh petrol.
“Kamu mahu haramkan poligami? Kamu mahu jatuh kafir?” tengking Ustaz Murad.
“Yang saya maksudkan hukum-hakam dan perlaksanaannya bukan pensyariatannya. Bertakwalah daripada cepat melabel kafir sebelum benar-benar mengkaji,” balas Sarra.
“Kamu betul-betul besar kepala padahal belajar di KOSDAT sahaja. Saya dahulu belajar di Jordan dan Syria, tetapi tidak pernah berlagak begini depan orang yang lebih berilmu,” tegur Ustaz Murad dengan keras.
 “Maaf abang. Harap abang faham, anak murid saya ini memang terbuka sedikit dalam bersuara. Jangan ambil hati, ya.” Ustazah Qatrun menenangkan suaminya yang nampak jauh lebih beremosi daripada Sarra.
“Diam! Awak tidak perlu masuk campur. Tahulah saya berhujah dengan orang begini,” marah Ustaz Murad.
Ustazah Qatrun menunduk ke lantai, tidak berani bersuara lagi.
“Maafkanlah saya, saya memang budak baru belajar sekiranya salah tolong tunjukkan. Saya cuba bersikap adil dan ilmiah dalam isu ini.” Sarra berniat menjernihkan suasana.
“Cakap bolehlah,” provok Ustaz Murad.
“Saya hairan dengan orang yang kebakaran janggut selepas membaca buku Bahagiakan Dirimu dengan Satu Isteri. Sedangkan mereka tidak pula kepanasan melihat terbitnya buku Indahnya Berpoligami. Orang yang tidak berat sebelah sepatutnya positif terhadap kedua-dua jenis karya sebegini. Perlu menghormati lontaran pendapat kedua-dua penulisnya kerana perbezaan pendapat itu lumrah,” balas Sarra.
“Buku Cahyadi itu bahaya. Ia menjadi hujah bagi kaum wanita untuk marahkan suami. Sepatutnya dia membantu menundukkan ego wanita supaya senang suaminya berpoligami,” bantah Ustaz Murad.
“Menjelaskan poligami sebagai suatu alternatif itu penting. Mendedahkan hakikat monogami lebih jauh daripada berbuat aniaya itu penting. Membimbing pasangan berpoligami bagi mengurus cemburu itu penting. Memberi pertimbangan yang wajar kepada orang yang belum berpoligami itu juga penting. Semuanya penting dijelaskan kepada masyarakat. Tidak perlu dipersoalkan fokus si penulis. Fokusnya datang bersama keperluan,” jawab Sarra.
“Ustaz hairan mengapa kamu berat sangat berpoligami? Sia-sia kamu menjadi pelajar pintar di sini sekiranya akhlak kamu seperti ini,” kata lelaki berjanggut itu.
“Ustaz, hormatilah perasaan wanita yang berat bermadu. Benarkan hati wanita mempunyai perasaan. Saya tidak prejudis kepada pilihan ustaz bagi berpoligami. Saya juga tidak mengkritik pilihan ustazah untuk  menjadi isteri kedua, ketiga ataupun keempat. Maka, saya pohon, hormatilah wanita yang memilih tidak mahu bermadu. Kes kita adalah berlainan dalam soal ini. Bebaskan wanita bagi mempertimbangkan dengan akal dan fikiran mereka untuk membuat pilihan kepada sesuatu yang tidak dipaksakan syariat,” jawab Sarra.
“Poligami sunnah Nabi. Sekiranya kamu rasa ia bukan sunnah Nabi, kamu perlu segera insaf kemudian bertaubat dan sekiranya berkeras maka hukumnya adalah bunuh. Menolak sunnah itu kafir. Apabila sudah datang lelaki soleh meminang kamu, terima sahajalah walaupun terpaksa berpoligami. Bukankah Nabi sudah mengingatkan, sekiranya menolak akan berlaku fitnah di atas muka bumi,” kata lelaki berjanggut lebat itu lagi.
“Maaf, ustaz. Itu namanya pemaksaan dengan menggunakan dalil agama. Pemilihan suami adalah hak saya,” kata Sarra.
“Sikap kamu ini boleh menjauhkan orang Islam daripada amal poligami. Nanti akan terjadi fitnah besar jika syariat ini tidak ditegakkan,” kata suami ustazah.
“Menjauhkan? Habis, ustaz mahu mendekatkan dan menggalakkan orang Islam dengan poligami? Pernah ataupun tidak ustaz mengkaji fitnahnya boleh menjadi jauh lebih besar. Poligami bukan perintah wajib ataupun sunnah. Ia cuma harus. Sedangkan Nabi tidak pernah menyeru sesiapapun menambah isteri. Nasihat supaya mengurangkan isteri memang ada. Saya tetap memilih hidup tidak berpoligami,” jawab Sarra.
“Kamu memang degil, kamu patut terima sahaja Ustaz Syukur itu. Dia baik dan soleh. Ada kemampuan untuk berpoligami. Lagipun, dia mimpikan kamu dalam istikharahnya. Pada waktu dekat dengan subuh lagi. Kenapa kamu tetap mahu pertahankan keegoan kamu itu hingga hasrat dia untuk menegakkan sunnah terhalang?” marah lelaki itu.
“Rasulullah SAW paling khusyuk dan paling banyak beristikharah dalam setiap urusan hidupnya. Namun pinangannya pernah ditolak oleh Ummu Hani’ binti Abu Thalib sebanyak tiga kali. Istikharah kita tidak boleh menjadi hujah bagi orang lain,” balas Sarra.
Dia menyambung,
“Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar juga paling meladeni akhlak Nabi tetapi peminangannya terhadap Fatimah ditolak Nabi. Semua ini ada kaitan dengan cuba mengelakkan poligami. Nabi tidak pernah menghukum ego kepada orang yang tidak menyukai poligami berlaku ke atas dirinya. Lihatlah betapa mulia akhlak Rasul dan sahabat. Mereka meraikan suara dan hak wanita. Mereka tidak cepat mengafirkan orang,” hujah Sarra.
Wajahnya merah. Suaranya agak beremosi.
“Tetapi Nabi kita sukakan poligami sebab itu baginda buat. Kita perlu ikut sunnah Nabi. Sekiranya kamu tidak berkahwin dengan Ustaz Syukur sekalipun, jika suami kamu nanti mahu berpoligami, kamu wajib katakan ‘ya’ sahaja. Sekiranya kamu melarang, dia tetap akan berkahwin juga di Siam sebab lelaki tidak suka dihalang. Melarang suami bermakna melarang sunnah. Berdosa besar. Lelaki dayus sahaja sanggup mendengar suara emosional isterinya. Jangan lancang-lancang meminta cerai, nanti tidak bau syurga.” Bertalu-talu ayat-ayat pedas merodok masuk ke telinga Sarra. 
Sarra beristighfar dalam hati bagi cuba menguasai kewarasannya. Jiwa mudanya sedang menggelegak 100 darjah celcius.
Kedua-dua isteri lelaki itu saling berpandangan. Mereka tahu suami mereka pantang ditegur sekiranya dia sedang marah. Mereka tidak mampu meredakan apa-apa. Menyampuk pun tidak berani.
“Pendapat ustaz ini sangat terang boleh diperdebatkan. Saya tidak mahu membuang masa saya sebab saya tidak suka berhujah dengan orang yang cepat menghukum,” ujar Sarra dengan kemarahan yang ditahan-tahan.
“Kamu ini melulu benci hidup berpoligami, kononnya dekat kepada berbuat aniaya. Pernah kamu mengkaji betapa banyak penganiayaan berlaku dalam monogami? Mungkin jauh lebih banyak,” kata Ustaz Murad.
“Ia tetap tidak seberat ujian cemburu bagi wanita seperti saya. Maka, saya berhak tidak mahu menjerumuskan diri ke dalam suasana yang saya tidak mampu. Mencegah lebih baik daripada merawat,” jawab Sarra.
“Sekiranya Allah hendak mentakdirkan kamu berpoligami, ia akan terjadi juga,” Ustaz Murad menekan suara.
“Saya cuma mahu mengecilkan risiko masa depan saya. Ia berdasarkan pertimbangan akal fikiran saya merujuk al-Quran dan al-Sunnah. Memang semuanya sudha ditakdirkan namun Islam tidak mengajar kita berserah bulat-bulat kepada takdir sebelum ianya terjadi. Tugas kita sebagai hamba adalah membuat pilihan terbaik,” kata Sarra.
“Kamu sebenarnya tidak dapat terima kenyataan. Poligami ini hak istimewa orang lelaki sebab orang lelaki lebih baik di sisi Allah berbanding perempuan. Orang perempuan jangan bercakap apa-apa fasal ini. Islam tidak mengiktiraf apa-apapun suara emosi dan egois perempuan. Sekiranya kamu tetap lancang bersuara, kamu patut sertai sahaja golongan Angkatan Pembela Wanita yang terang-terangan sesat itu,” katanya dengan suara yang kedengaran garang.
Sarra semakin tidak selesa berkomunikasi dengan orang agama yang tidak bersikap ilmiah sebaliknya banyak melabel orang lain.
Lelaki itu, menyambung lagi,
“Tetapi, sekiranya kamu mahu selamat daripada neraka, jangan tolak apa-apa sahaja yang berkaitan dengan sunnah Nabi. Nabi kata, jika ada orang yang menolak sunnahnya maka orang itu bukan di kalangan umatnya. Awas!”
Lelaki itu berasa puas dapat menghenyak Sarra yang dirasakan masih terlalu mentah berbanding dirinya yang lebih tinggi ilmu agama. Sarra terdiam. Geram memang geram namun hatinya masih mampu bermuhasabah. Dia rasa terpujuk apabila teringatkan kata-kata Imam Syafi’e, “Aku boleh menang jika berdebat dengan orang berilmu namun aku selalu kalah jika berdebat dengan orang yang jahil.” Sarra tahu dalam berhadapan dengan orang di hadapannya itu, dia perlu memenangi hati bukan hujah kerana orang itu terlalu keras dengan pendapatnya.
“Mengapa berdiam sahaja? Sudah kalah? Ataupun kamu sudah lembut hati dengan pinangan Ustaz Syukur?” Provok si lelaki berjanggut lebat.
Dia tersenyum sinis.
“Beginilah ustaz, saya berterus-terang bahawa saya memilih cara Nabi…”
Belum sempat Sarra menghabiskan kata-kata, Ustaz Murad menyampuk dengan senyuman lebar,
“Bukankah senang begitu?”
“Cara Nabi adalah hidup bermonogomi dengan pasangan pertamanya, bermonogomi ketika anak-anaknya masih kecil, bermonogomi ketika isterinya mampu melahirkan zuriat dan tetap bermonogomi tanpa apa-apa keperluan mendesak. Sekiranya ustaz mahu mengafirkan saya dengan pilihan saya ini, saya telan sahaja sebab saya yakin Allah akan membela saya,” kata Sarra kemudian minta berundur diri.
“Nanti dulu!” Halang suami ustazah.
Sarra mematikan langkah. Berpaling ke arahnya.
“Kamu sedar atau tidak ayat poligami itu ada di dalam al-Quran? Allah guna feel amar (ayat perintah) lagi. Ia hukum Islam. Kamu mahu menolak al-Quran?” bentak suami ustazah.
Masih mahu berdebat.
“Apa yang ustaz faham dengan istilah hukum Islam? Adakah ustaz menganggap, hukum Islam itu cuma ada satu iaitu wajib, begitu? Atau ada pecahannya yang lain iaitu harus, sunnah, makruh dan haram?” Sarra melontarkan persoalan kemudian dia tekad meninggalkan bilik itu.
“Tidak beradab!” bebel Ustaz Murad.
Ustazah Qatrun menenangkannya.
“Maaf ya, abang. Anak muda darahnya memang panas sikit,” kata Ustazah Qatrun walaupun hatinya tidak dapat menafikan bahawa suaminya lebih panas dalam soal itu.
Isteri pertama Ustaz Murad meminta nombor telefon Sarra daripada madunya.
“Saya cuma mahu mengeratkan silaturahim dengan pelajar sepintar dia,” kata wanita itu.
Ustazah Qatrun tidak banyak bertanya lalu memberikannya. Mereka kemudian sama-sama pulang ke rumah dengan menaiki sebuah kereta. Ustazah Qatrun duduk di kerusi depan, di sisi Ustaz Murad. Sementara isteri pertama duduk di kerusi belakang. Wanita itu merenung telefon bimbitnya dan sedang berfikir bagi menaip sesuatu.
***
Sarra menuju ke musolla. Dia meratakan air pada anggota wudhuk. Solat sunat dikerjakan dua rakaat. Dia mengadu kepada Allah, Kekasih yang paling memahami hati wanita, meraikan dan membelanya. Barulah kepanasan hatinya menyejuk semula.
Usai solat dan bermunajat, Sarra menerima satu sms,

Salam taaruf daripada saya, madu Ustazah Qatrun. Selama ini, saya tidak meluah rasa hati kepada sesiapa selain Allah. Sakit hati, pedih, cemburu dan terluka hanya menjadi rahsia saya dengan-Nya. Saya nasihatkan tulus daripada hati, jangan terlalu berani memilih hidup bermadu sekiranya adik punya pilihan lain. Meskipun poligami sering diuar-uarkan ada hikmahnya, ya itu saya akui, namun ujiannya terlalu berat, boleh mengheret suami atau mana-mana isteri ke neraka dengan mudahnya. Cegahlah sebelum merawat.

Sarra mengesat air mata terharu. Dia membalas sms itu,
Salam buatmu wahai kakakku yang jujur. Izinkan saya bertanya, kenapa kakak pernah terlalu berani mencarikan calon untuk suami kakak sendiri?

Sarra  membaca balasannya,

Simpanlah rahsia ini kerana ia rahsia kakak dengan Allah. Ketika itu, kakak melakukannya tanpa mengkaji. Kakak cuma mahukan kaum lelaki kagum dengan kakak kerana kononnya kakak sudah melakukan pengorbanan luar biasa. Kini, kakak takut Allah menganggap kakak mengharapkan pandangan manusia. Apa sangatlah kekaguman manusia yang sementara itu, akibatnya kini kakak yang menanggungnya sendiri. Suami kakak baik tetapi dia tetap manusia yang terlalu banyak kelemahan, terlalu senang melukakan. Kakak berjuang hingga kini supaya agama kakak tidak terfitnah jika diikutkan sangat kesedihan hati yang membengkak saban hari. Kakak hajat doamu.
Box                       
INFO
AYAT PERINTAH (FEEL AMAR).
Kaedah Berkaitan Ayat Perintah (Feel Amar) di dalam Al-Quran
Berkaitan kaedah Usul Fiqh berbunyi, 'Al-Amru yadullu a’lal wujub'  yang bermaksud perintah menunjukkan wajib, terdapat beberapa pendapat ulama yang membincangkan kaedah ini.
Pendapat jumhur ulama’ mengatakan, menurut kaedah asal, ‘ayat perintah’ menunjukkan wajib. Ia menjadi suatu ‘perintah’ kecuali apabila ada ‘qarinah’ (dalil-dalil lain daripada al-Quran dan hadis atau ijma’ ulama’) yang menunjukkan bahawa ia sebenarnya bukan suatu ‘perintah’.
Pendapat ulama lain pula mengatakan setiap ‘ayat perintah’ perlu kita diamkan dahulu sehinga terdapat dalil-dalil lain yang menunjukkan apa sebenarnya yang dikehendaki oleh maksud ‘ayat perintah’ itu.
Perbezaan pendapat di kalangan ulama ini suatu perkara biasa kerana setiap kaedah tidak dapat lari daripada ‘perkara-perkara terkecuali’ atau disebut istisna’.
Penggunaan Ayat Perintah yang Menunjukkan Hukum yang Berlainan
Contoh-contoh penggunaan ‘ayat perintah’ di dalam al-Quran yang menunjukkan hukum yang berlainan ialah seperti berikut. Ia berdasarkan kajian terhadap qarinah oleh para ahli fiqh:
Wajib: “Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat.” (Al-Baqarah: 83).
Sunat: “Jika kamu berhutang, maka tulislah ia.” (An-Nur: 33).
Harus: “Makanlah.” (Al-Mu’minun: 51).
           “Jika kamu telah bertahallul (menunjukkan selesai mengerjakan ibadah haji),   maka berburulah.” (Al-Maidah: 2)
           “Nikahilah 2,3,4.” (Al-Nisa’: 3)
Haram: “Buatlah sesuka hati kamu.” (Fussilat: 40)
Penggunaan Ayat Perintah yang Bertujuan Tertentu
Selain itu, terdapat pelbagai lagi penggunaan ‘ayat perintah’ selain daripada menunjuk kepada hukum. Contohnya:
Mengugut: “Bersenang-senanglah kamu kerana sesungguhnya tempat kembalimu ke neraka.” (Ibrahim: 30)
Menguji: “Makanlah apa yang Allah rezekikan kepada kamu.” (Al-maidah: 88)
Memuliakan: “Masuklah dengan sejahtera.” (Al-Hijr: 46)
Mengalahkan musuh: “Datangkan satu surah semisal dengannya.” (Al-Baqarah: 23).
End box
Ekspo Buku Islam, bedah buku bersama Fatimah Syarha Reviewed by Fatimah Syarha on 16:25:00 Rating: 5 PETIKAN DARI NOVEL SEBARKAN CINTA-MU Petang itu, Sarra dipanggil ke bilik Ustazah Qatrun sekali lagi. Dia tidak banyak b...

7 comments:

  1. Assalamu'alaikum ustazah. Kulit buku 'Sebarkan Cintamu' memang menarik. Baru tengok kulit dah terpikat. Akak beli masa Ekspo Buku Islam tp blm baca lagi. Insyaallah esok baru mula baca. Wassalam.

    ReplyDelete
  2. “Apakah Islam memejamkan mata sahaja kepada realiti yang berleluasa? Perlaksanaan poligami banyak yang zalim. Bukankah hukum-hakam Islam yang asalnya harus boleh melentur mengikut zaman? ” Sarra mencucuh petrol.
    “Kamu mahu haramkan poligami? Kamu mahu jatuh kafir?” tengking Ustaz Murad.
    “Yang saya maksudkan hukum-hakam dan perlaksanaannya bukan pensyariatannya. Bertakwalah daripada cepat melabel kafir sebelum benar-benar mengkaji,” balas Sarra.

    Salam, nak brtanya.. Apa bezanya 'perlaksanaan' dan 'pensyariatan'. Sy kurg fhm mksdny d stu.. Tkasih

    ReplyDelete
  3. Pensyariatan merujuk kepada asal hukum iaitu jika menurut jumhur ulama sedunia, poligami itu asal hukumnya adalah harus, bukan sunnah, bukan pula haram.

    dalam konteks ini, Sarra tidak menafikan keharusan poligami itu sebagai rukhsah atau keringanan untuk menyelesaikan masalah tertentu sesuai dengan hikmahnya.

    namun, Sarra mempertikaikan 'perlaksanaan' poligami yang dilakukan secara mengambil mudah,tidak meneliti 'rukhsah' itu pada kedudukannya yang patut, mendera psikologi isteri dengan ugutan dan ancaman, sorok-sorok, tipu, dan seumpamanya.

    Ini kita boleh namakan, menerimanya secara 'al-kulli' (ssistem) tapi menentangnya secara 'al-juz'i' (merujuk kepada perlaksanaan).

    Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata, masyarakat berhak menentang pernikahan yang zalim dan tidak bertanggung jawab.

    ReplyDelete
  4. Selama ini, bila berbicara soal poligami,isteri yang solehah hanya pasrah dengan permintaan suami.Namun jauh disudut hati,pedihnya hanya tuhan yang tahu. Jazakillah ustazah. Pengetahuan ini wajib disebarkan.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum ya ukhti. Nak tanya, akan adakah lagi cetakan Novel Seindah Mawar Berduri? Saya teringin untuk memiliki novel tersebut.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam wbt. masih ada sedikit lagi:)

      Delete