Raja Al-Najasyi: Penghilang Duka Muslimin - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Raja Al-Najasyi: Penghilang Duka Muslimin



Bergeliga Meleraikan Kemarahan Rakyat
            “Raja kita sudah terpengaruh dengan agama pendatang itu.”
Berita ini gempar tersebar. Dibualkan di merata ceruk desa dan bandar. Diapi-apikan oleh golongan pemimpin yang dengki. Mereka menghasut rakyat supaya menggulingkan rajanya.
 Bahkan beberapa orang penting ingin membatalkan bai’atnya kepada Najasyi. Najasyi terpaksa berstrategi mengendurkan kemarahan rakyat. Baginda ingin menangani puak pembangkang dengan sikap saksama.
Baginda mengkhabarkan situasi negeri kepada pendatang muslimin melalui ketua mereka iaitu Ja’far bin Abi Thalib. Baginda menyerahkan dua buah kapal sambil berkata,
“Naiklah kalian ke kapal itu, amati perkembangan. Bila beta kalah, pergilah ke mana kalian suka. Tapi kalau beta menang, kalian boleh kembali dalam perlindungan seperti semula.”
Kemudian, Najasyi mengambil sehelai kulit kijang dan menulis, “Aku bersaksi bahawa tiada Ilah kecuali Allah dan Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya  yang terakhir. Dan aku bersaksi bahwa Isa adalah hamba dan utusan-Nya yang ditiupkan kepada Maryam.”
Dipakainya tulisan itu di dada, kemudian dia mengenakan pakaian perangnya dan pergi bersama perajuritnya. Berdirilah Najasyi menghadapi para penentangnya. Baginda mulakan dengan perbincangan. Baginda berkata,
“Wahai rakyat Habasyah, katakanlah, bagaimana perlakuanku kepada kalian?”
Mereka menjawab, “Sangat baik, Tuanku.”
Najasyi berkata, “Lalu mengapa kalian menentangku?”
Mereka berkata, “Kerana Tuanku telah keluar dari agama kita dan mengatakan bahawa Isa adalah seorang hamba.”
Najasyi berkata, “Bagaimana menurut kalian sendiri?”
Mereka menjawab, “Dia adalah putera Allah.”
Maka Najasyi mengeluarkan tulisan yang dipakainya di dada, diletakkan di atas meja dan berkata, “Aku bersaksi bahawa Isa bin Maryam tidaklah lebih dari yang tertulis di sini.”
Di luar dugaan tentang apa yang tertulis, ternyata rakyat menerima dengan senang  pernyataan Najasyi. Mereka membubarkan diri dengan lega. Kebijaksanaan Najasyi menyelamatkan rakyat daripada pertumpahan darah. Dalam masa yang sama, dia tetap teguh dengan kepercayaannya.
Bersahabat dengan Rasulullah SAW Dari Jauh
Keadilan Najasyi melindungi kaum muhajirin yang berhijrah ke negerinya menggembirakan Rasulullah SAW. Lebih-lebih lagi apabila Rasulullah SAW mendengar betapa tawadhuknya hati Najasyi terhadap kebenaran al-Quran. Meskipun mereka tinggal berjauhan, namun hubungan mereka menjadi akrab.
Pada tahun baru 7 hijriyah, Rasulullah SAW berhajat untuk berdakwah kepada enam  orang pemimpin negeri tetangga agar mahu masuk agama Islam. Beliau menulis untuk mengingatkan mereka tentang iman, dan menasihatkan mereka tentang bahaya syirik dan kekufuran.
Maka baginda menyiapkan enam orang sahabat. Mereka mempelajari bahasa kaum yang hendak didatangi terlebih dahulu agar dapat menyelesaikan tugas dengan sempurna. Setelah siap, keenam-enam sahabat itu berangkat pada hari yang sama. Di antara mereka ialah Amru bin Umayah Adh-Dhamari yang diutus kepada Najasyi di negeri Habasyah.
Amru bin Umayah Adh-Dhamari menghadap Najasyi. Dia memberi salam secara Islam dan Najasyi menjawabnya dengan lebih indah serta menyambutnya dengan baik.
Setelah dipersilakan duduk di majlis Habasyah, Amru bin Umayah memberikan surat Rasulullah SAW kepada Najasyi. Surat itu segera dibaca. Di dalamnya tertulis ajakan kepada Islam, disertai beberapa ayat al-Quran.
Najasyi menempelkan surat itu di kepala dan matanya dengan penuh hormat. Setelah itu dia turun dari singgahsana dan menyatakan ke-Islamannya di hadapan hadirin. Selesai mengucapkan syahadat, dia berkata,
“Kalau saja beta mampu untuk mendatangi Muhammad SAW nescaya beta akan duduk di hadapan baginda dan membasuh kedua kakinya.”
Kemudian dia menulis surat jawapan kepada Rasulullah SAW berisi pernyataan menerima dakwahnya dan keimanan atas kenabiannya.
Wakil Rasulullah SAW Menikahi Ummu Habibah
Kemudian, Amru bin Umayah menyodorkan surat Nabi SAW yang kedua. Dalam surat itu, Rasulullah SAW meminta agar Najasyi bertindak sebagai wakil untuk pernikahan baginda  dengan Ramlah binti Abu Sufyan yang termasuk rombongan Muhajirin ke Habasyah.
Ramlah yang lebih dikenali sebagai Ummu Habibah sedang menghadapi ujian hidup yang sangat getir. Ayahnya antara penentang Islam yang paling utama.
Suaminya Ubaidullah bin Jahsy pula mati dalam keadaan murtad.
Hancur hati Ummu Habibah tatkala suaminya masuk agama Nasrani dan berbalik memusuhi Islam serta kaum muslimin. Pekerjaannya hanya duduk-duduk di tempat maksiat dan menjadi pemabuk berat. Bahkan dia memberikan tawaran kepada Ummu Habibah, ikut agama Masehi seperti dirinya atau diceraikan.
Ummu Habibah tidak memilih suami atau ayahnya. Dia memilih Allah dan Rasul. Terkontang-kanting bersama puterinya, Habibah di bumi Habsyah yang asing. Tanpa ayah dan suami sebagai pembela hidupnya, dia ibarat sebatang kara. Jiwanya tetap kental dengan akidahnya.
Utusan Najasyi
Pagi itu amat cerah. Terdengar ketukan di pintu rumah Ummu Habibah. Ketika dibuka, seorang wanita utusan Najasyi memberi salam dan berkata,
“Tuanku Najasyi mengirimkan salamnya untukmu dan berpesan bahawa Muhammad Rasulullah SAW telah meminang dirimu. Baginda Najasyi ditunjuk sebagai wakil untuk akad nikah. Maka bila kamu menerima pinangan itu, bersiaplah segera siapa yang kamu tunjuk sebagai wali.”
Betapa tidak terukur kebahagiaan Ummu Habibah. Beliau berkata kepada utusannya tersebut, “Semoga kamu mendapatkan kebahagiaan dari Allah.”
Kemudian Ummu Habibah berkata, “Aku menunjuk Khalid bin Sa’id bin Ash sebagai waliku kerana dialah kerabatku yang terdekat di negeri ini.”
Pada hari yang dijanjikan, istana Najasyi nampak semarak. Seluruh sahabat yang ada di Habsyah hadir untuk menyaksikan pernikahan Ummu Habibah dengan Rasulullah SAW.
Najasyi mengucapkan salam dan tahmid dan berkata, “Amma ba’du, saya penuhi permintaan Rasulullah SAW untuk menikah dengan Ramlah binti Abi Sufyan. Dan saya berikan mahar sebagai wakil Rasulullah berupa empat ratus dinar emas berdasarkan sunnatullah dan sunnah Rasul-Nya.” (Satu dinar bersamaan lebih kurang harga seekor kambing. Cuba darab…)
Khalid bin Sa’id bin Ash sebagai wali Ummu Habibah berkata, “Saya terima permintaan Rasulullah SAW dan saya nikahkan Ramlah binti Abi Sufyan yang memberi saya wakalah (dilantik sebagai wakil) dengan Rasulullah. Semoga Allah memberkahi Rasul dan isterinya.”
Kemudian Najasyi mempersiapkan dua buah kapal untuk menghantarkan Ummul mukminin Ramlah binti Abi Sufyan dan puterinya, Habibah beserta sisa-sisa kaum muslimin yang masih ada di Habasyah. Sejumlah rakyat Habsyi yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya turut bersama mereka. Mereka rindu untuk berjumpa langsung dengan Rasulullah SAW dan solat di belakang baginda. Rombongan tersebut dipimpin oleh Ja’far bin Abi Thalib.

Tongkat Buat Rasulullah
Najasyi juga memberikan banyak hadiah kepada Ummu Habibah berupa wangi-wangian mahal, juga beberapa bingkisan untuk Rasulullah SAW. Di antaranya ada tiga batang tongkat Habsyah yang terbuat dari kayu-kayu terpilih.
Di kemudian hari, salah satu daripada tongkat itu dipakai oleh baginda sendiri, dan yang lain dihadiahkan kepada Umar bin Khathab dan Ali bin Abi Thalib.
Tongkat tersebut biasa didirikan di hadapan Nabi (sebagai sutrah) ketika ditegakkan solat, tatkala tempat-tempat yang tidak ada masjid atau bangunan lainnya atau di dalam perjalanan, dalam solat-solat hari raya dan solat istisqa’.
Pada masa pemerintahan Abu Bakar al-Shiddiq, Bilal adalah orang yang memegang tongkat itu. Lalu pada zaman Umar bin Khatthab dan Usman bin Affan, tongkat tersebut beralih ke tangan Sa’ad al-Qarazhi. Begitulah seterusnya setiap kali pergantian khalifah.
Najasyi yang pemurah turut memberikan hadiah berupa perhiasan-perhiasan, di antaranya ada cincin emas. Nabi SAW menerima tetapi tidak dipakai sendiri. Baginda memberikan kepada Umamah, cucu baginda dari puteri baginda, Zaenab. Katanya dengan kasih sayang,
“Pakailah ini wahai cucuku.”
Solat Ghaib Nabi Buat Najasyi

Tidak lama sebelum pembukaan Makkah, Najasyi wafat, Rasulullah SAW memanggil para sahabat untuk melakukan solat ghaib. Padahal Rasulullah belum pernah solat ghaib sebelum wafatnya Najasyi dan tidak pula setelahnya.
Semoga Allah meredai Najasyi dan menjadikan syurga-Nya yang kekal sebagai tempat  kembalinya. Sungguh dia telah menguatkan kaum muslimin di saat mereka lemah, memberikan rasa aman di saat mereka ketakutan dan dia melakukan hal itu semata-mata kerana mencari reda Allah Taala.

Diadaptasi dari Dr. Abdurrahman Ra’fat Basya, Shuwaru min Hayati at-Tabi’in, atau Mereka Adalah Para Tabi’in, terj. Abu Umar Abdillah (Pustaka At-Tibyan, 2009).

Raja Al-Najasyi: Penghilang Duka Muslimin Reviewed by Fatimah Syarha on 22:14:00 Rating: 5 Bergeliga Meleraikan Kemarahan Rakyat             “Raja kita sudah terpengaruh dengan agama ...

6 comments:

  1. Assalamua'laikum, syukran kak FS. Sgt bermanfaat. Insya Allah. Tp sy nak tanya, apa maksud 'Ilah' ye ?

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam wbt.
    Ilah maksudnya TUHAN, TEMPAT SEMBAHAN, SUMBER PEGANTUNGAN, SUMBER REZEKI, SUMBER KECINTAAN...

    Macam dalam syahadah kita LA ILAHA ILLALLAH:)

    ReplyDelete
  3. ohhh... baru sy tau... mcm dalam syahadah.. syukran jiddan ya ukhtie.. lama dah nak tanya mksd ni, bru hari ni terjwb. syukur. Alhamdulillah :)

    ReplyDelete
  4. Subhanallah begitu indah...sungguh hebat sekali pemimpin yang benar-benar berkhidmat kerana Allah Rasul (saw)..jazakillah khair ukhti Fatimah Syarha:)

    ReplyDelete
  5. meremang bulu roma bila membaca kisah ni.. alangkah rindunya nk jmpa Rasulullah..

    ReplyDelete