Halimah as-Sa’diyah : Setiap Titis Susumu Bernilai Pahala (Bahagian satu) - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Halimah as-Sa’diyah : Setiap Titis Susumu Bernilai Pahala (Bahagian satu)


Binatang juga ceria atas kehadiran insan mulia.



Profil
·         Berasal daripada Bani Sa’ad bin Bakr.
·         Tinggal di tengah suku Badwi bersama suaminya al-Harits.
·         Ibu susuan Rasulullah SAW selepas Tsuwaibah (hamba Abu Lahab) dan Ummu Aiman (wanita Habsyah, hamba Abdullah).
·         Mengajar Rasulullah SAW erti kasih sayang dan kefasihan bahasa.
·         Halimah juga mengasuh Abu Sufyan bin Harits bin Abdul Muthalib.
·         Halimah As-Sa’diyah juga menyusukan Hamzah bin Abdul Muthalib (bapa saudara Rasulullah), hingga menjadikan Hamzah itu saudara susuan baginda.
·         Halimah meninggal di Madinah dan dikuburkan di perkuburan Baqi’.

Meredah Kemarau yang Melelahkan
                “Waaaaaaaaaaaaaaa!”
                Tangisan bayi berjangkit-jangkitan. Seorang demi seorang bayi menangis kelaparan. Wanita-wanita Bani Saad keresahan. Kelopak mata tidak mampu terlena meskipun malam semakin tua. Rasa simpati kepada si bayi meruntun hati. Bunyi bising merodok telinga sehingga pagi.
Mereka meneruskan musafir yang panjang tatkala mentari memancar alam. Tanpa tidur yang mencukupi. Bayi-bayi mereka meragam sepanjang perjalanan. Ibu mereka yang kehausan dan kelaparan mana mungkin dapat menghasilkan susu yang mencukupi?
“Sabarlah, sayang. Susu ibu kering,” pujuk wanita Bani Saad. Menagih secebis pengertian daripada bayi yang belum mengerti.
                “Bila agaknya kita akan sampai ke Kota Makkah?” hati mereka tertanya-tanya.
                Setiap kali menapak, mereka sangat berharap agar hujan segera turun. Harapan berbalas kecewa. Hujan yang dinanti tidak kunjung tiba. Musim kemarau sedang melanda.

Jasa Keldai Lemah dan Unta Tua
                Halimah Sa’diyah bersama suami dan bayinya turut menyertai rombongan itu. Perjalanan meredah lautan pasir pada musim kemarau sungguh getir. Rasa dahaga mencekik. Rasa lapar menyambar. Rasa letih menggigit.
Keldai tunggangan Halimah berjalan terkedek-kedek lantaran tiada tenaga. Begitu juga unta tua tunggangan suaminya. Terhuyung-hayang melangkah. Terpaksa berkerja dalam keadaan lapar dan dahaga. Kerap kali mereka ketinggalan jejak rombongan di hadapan.
Bayi Halimah menangis lemah. Sudah penat merayu susu ibunya. Bukan Halimah tidak bagi, cuma susunya sedikit sekali. Halimah menepuk-nepuk paha bayinya. Cuba memujuk.
Halimah juga simpati kepada keldai tunggangannya. Andai ia mati, perjalanannya ke Makkah tambah sukar. Apakan daya, dia hanya mampu berharap dan terus berharap. Kalaulah ketika itu jiwanya sudah mengenal Tuhan yang esa, sudah tentu jiwanya terasa kaya berharap pada yang Maha Kuasa.
Rombongan Bani Saad akhirnya tiba di Makkah. Mereka meneguk puas-puas air zam-zam yang tidak pernah kering dari sumbernya. Air itu telah berjasa kepada jutaan manusia.

Ibu Susuan Bani Saad Menjadi Rebutan
Penduduk Quraisy menyambut meriah kedatangan Bani Saad. Mereka berebut-rebut menawarkan bayi mereka untuk dijadikan anak susuan. Mereka tahu bahawa ibu-ibu susuan Bani Saad mempunyai reputasi baik dalam menyusukan bayi sejak turun-temurun.
Antara tujuan utama kaum Quraisy mengupah ibu susuan ialah kerana mereka ingin mengajar anak mereka fasih berbahasa Arab seperti golongan Badwi. Tambahan pula, mereka yakin dan percaya hidup secara nomad di gurun pasir boleh melatih seseorang anak berjiwa kental. Masakan tidak, kaum Quraisy pernah hidup secara nomad sebelum menetap di sekitar kaabah di bawah pimpinan Qussai.
Selain itu, Makkah yang dikunjungi oleh pelbagai bangsa berisiko membawa virus buat bayi. Wabak penyakit yang sering melanda Makkah telah menyebabkan kematian ramai bayi. Mereka tidak mahu wabak itu turut menimpa bayi mereka.

Bayi Aminah Terpinggir
                Aminah hadir di celah-celah kaumnya. Sebagai ibu, dia juga mahukan yang terbaik untuk bayinya. Aminah bersungguh-sungguh menawarkan bayinya kepada wanita Bani Saad.
                “Siapa ayahnya?”
                “Maaf, dia anak yatim.”
                Tiada seorangpun wanita Bani Saad sudi mengambil bayi Aminah yang bernama Muhammad itu. Mereka mengharapkan upah yang banyak daripada ayah bayi yang disusui. Mereka tidak yakin terhadap ibu dan datuk si bayi mampu menyediakan imbalan setimpal.
                Halimah turut keberatan mengambil Muhammad sebagai bayi susuannya. Kemiskinannya menghambat rasa simpati. Dia berharap ada bayi lain yang lebih menjanjikan keuntungan.
                Aminah kesedihan. Dia pulang kembali membawa Muhammad tersayang. Dia kasihan melihat si bayi yatim itu dipinggirkan. Air matanya berguguran. Jika Muhammad terus di sini, entah apa akan berlaku kepadanya. Mungkin diserang wabak kemudian mati kesakitan. Hati ibu kebimbangan.
               
Dia Tetap Sudi Tatkala Si Bayi Yatim Dijauhi
                Beberapa waktu berada di Makkah, rombongan Bani Saad kini ingin berangkat pergi. Halimah  melihat rakan-rakan seperjalanan sudahpun mengendong bayi susuan masing-masing. Hanya dirinya yang masih bersama bayi kandung.
                Halimah lalu berkata kepada suaminya, “Dinda tidak mahu pulang tanpa membawa bayi susuan. Dinda akan terima bayi yatim tempohari.”
                Al-Harits menyokong padu.
                “Bagus. Semoga anak itu membawa berkah bagi kita.”
                Halimah lalu menemui Aminah di rumahnya. Siap membawa Muhammad bersamanya meskipun masih dengan rasa terpaksa. Ternyata wajah Aminah sangat gembira. Senyumannya penuh makna.
                Hati Halimah berbisik, “Sungguh aku menerima bayi ini kerana tiada bayi susuan lain.”

Peristiwa Ajaib Bersama Si Bayi Berkat
                Kali pertama menyusui Muhammad, susu Halimah menjadi sangat banyak dan lancar. Halimah terkejut. Peristiwa ajaib berlaku juga kepada untanya.
Suaminya al-Harits terduduk sukar percaya apabila mendapati unta mereka yang sudah kurus kering, kantung susunya gemuk dan penuh. Padahal, sebelum ini tiada setitis susupun yang keluar.
                Al-Harits memerah susu unta itu. Mereka minum hingga kenyang. Mereka tidur lena pada malam hari. Tiada lagi bunyi bingit tangisan sang bayi.
                Kata Al-Harits kepada isterinya, “Demi Tuhan, sungguh dinda telah menerima bayi yang berkat.”
                “Mudah-mudahan,” jawab Halimah terharu.
Keajaiban tidak terhenti di situ. Keldai tua yang ditunggang oleh Halimah mampu berjalan cepat, bahkan memintas semua keldai-keldai lain. Sampaikan rombongannya terpaksa berkata,
“Tunggu kami, Halimah!”
Mereka sangat hairan lalu bertanya,
“Ini keldai yang sama atau keldai yang lain?”
“Ya, keldai yang sama,” jawab Halimah.
Mereka berkata, “Pasti ada sesuatu yang terjadi pada keldaimu. Luar biasa!”
(bersambung)
Halimah as-Sa’diyah : Setiap Titis Susumu Bernilai Pahala (Bahagian satu) Reviewed by Fatimah Syarha on 10:33:00 Rating: 5 Binatang juga ceria atas kehadiran insan mulia. Profil ·          Berasal daripada...

9 comments:

  1. wah....keberkatan seorang rasul mulia..

    *juga blh pelajari sedikit tntang ibu susuan nabi dlm lagu nasyid halimatus sa'diyah..inteam kalau xsilap..
    *baru baca tautan hati..~teringat pula dkt kak fatimah syarha =)

    ReplyDelete
  2. salam kak ha.. mohon cepat sambungannya.. sudah x sabar.. =)

    ReplyDelete
  3. subhanallahh maha suci Allah...salam kak fatimah cpt2 sambung xsabar nk tunggu selanjutnya... huhuhu

    ReplyDelete
  4. Baru ni baca kisah ni secara lbh trperinci camni..tk sbr nk baca sambungannya..

    ReplyDelete
  5. salam ustzh fatimah..
    baru baca buku cinta high class..mmg high class , alhamdulillah..
    doakan saya supaya boleh mencontohi akhlak qani'ah syumaila :)

    terima kasih ustzah krna dah membahagiakan hari saya dengan cinta high class
    sayang ustazah :)

    ReplyDelete
  6. Alhamdulillah.. terima kasih banyak Ustazah atas entri ini. menguatkan lagi hati ini untuk menyusukan sendiri zuriat saya nanti berbanding memberi susu tin yang begitu banyak di luar sana. Subhanallah wanita quraisy sendiri sangat berpegang teguh untuk memberi susu terbaik dunia ini kpd anak mereka...wanita zaman ini seharusnya lebih lagi..Allah Allah...terima kasih Allah...

    ReplyDelete
  7. salam di mana saya boleh membaca sambungan kisah ni?

    ReplyDelete
    Replies
    1. http://sebarkanbahagia.blogspot.com/2012/07/pakar-bedah-ghaib.html

      Delete
  8. Alhamdulillah.... berkat seorang insan yg bernama Rasulullah.. rasa teramat rindu pd Baginda...moga kte antara orang yg mendapat syafaat baginda..

    ReplyDelete