Raja Yang Anti Kezaliman dan Rasuah - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Raja Yang Anti Kezaliman dan Rasuah


Terima-kasih Habsyah kerana pernah sudi menjadi tempat teduhan bagi para sahabat yang teraniaya. Jasamu tidak akan kami lupakan selamanya.


Raja Al-Najasyi: Anti Kezaliman dan Rasuah (Bahagian 1)
Profil
Beliau bernama Najasyi Asham bin Abjar.
Merupakan raja negeri Habsyah pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.
Beliau beragama Nasrani (Kristian), kemudian memeluk Islam.
Melindungi rombongan Muslimin Makkah yang berhijrah ke negerinya.
Menjadi wakil Rasulullah SAW bagi menikahi Ummu Habibah, Ramlah binti Abu Sufyan.
Beberapa kali berutusan surat dengan Rasulullah SAW.
Jenazahnya merupakan satu-satunya jenazah yang disolatkan oleh Rasulullah SAW dengan solat ghaib.
Mencari Perlindungan di Habsyah
Rasulullah SAW berasa pilu melihat dahsyatnya kezaliman yang dideritai oleh kaum muslimin di Makkah. Baginda berkata kepada mereka,
“Di negeri Habsyah bertahkta seorang raja yang tidak suka berlaku zalim. Pergilah kalian ke sana dan berlindunglah di istananya sampai Allah membukakan jalan keluar dan membebaskan kalian dari kesulitan ini.”
Maka berangkatlah rombongan muhajirin pertama dalam Islam  yang berjumlah sekitar 80 orang ke Habsyah. Di negeri baru itu, mereka mendapat ketenangan dan rasa aman. Bebas menikmati manisnya takwa dan ibadah tanpa gangguan.
Sejarah Pahit Dizalimi         
            Ashamah, atau gelarannya Najasyi sentiasa bersedia melindungi orang yang dizalimi. Beliau belajar daripada sejarah pahit hidupnya.
Beliau merupakan anak tunggal kepada Raja Negeri Habsyah. Ayahnya dibunuh dalam satu komplot jahat untuk menggulingkannya.
Kemudian, beliau diasuh oleh bapa saudaranya yang kini mengganti takhta. Beliau membesar menjadi pemuda yang berkarisma dan berkepimpinan.
Para pembesar Habsyah risau jika pemuda itu diangkat menjadi raja dan menuntut bela atas kematian ayahnya. Mereka menghasut raja untuk membunuh Ashamah.
Mendengar permintaan tersebut raja sangat murka dan berkata, “Sejahat-jahat kaum adalah kalian! Dahulu kalian membunuh ayahnya dan sekarang kalian memintaku untuk membunuhnya pula. Demi Allah, aku tak akan melakukannya.”
Raja tidak berdaya menghadapi tekanan dan paksaan para pembesarnya. Baginda terpaksa mengusir Ashamah ke tempat yang jauh dan asing.
Tidak lama selepas itu, tiba-tiba terjadi peristiwa yang di luar dugaan. Badai mengamuk disertai hujan lebat. Sebatang tiang istana roboh menimpa raja yang sedang berduka dengan pengusiran Ashamah. Beberapa waktu kemudian baginda wafat.
Rakyat Habsyah bingung untuk memilih raja baru. Semua dua belas orang putera raja, seorangpun tiada keahlian untuk dinobatkan sebagai raja.
Mereka menjadi cemas dan gelisah, lebih-lebih setelah mendapati bahawa negeri-negeri tetangga telah menunggu kesempatan untuk menyerang.  Mereka pun bergegas mencari Ashamah dan membawanya pulang ke negerinya.
Lalu mereka meletakkan mahkota di atas kepalanya dan membai’atnya sebaga raja. Mereka memanggilnya dengan Najasyi. Baginda memimpin negeri secara baik dan adil. Menghapuskan segala bentuk kezaliman kerana baginda sudah merasai sendiri betapa peritnya dizalimi.
Usaha Menghasut Najasyi
Pihak kafir Quraisy tidak senang melihat amannya muslimin di Habsyah. Mereka mengirimkan dua orang utusan berkarisma kepada Najasyi. Keduanya mahir berdiplomasi. Tidak lain tidak bukan, mereka ialah Amru bin al-Ash dan Abdullah bin Abi Rabi’ah.
Mereka berangkat dengan membawa hadiah-hadiah dalam jumlah besar untuk Najasyi. Tidak lupa juga hadiah untuk para pembesar tinggi Habasyah yang sudah sedia maklum menyukai barang-barang dari Makkah.
Sesampainya di Habasyah, keduanya terlebih dahulu menjumpai para pembesar sambil menyuap mereka dengan hadiah yang dibawa.  Keduanya berkata,
“Di negeri tuan telah tinggal sejumlah pengacau dari kota kami. Mereka keluar dari agama nenek moyang dan memecah belah kesatuan kami. Maka nanti jika  kami menghadap Najasyi dan membicarakan masalah ini, kami mohon kalian semua mendukung kata-kata kami untuk menentang agama mereka tanpa bertanya. Kami adalah kaum mereka. Kami lebih mengenal siapakah mereka dan mengharapkan agar kalian sudi menyerahkan mereka kepada kami.”
Setelah memilih saat yang tepat, Amru bin al-Ash dan Abdullah bin Rabi’ah menghadap Najasyi. Mereka terlebih dahulu sujud menyembah seperti yang biasa dilakukan orang-orang Habasyi. Najasyi menyambut keduanya dengan baik kerana sebelumnya telah kenal dengan Amru bin al-Ash.
Kemudian tokoh Quraisy itu memberikan hadiah-hadiah yang hebat disertai titipan salam dari para pemuka Quraisy yang dimpimpin oleh Abu Sufyan. Mereka mengadukan hal ‘pemberontak Makkah’ yang lari ke Habsyah dan minta diserahkan kembali.
Keadilan Najasyi
Raja Najasyi tidak gopoh dalam keputusannya. Beliau meminta pendapat pembesar terlebih dahulu untuk meraikan mereka. Ternyata, mereka beria-ia menyokong utusan Abu Sufyan itu. Raja Najasyi tidak mudah terpengaruh. Baginda memanggil kaum muslimin ke istana.
Kaum muslimin hadir ke istana dengan penuh adab. Mereka berdiri di suatu sudut. Amru bin Ash menoleh kepada mereka dan bertanya,
“Mengapa kalian tidak sujud kepada raja?”
Mereka pun menjawab, “Kami tidak sujud kecuali kepada Allah.”
Najasyi mengagumi kata-kata itu. Beliau bertanya kepada Ja’far bin Abi Thalib,
“Apakah kalian membawa sesuatu yang dibawa oleh Nabi itu tentang Rabb-nya?”
Beliau menjawab, “Ya, ada.”
Najasyi berkata, “Tolong bacakan untuk kami.”

Lalu Ja’far membacakan surat Maryam. Antaranya ialah:

“Dan Ceritakanlah (kisah) Maryam di dalam Al Quran, Yaitu ketika ia menjauhkan diri dari keluarganya ke suatu tempat di sebelah timur. Maka ia Mengadakan tabir (yang melindunginya) dari mereka; lalu Kami mengutus roh Kami kepadanya, Maka ia menjelma di hadapannya (dalam bentuk) manusia yang sempurna. Maryam berkata: "Sesungguhnya aku berlindung dari padamu kepada Tuhan yang Maha pemurah, jika kamu seorang yang bertakwa". Ia (Jibril) berkata: "Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang utusan Tuhanmu, untuk memberimu seorang anak laki-laki yang suci".
Najasyi sebak mendengarnya. Air mata menitis deras. Beliau berkata, “Apa  yang mereka bacakan kepada kami dan apa yang dibawa oleh Isa  berasal dari  sumber yang sama. Demi Allah, aku tidak akan menyerahkan mereka sama sekali kepada kalian selama aku masih hidup.”
Beliau memerintahkan kepada pengawalnya, “Kembalikan hadiah-hadiah dari Amru bin al-Ash dan kawannya itu. Aku tidak memerlukannya. Allah tidak menerima suap (rasuah) dariku ketika aku dikembalikan ke negeriku, untuk apa aku menerima suap daripada mereka ini?”
Rujukan: Dr. Abdurrahman Ra’fat Basya, Shuwaru min Hayati at-Tabi’in, atau Mereka Adalah Para Tabi’in, terj. Abu Umar Abdillah (Pustaka At-Tibyan, 2009), hlm. 348-364.
Raja Yang Anti Kezaliman dan Rasuah Reviewed by Fatimah Syarha on 12:05:00 Rating: 5 Terima-kasih Habsyah kerana pernah sudi menjadi tempat teduhan bagi para sahabat yang teraniay...

2 comments:

  1. Raja Johor macam mana ?

    ReplyDelete
  2. salam..ustazah..sy nk minta pndgn ustazah..ape komen ustazah mngenai prospek kerjaya seorg jururawat?..ade yg mngatakan pakaiannye tdk menurut syariat islam seperti potongn bentuk badan(bajunya)..jadi ape penyelesaian kite sebgai jururawat utk mengatasinya? krn ape yg difahamkan itu merupakan etika..salah ke sekiranya kite meminta jawatan(kerja kosong) sbg jururawat?minta ustazah perjelaskan..syukran..

    ReplyDelete