Remaja Diterjah Badai
Seorang
gadis remaja berbangsa Cina baru kembali ke fitrahnya, Islam. Dia bersemangat. Berani. Aktif.
Bijak. Bahkan cantik. Dia tidak mengambil masa yang lama untuk bangkit menjadi
seorang pendakwah. Dalam usia remaja, dia sudah duduk sebaris dengan
penceramah-penceramah agama yang hebat.
Kali pertama saya mendengar
ceramahnya, saya berbangga dengan kehadiran mawar agama ini ke arena dakwah.
Saya mengaguminya dari jauh. Itulah potensi jiwa muda. Penuh aspirasi dan cita-cita.
Usahlah ditanya siapa dirinya. Yang penting, kita mengambil iktibar daripada
kisahnya. Anggaplah kisah ini tiada kaitan dengan sesiapa.
Bukan mudah baginya melalui
detik-detik dibenci keluarga, ditinggalkan kawan-kawan dan dimusuhi
sanak-saudara. Semua diharunginya dengan tabah. Namun, apabila ujian bertsunami
datang daripada orang Islam sendiri, dia hampir tersungkur rebah.
Gadis remaja ini kembali minum
arak. Beberapa kali dia cuba mencabut nyawa sendiri. Mujurlah masih berbaki
kewarasan diri. Buat masa ini, dia memilih menjadi pengunjung tetap pakar psikitari.
Islamnya masih bersisa di hati. Ya Allah, kasihanilah dia! Apa yang dia lalui?
Cukup-cukuplah
Melabel!
“Tak boleh tudung-tudung berfesyen
ala-ala Hana Tajima ni,” tegur seorang ustazah.
“Tapi
ia menutup leher, dada, dan rambut. Saya remaja. Saya sukakan fesyen,” kata si
gadis Cina.
“Fesyen
itu tabarruj. Ianya haram,” tegas si
ustazah.
“Ustazah,
apa maksud tabarruj?”
“Awak
ni sungguh-sungguh tak masuk Islam? Jangan banyak tanya. Ikut saja. Fasiq
nanti.”
Gadis ini sejak awal masuk Islam
tertekan dengan sikap segelintir Muslim yang sangat menghukum dan memaksa dalam
isu-isu feqah. Lebih-lebih lagi yang berkait dengan soal wanita. Apa yang
dibuatnya selalu dipandang serong. Dikritik bukan dididik.
Mana keindahan toleransi dalam
Islam?
Mana roh kemudahan?
Islam menghalang kebebasan memilih
sesuatu yang masih dalam batasan syarak?
Padahal isu-isu fiqah ini banyak
perbezaan pendapatnya. Ianya suatu rahmat. Misalnya maksud ‘tabarruj’ ini, ada
pelbagai definisi oleh para ulama. Ada yang berkata, membuka leher dan tempat
anting-anting. Pendapat lain mengatakan ia suatu perbuatan berjalan
melenggang-lenggok. Pendapat lain, membuka aurat.
Di sini, Allah benarkan kita
berbeza. Semuanya dalam daerah pahala. Samada satu atau dua pahala. Melayani
perkara khilaf seperti ia bukan khilaf adalah suatu sikap yang tidak adil atau
zalim.
Adakah gadis ini ber’tabarruj’ jika
kita merujuk pendapat ulama-ulama di atas?
Baik lelaki mahupun sebahagian
wanita sendiri, jika mereka ini tidak meletakkan persepsi yang benar terhadap
peranan wanita, mereka cenderung suka menghina, menghukum dan melabel.
Sudahkah kita membaca berkaitan
tudung cantik sebahagian sahabiah sendiri sebelum menganggap wanita tidak
berhak berfesyen?
Sudahkah kita merujuk sirah sebelum
menganggap wanita itu pentasnya hanya di rumah?
Sudahkah kita mengenali Khadijah,
Zainab binti Jahsy, dan Asma’ binti Abu Bakar sebelum menganggap wanita tidak
layak berkerjaya?
Sudahkah kita meneliti sikap para
sahabat sebelum menghalang isteri ke masjid dan ke pengajian agama?
Profesor Syeikh Dr. Yusuf
al-Qaradhawi dalam pengantarnya terhadap buku Jati Diri Wanita Menurut al-Quran
dan Hadis, karya Dr. Ali Shariati berkata, “Mereka mengurung wanita di dalam
rumah. Tidak dibenarkan keluar dengan alasan apapun, termasuk untuk belajar dan
berkerja. Wanita dianggap tidak layak dalam pelbagai aktiviti yang bermanfaat
bagi masyarakat dan diri sendiri. Sehingga sebahagian mereka beranggapan bahawa
wanita solehah itu wanita yang tidak pernah keluar rumah kecuali dua kali, iaitu keluar dari rumah orang tuanya menuju
ke rumah suaminya, dan dari rumah suaminya menuju ke kuburnya. Padahal al-Quran
menganggap pengurungan di dalam rumah ini sebagai seksaan bagi wanita sebagai
mana dalam surah an-Nisa’, ayat 15.”
Allah Ciptakan Wanita
Hanya Untuk Menjadi Simbol Seks?
Dalam sesetengah pengajian, gadis
Cina ini melihat wanita sering dipersalahkan. Dianggap menyusahkan. Digelar si
tulang bengkok. Hanya layak disebut perangkap syaitan dan simbol seks yang
serba terkongkong. Terpenjara daripada tugas-tugas kemasyarakatan. Hanya
tentang ‘itu’kah wanita tercipta?
Dia terfikir, patutlah golongan
kristianisasi dan missionari sering menjadikan topik wanita sebagai senjata
utama untuk menimbulkan ketakutan terhadap Islam di Barat. Bahkan menyucuk rasa
benci para muslimah di dunia ini terhadap agama sendiri.
Mungkin muslimah yang terpengaruh
dengan dakyah mereka ini tidak menyatakan dengan perkataan tapi mereka
tonjolkan melalui tindakan. Mereka merasakan dekat dengan ajaran agama itu
suatu yang terlalu membebankan.
“Orang perempuan ni bodoh. Kurang
akal dan agama! Bila menikah dengan dia, kita sebenarnya tambah masalah. Nabi
dah kata perempuan ni si tulang bengkok,” kata seorang penceramah agama.
Gadis remaja yang dahagakan ilmu
ini tersedak. Semakin belajar soal wanita, semakin benci hatinya kepada Islam.
Dia tertanya-tanya, ini Islam atau silap tafsiran?
Nabi Sempurna, Kita
Tidak
Mana mungkin Nabi kita yang
terkenal sebagai pembela wanita seluruh alam, akan menghina wanita sebegini
rupa. Nabi bermaksud lain. Sering ditafsirkan dengan maksud yang lain. Nabi
menjelaskan dan menghiburkan wanita dengan hadis-hadis berkaitan soal ini. Tapi
bila berpindah ke lisan sesetengah Muslim, maksudnya bertukar menjadi
penghinaan dan sesuatu yang menyakitkan. Islam yang mulia lalu difitnah
mendiskriminasikan wanita.
Penceramah agama tidak sempurna.
Kadang-kala ilmunya terbatas untuk menerangkan secara tepat kerana bidang
wanita bukan bidang kajiannya. Jangan tadahkan telinga hanya pada satu
pengajian. Luaskan ufuk minda daripada ramai guru dan banyakkan bacaan. Minda
akan lebih celik. Fikiran akan lebih terbuka. Hati akan lebih faham menilai.
Menjadi peranan kita untuk
mendapatkan tafsiran terhadap hadis-hadis berkenaan wanita daripada sumber yang
sahih, berautoriti, dan tepat. Inilah sikap yang benar bagi ummat yang sentiasa
berbaik sangka terhadap Nabinya. Bacalah karya para alim ulama besar dunia
seperti al-Qaradhawi, Imam Ghazali, Abdul Halim Abu Syuqqah, dan ramai lagi
berkenaan wanita. Kita akan tersenyum bahagia.
Disuruh Menikah
Gadis Cina ini dibawa ke
Siam oleh Muslim-muslim yang dipercayainya. Di sana, dia diminta menikah dengan
lelaki yang baru beberapa saat dia kenal. Dia keliru, tiadakah proses merisik
dan bertunang dalam Islam? Bagaimana Islam meraikan suara anak gadis dalam soal
ini?
Sebelum
bernikah, dia disiapkan minda bahawa suaminya berhak untuk berpoligami
bila-bila masa sahaja yang diinginkan. Beginikah Islam meletakkan kedudukan
poligami? Bukankah ia hanya ‘rukhsah’ bila keadaan memerlukan?
Jiwa gadis Cina ini dahsyat dipukul
tanda-tanya. Islam tidak fikir soal ‘sakinah’seorang isteri? Islam suatu ajaran
yang bertentangan dengan fitrah cinta yang perlukan setia? Islam tidak bersikap
manusiawi terhadap perasaan isteri? Tiadakah konsep syura dan saling meredhai dalam institusi kekeluargaan Islam? Ah,
ini Islam atau silap tafsiran? Gadis Cina ini hebat berperang dengan gelodak
curiga.
Terpujuk dengan
Majalah Solusi
Gadis Cina ini mencari-cari
info tentang poligami daripada youtube
ceramah. Dia berharap ilmu dapat memberikan cahaya untuk hatinya meletakkan ‘sudut
pandang’ yang betul terhadap sesuatu isu sepertimana yang Islam kehendaki.
“Isteri
ni macam seliparlah. Yang lama kita tinggalkan di tangga. Yang baru kita bawa
masuk ke dalam rumah. Ataupun begini. Yang lama, kita bagi Mercedes. Yang baru
kita bagi Viva. Mercedes untuk disimpan di rumah. Viva untuk dibawa
berjalan-jalan,” terang seorang penceramah dalam youtube.
Setitis
demi setitis air mata berguguran di pipi gadis Cina ini. Beginikah Islam
melayan wanita? Ini Islam atau silap tafsiran? Bukankah Nabi melayan isterinya
secara adil? Membuat undian sebelum berpergian? Mungkin ustaz ini cuma
bergurau. Gadis ini cuba berbaik sangka terhadap ustaz yang disayanginya itu.
Tapi jiwanya tetap pedih terhiris. Dia sedikit terpujuk membaca sirah Nabi.
Gurauan baginda sentiasa menggembirakan, bukan mencincang perasaan orang.
Gadis
Cina ini kemudiannya membeli Majalah Solusi berkait isu Misteri Poligami.
Hatinya sedikit terpujuk apabila melihat hukum-hukum sebenar poligami dalam
Islam. Asalnya harus, boleh bertukar sunat, makruh dan haram. Bukan boleh
diambil mudah. Syaratnya ketat dan payah. Bahkan, diterangkan monogami Nabi
jauh lebih sunnah, selama 25 tahun lamanya. Poligami cuma 10 tahun.
Lebih Bahagia Menjadi
Umat Pertengahan
Profesor
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan bahawa
keadaan umat Islam dewasa ini umumnya menempati posisi ekstrimis dan
apatisme, padahal kita sering membaca firman Allah untuk menjadi umat yang
pertengahan.
Kata
beliau, “Masih ada yang menganggap wanita sebagai makhluk yang hanya memiliki
sedikit kecekapan. Bagi lelaki, ia adalah hamba seperti alat untuk memuaskan
dahaga seksual bila lelaki mengkehendakinya. Kemudian, kehormatannya dapat
dimiliki dengan memberi sejumlah harta, dan dapat ditalak bila-bila masa saja
dikehendaki tanpa ada hak sedikitpun untuk mengelak dan mendapatkan ganti rugi.
Sehingga sebahagian mereka menganggap wanita bagaikan sepatu yang dapat dipakai
dan dibuang bila tidak diperlukan lagi.”
Saya
percaya, di Malaysia ramai lelaki yang meletakkan persepsi terhadap wanita di
tempatnya yang wajar. Malang bagi gadis Cina ini, dia belum menemui golongan
lelaki-lelaki sejati ini sebagai pembimbingnya. Bahkan menemui golongan seperti
mana yang dijelaskan oleh Syeikh al-Qaradhawi tersebut.
Suami Mengabaikan
Nafkah
Gadis remaja ini teruji
lagi. Dia mendapat info bahawa wanita dilarang keluar rumah. Suamilah yang
wajib mengajarnya agama. Realitinya, ramai suami pada hari ini bukanlah
beragama sangat. Jika beragamapun, sibuk 24 jam. Apabila wanita dilarang keluar
rumah untuk belajar agama, bukankah ia hanya menghantar wanita ke alam
kebodohan?
Tidak cukup dengan itu, suaminya
culas nafkah. Hidup menganggur dan malas berkerja. Dia cuba bersabar. Tekanan
hidupnya memuncak. Setiap hari bertengkar, tuduh-menuduh dan salah-menyalahkan.
Gadis itu tekad mahukan perceraian.
Dia tahu sepatutnya perceraian itu menjadi jalan terakhir. Dia sudah berusaha
menyelamatkan pernikahannya. Namun, rumah tangganya terus-terusan lebih
mengumpul dosa daripada pahala. Setiap hari, kebenciaan kepada suaminya semakin
membesar.
Semua Muslim yang dikenalinya
berpesan, “Jangan minta cerai! Nanti tak bau syurga.”
“Kalau bercerai tu semuanya buruk,
kenapa Islam halalkan perceraian?” protes gadis ini.
“Ia hak lelaki. Isteri kena sabar
saja,” pesan mereka lagi.
Gadis
ini merasakan Islam tidak memahami. Ini Islam atau silap tafsiran?
“Islam jahat!” Tempik batinnya
sambil mencabut tudung. Dia keluar rumah dengan tidak menutup aurat. Air
matanya berjuraian. Dia geram terhadap Muslim tapi dia memilih untuk menghukum
‘Islam’. Dia rindukan araknya sebagai penenang jiwa. Bahkan, tali penggantung
nyawa sering muncul di minda.
Profesor Syeikh al-Qaradhawi menerangkan,
“Ada golongan yang menganggap, apabila wanita yang telah diperisterikan oleh
seorang lelaki yang tidak dicintainya, dan dia tidak mampu mencegah kemarahan
suaminya atau tidak mampu menghindarinya, maka tiada pilihan lain, harus
bersabar dengan kesakitannya. Harungilah kehidupan yang pahit sehingga suaminya
menjatuhkan talak ke atasnya atau talaq khuluk (membayar mahar suaminya
kembali). Bila kedua perkara ini tidak terjadi maka tiada jalan lain baginya
untuk melepaskan diri dari tali perhambaan itu.”
Ini tidak benar!
Islam memanglah mengecilkan skop
talaq. Tapi bukan dengan cara menyekat hak seorang isteri yang teraniaya dengan
sikap suaminya untuk dibebaskan. Talaq cuba dikecilkan dalam Islam dengan
beberapa cara:
1.
Mengajar
umatnya cara membuat pemilihan calon terbaik sebelum bernikah.
2.
Melihat wanita yang dipinang sebelum akad samada
lihat berdepan, hantar wakil atau mengintai dari jauh.
3.
Meminta wali menikahkan puterinya bukan dengan
sembarangan orang tapi dengan calon yang diredhai agama dan akhlaknya.
4.
Mensyaratkan keredhaan wanita untuk berkahwin
dengan orang yang meminangnya.
5.
Menjadikan keredhaan wali serta persepakatannya
sebagai perkara wajib atau sunat agar perkahwinan itu tidak mendapat tentangan
keluarga.
6.
Mengarahkan bermesyuarat dengan para ibu dalam
persoalan perkahwinan anak-anak perempuan.
7.
Mewajibkan agar bergaul dengan harmoni,
menjelaskan hak dan kewajipan antara suami isteri, menyemaikan keimanan agar
beriltizam dengan batas-batas syarak dan bertaqwa kepada Allah.
8.
Menganjurkan agar suami dapat menerima realiti
agar ia tidak terlalu berharap kesempurnaan pada isterinya. Begitulah
sebaliknya.
9.
Menyeru para suami agar menggunakan akal dan
kemaslahatan jika dia merasa tidak senang terhadap isterinya seperti dalam
surah an-Nisa’, ayat 19.
10.
Mengarahkan para suami agar mengubati isteri
yang derhaka dan melakukan maksiat dengan cara yang hikmah dan beransur-ansur, tidak terlalu keras,dan
tidak terlalu lembut sebagai mana surah al-Nisa’. Ayat 34.
11.
Mengarahkan masyarakat agar campur tangan ketika
berlaku persengketaan antara suami isteri dengan membentuk ‘majlis keluarga’
dari kalangan orang yang dipercayai.
Doakan Dia.
Gadis cantik yang dulunya manis
berbaju labuh dan bertudung ala-ala Hana Tajima, kini termenung murung di bilik
pakar Psikitari. Masalah fahamnya terhadap Islam dan Muslim belum selesai.
Perlukan masa. Mari berdoa untuknya. Mari lakukan sesuatu agar ‘diri kita’
lebih jernih kefahaman dan tidak menyumbang fitnah kepada agama kita sendiri.
sy x nafikan memang msyrkat mslim msia mlayu trutamanya t'lalu mementingkan feqah sblum memantapkan keteguhan akidah t'lbih dhulu. x hairan la gdis ni slah anggap t'hdap islam itu sndri. sbb msyrkat kta t'lalu cpat mghukum dan t'nyata slah kta sndiri. :((( *t'kilan
ReplyDeleteislam itu agama yang indah & mudah, mengapa ada segelintir orang buat agama Islam tu seperti menyusahkan?
ReplyDeleteKadang-kadang, persepsi seseorg yg terlalu taksub dan melabelkan seseorang dengan meletakkan sewenangnya halal dan haram menjadikan seseorg yg baru berjinak dalam Islam dan baru bertatih untuk menjadi muslimah yg sempurna jadi terbantut. Serba tidak kena.
ReplyDeleteKita tak boleh untuk mengubah seseorang secara mendadak, ia perlu melalui fasa-fasa secara step by step. Dari merangkak, kepada berdiri, berdiri kepada berlari dan seterusnya. Tidak patut untuk terus mengecam itu salah dan ini salah. Kita sebagai pendakwah harus mengambil pendekatan yg sewajarnya, tidak terus meletakkan mereka dalam keadaan keliru dan tidak selesa. Islam memudahkan, itu pasti. Toleransi dalam Islam itu ada. Jgn meletakkan sesuatu sebagai 100% salah. Cthnya, definasi bertudung labuh hanya untuk yang bertudung labuh bulat..yang bertudung labuh tiga segi tidak dikira labuh. Sangat kesian dgn mentaliti sesetengah orang yang melabelkan sedemikian.
Sebagai seorg Islam, perlu berfikir dengan lebih luas, bukan hanya pada skop yang kecil. Itulah pentingnya pembacaan, mengikuti kelas agama. Dari situ kita dapat meluaskan pengetahuan. Jgn jadi bodoh sombong, tidak mencari ilmu di tempat lain dan menganggap apa yang sedia ada suda mencukupi. Lalu, dengan ilmu yang tidak seberapa itu menghukum orang lain dengan sewenangnya.
Wanita cukup istimewa dalam Islam, dilindungi bahkan wanita umpama permata dan mempunyai kedudukan yang sangat tinggi. Masakan tidak, sedangkan nabi kita sendiri meraikan wanita dalam hadisnya. Individu yang meletakkan wanita umpama selipar, yg tempatnya hanya di kaki sangat-sangat tidak boleh diterima. Wanita patut dilindungi, bukan disepak-sepak. Bukan diletakkan dengan serendah-rendah tempat dan dijadikan sebagai symbol seks semata. Allahurabbi. Sedih dengan mentality mereka ini :(
Diharapkan gadis tersebut dapat memahami Islam yang sangat indah ini..dan didoakan beliau akan segera sembuh dan menjadi gadis muslimah yang lebih bersemangat.
Wallahuaklam.
Assalamualaikum.
ReplyDeleteMemang benar, kebanyakan hukum hakam masih amat mengelirukan sehingga ada orang yang ingin mengambil kesempatan atas nama agama. Bukannya Islam tidak adil sebaliknya ia menjadi masalah atas tangan manusia sendiri.
Secara peribadi, saya juga mengenali beberapa orang Muallaf lenyap begitu saja tanpa mengetahui apakah keadaan mereka sekarang. Golongan Muallaf masih amat lemah dan tidak berdaya menempuh begitu banyak halangan sekiranya tiada muslim yang ikhlas membantu.
Sedihnya, muslim yang mendapat hidayah disisihkan dan dipandang sinis oleh muslim yang hanya Islamnya disebabkan oleh keturunannya.
ReplyDeleteSyukran Ustazah, entri menarik yg menyedarkan diri utk terus meningkatkan kefahaman terhadap ajaran Islam....
ReplyDeleteTolong ajak dia hadir training Character Building - Warisan Ummah Ikhlas. InsyaAllah dia akan bangkit.
ReplyDeletesaya turut bersimpati..
ReplyDeletesepertinya saya kenal siapa gadis itu....
Moga diberi hidayah dan kekuatan...
مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْـرًا يُـفَـقِـهْهُ فِي الدِّيْنِ
Ertinya: “Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan untuknya, Dia akan menjadikannya faham tentang (urusan) agamanya.” (Hadis shahih, diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad, Ibnu ‘Abdil Barr dalam Jami’ Bayanil ‘Ilmi, dari Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA)
sungguh, saya menyayangi gadis ini walaupun hanya mendengar kisahnya.. moga dijauhkan dari segala kekeliruan..
InshaAllah..semoga dijernihkan hati kita dan masyarakat sekeliling dgn kefahaman ISlam yg betul..
ReplyDeleteSemoga Allah membantu nya, saya juga kita semua.
ReplyDeleteMemang benar sekali perangai orang melayu kita.. jangan kata mualaf aje yang murtad tapi orang melayu sendiri pun boleh jadi murtad dgn cara ustad & ustazah ni... semuanya berdosa. dan tak betul di pandangan mereka...
ReplyDeleteYang benar tetap benar, yang salah tetap salah...cuma cara menegurnya yang kena betul...jangan keras sangat...sopan santun kan amalan kite. Pernah dengar cerita tentang seorang tua mengambil wudhuk secara salah. Perkara ini dilihat oleh dua budak kecil. Apa yang kedua2 budak ini buat bukannya menegur pun, kerana takut orang tua itu tersinggung. Setelah berbincang sesama sendiri, kedua2 budak ini pun berjumpa dengan orang tua itu. Kata mereka" Pakcik, boleh kah tengok siapa yang betul antara kami yang ambil wudhuk kerana dia kate dia betul, saya kata cara saya betul".... Setelah lihat kedua2 budak itu berwudhuk, orang itu sedar yang kedua2 budak itu berwudhuk sama sahaja....dan kemudiannya sedar yang dia sendiri yang salah..... :)
ReplyDeleteSemoga Allah SWT mengasihi dan menyayangi gadis ini dan permudahkan segala urusan dunia dan akhiratnya ;p
ReplyDeleteKetika membaca tajuk entri ini, saya berasa terkilan kerana masih ada golongan pendakwah bersikap sedemikian! Jika dibiarkan, hal ini akan menjadi bahan hujah pembenci agama. Semoga semua muallaf akan terpandu ke arah kebenaran. Amin~
ReplyDeletepentingnya pendidikan yang betul mengenai deen. jangan putar belit fakta yang kita tak tahu sehingga auta menjadi fakta. sedihnya, masyarakat terlalu diskriminasi
ReplyDeleteSedihnya dengan masyarakat Islam kita sendiri, bila dilahirkan sebagai seorang Islam ramai antara kita menganggap cukuplah sekadar dengan ilmu agama yang dipelajari di sekolah dan mengamalkan yang wajib itu sahaja sedangkan banyak lagi yang kita tak tahu. Berapa ramai dari kalangan kita yang dilahirkan sebagai seorang Islam tahu bahawa terdapat banyak mazhab di dunia Islam sebenarnya, dengan fahaman yang sebesar kuman kita mudah menjatuhkan hukum pada suatu perkara dan dengan mudahnya memperlekehkan orang lain.
ReplyDeleteSemoga Allah terus memelihara aqidah gadis itu dan terus memberi petunjuk dan hidayah buat kita sebagai seorang Islam.
Inilah antara masalah yg membelenggu para wanita kita bkn hanya pd wanita mualaf ini.. Moga wanita ini disembuhkn jiwanya dgn nur.. Wanita acapkali di label dgn sesuatu yg negatif dan dianggap berdosa terutama dlm bab rumahtangga.. Sy sering membaca pendapat2 ustaz2 yg mengatakan
ReplyDelete"sejahat mana pun suami, isteri mesti bersabar"
"jgn sesekali mencerita aib suami biarsekalipun nyawa isteri terancam" sejahat manapun suami itu antara dia dgn Allah" setiap muslim & muslimat ada tanggungjawab dlm 'mempromosi' islam bkn hanya terhad pd kumpulan ahli agama shj..
Sedih bila ada ust yg sering merendahkn wanita dlm ceramah2nya dgn melabel kn dgn gelaran & taksiran yg cukup menyentap jiwa termasuk dlm bab2 seksualiti..
mmg ramai antara kita yg "born as muslims" bersikap begini. saya rasa, , ramai tak sedar yg cara mereka tak berhikmah dan menjauhkan orang. kadangkala saya pun begitu, terutamanya sewaktu bekerja dgn rakan non muslim, terkadang kecundang dgn amarah, padahal itu bukan akhlak islamiah...in sha Allah saya akan terus mujahadah utk kawal diri saya..
ReplyDeletesaya pernah menyaksikan sendiri sewaktu menghadiri Konvensyen Fiqh Ummah. Seorang gadis cina non muslim dijemput utk bicara dlm 10 min ttg mengapa some religions dont make sense, islam makes more sense. habis majlis, saya perasan 2 pemuda muslim bersemangat menyapa gadis cina ni. dan ditanya bertalu2 kpd gadis ni "mengapa you tak peluk Islam kalau you dah tau?" Saya lihat gadis itu kelihatan tak selesa dgn soalan yg umpama disiasat saja...inilah bukti dan hakikat mengapa ramai non muslim di negara kita tak tertarik dgn Islam, kerana kita yg bergelar muslim tetapi akhlak/approach kita tak menggambarkan Islam yg sebenar...
LAhir sebagai Muslim bukanlah seperti orang yang sudah dilahirkan dan ketika membesar dia mencari Islam... Itu adalah sesuatu yang teramat berbeza...
ReplyDeleteMAlah mereka lebih hebat daripada kita..
Sungguh diri tertarik dan berkenan dengan si Gadis cina Ini... SubhanAllah..
Tetapi diri ini cukup kecewa dengan mereka yang sering menuding Jari dan terus menuding jari menyatakan kesilapan mereka yang masih baru...
Lain lah pula mereka yang sudah lama.
Namun tetapi,
Perubahan seseorang itu bukanlah seperti memotong sehelai daun sebegitu pantas.. Tetapi ingin melakukan perubahan itu seperti ingin memasak air yang sejuk...
Perlahan2, mengambil masa yang lama untuk panaskannya..
Andai diberi peluang Ingin ku cari dia menjadi tiang seriku
sebelum tu semoga dia sembuh....
ReplyDeletesedih bila mengenangkan "ahli bijak agama" yang sempit fikiran yang hanya suka melabel org lain yang dirasakan kurang beriman berbanding dirinya... org yang biasa2 mcm kami ni perlu di didik dan dibimbing..bukan dikritik... terima kasih ustazah, atas entri ni...saya harap akan ada orgyang menegur org2 "bijak agama" berkenaan... janganlah prejudis terhadap penampilan seseorang...
ReplyDeleteBodohnya! Islam itu mudah sangat... kenapa susahkannya? Islam itu indah sangat.... kenapa kotorkannya? Ini yg yahudi mahukan.... tunggu la.... apabila islam setaraf tapak kaki baru. Nak sedar ka? Ni boleh menimbulkan kemarahan orang islam! Erm....
ReplyDeletekesian gadis cina ni..beliau dikelilingi dengan orang islam yang entah hapa hapa..harap harap iman beliau masih kekal sehingga nafas terakhir beliau..
ReplyDeleteTak hairan dgn apa yg berlaku. Saya sendiri menyimpan byk khazanah melalui pengalaman betapa Islam sering dfitnah oleh mrk yg kononnya tinggi ilmu. Sudi2 lh ke blog saya
ReplyDeleteevolusijiwa.blogspot.com
Saya selalu ditanya tentang hukum islam oleh non muslim...diorang cakap islam susah...bila saya bagi keterangan diorang akan cakap....la....senangnya islam....kite jangan cerita yg susah2 dan pelik2....permudahkan islam....insyaallah mereka akan lebih menghargai...
ReplyDeleteSemoga Allah terus memberi hidayah kepada gadis ini, dan semoga muslim di sekelilingnya juga diberi hidayah oleh Allah
ReplyDeleteAllahu. Semoga Allah SWT permudahkan segalanya. Islam tercemar dengan perbuatan ummatnya. Ya Allah, lindungilah kami. Tuntunilah langkah kami. Amin.
ReplyDeleteBetul... Sy yg lahir sebagai islam ni pun sangat teringin nak belajar. Tapi bila bertanya je org trus ckp lahir je islam tapi jahil agama. Perempuan x boleh bagi pendapat, lelaki aku kuasa vote. Tu selalu sy dengar. Jadi mana hak saya? Selalu rasa ditindas. Sedangkan bila baca sirah nabi x de pun rendahkan martabat wanita.
ReplyDeleteamalkanlah doa agar dikurniakan taufik dan hidayah iaitu kekuatan untuk melaksanakan hidayah
ReplyDeleteAllah....siannya...sapa ya gadis ni...nak tolong sedaya mampu..
ReplyDeleteSayang sekiranya para murabbi tidak lebih dahulu memaut jiwa anak2 yg di asuh dgn Cinta Allah. Mereka sering di bawa kpd agama tapi tidak di bawa kpd Pemilik Agama Cinta ini....insyaAllah sedia mmbntu sekadar yg di upayakanNya.
ReplyDelete