Krisis Akhlak Remaja - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Krisis Akhlak Remaja


BARU-BARU ini negara dikejutkan dengan berita seorang remaja lelaki yang dikatakan hilang selepas memasuki banglo terbiar dikenali sebagai Villa Nabila di Johor Bahru.

Namun sehari kemudian, remaja lelaki itu ditemui selepas dia dikatakan tidur di rumah rakan sepanjang tempoh berita kehilangannya.

Sedangkan satu negara kecoh mengenai berita kehilangannya itu dan kononnya telah mencetuskan seribu satu misteri sehingga menyebabkan timbul pelbagai dakwaan termasuk gangguan makhluk halus.

Kisah remaja itu merupakan antara puluhan kes pernah dilaporkan di muka dada akhbar, akhirnya menjadi kebimbangan kepada ibubapa dalam mendepani anak-anak mereka berusia muda.

Mengapa isu remaja lari dari rumah, mengikut kekasih dan seumpamanya berleluasa sejak kebelakangan ini? Adakah berpunca daripada kurangnya didikan dan kasih sayang oleh ibu bapa?

Menurut pembimbing motivasi, Fatimah Syarha Mohd. Noordin remaja merupakan kelompok yang kompleks apabila aktiviti hormon selalu berubah menyebabkan mereka kadang-kala berasa kurang tenteram, bergolak, tidak teratur dan kusut.

Terang Fatimah Syarha, ada kalanya mereka mudah difahami, tetapi kalang-kala tingkah laku mereka sukar difahami. Malah terdapat juga menjadi sukar diramal dan suka berahsia, pergi ke tempat sunyi sebegitu merupakan salah satu tingkah laku mereka sukar diramal.

Beliau berkata, tingkah laku itu mungkin menggambarkan wujud hasrat yang tersimpan seperti:
Mahu dirinya diterima rakan sebaya.
Memerlukan disayangi dan dihargai.
Sukakan suasana tersendiri.

Oleh demikian, sikap ibubapa sangat penting dalam fasa remaja ini. Jangan sesekali mengeluarkan kata-kata menyebabkan remaja berasakan dirinya tidak berguna, dihalau pergi dan dikatakan 'menyemakkan' mata ibubapa andai dia berada di rumah.

"Ibu bapa juga perlu membuatkan diri anaknya berasa diambil berat. Ditanya ke mana perginya, makan minumnya, atau tempat tidurnya. Apatah lagi ini zaman gajet. Proses pemantauan sepatutnya menjadi lebih mudah," ujar Fatimah Syarha.


Fahami Remaja

Perubahan sikap remaja bukan sahaja dipengaruhi oleh peralihan hormon mendadak, tetapi juga memberi kesan kepada perkembangan yang berlaku terhadap otak mereka kerana pemikiran diuruskan oleh bahagian itu berasaskan emosi. 

Manakala bahagian otak berasaskan pemikiran rasional dan praktikal adalah proses terakhir sekali dibentuk, lengkap dan sempurna. Bahagian otak ini dinamakan prefrontal cortex.

Sehubungan itu, Fatimah Syarha mengatakan pada bahagian itu sering berlakunya pertimbangan dan penilaian yang bagus seperti mengurus, mengatur, membuat keputusan tepat dan mengawal kehendak hati.

Fatimah Syarha menambah, bahagian otak berkenaan menjadi lengkap dan berkesan apabila remaja menjangkaui usia 25 tahun. Pada saat itu pemikiran mereka menjadi lebih stabil, tenteram, teratur, dan rasional.

Dalam fasa prefrontal cortex ini belum lengkap, ibu bapalah yang perlu bertindak sebagai kawalan kepada remaja, khususnya mereka dalam fasa ini sangat suka meniru. Ibu bapa seharusnya berkawan dan menunjukkan contoh yang baik kepada anak yang akhirnya akan meniru kewibawaan ibu bapanya.

"Remaja sangat perlukan nasihat dan bimbingan ibu bapa dalam aspek kehidupan. Sebab itu, ibu bapa sepatutnya mengambil peluang bagi mempengaruhi remaja daripada segi nilai-nilai murni, keagamaan, isu moral serta keputusan mereka pada jangka masa panjang. 

"Golongan berkenaan perlukan pertalian erat dengan ibu bapa. Dalam masa yang sama, mereka mahu diberi kepercayaan untuk membuat keputusan, bahkan memerlukan tempat dan situasi tersendiri," jelas Fatimah Syarha.

Beliau sempat memberi satu kajian membuktikan remaja yang rapat dan mesra dengan ibubapa kurang menghadapi masalah sosial dan sukar terjerumus ke dalam aktiviti negatif.

Hal ini kerana jelas beliau, perkembangan otak yang lebih sihat dan mampu mencapai potensi sepenuhnya apabila anak-anak diajar berinteraksi dan diberi lebih ransangan seperti dipeluk, selalu bercakap, bergurau senda dan diceritakan dengan pelbagai pengalaman menyeronokkan.

"Pengalaman begini diperlukan bagi merangsang penyambungan dari satu urat saraf otak ke otot dan ke tisu lain bagi membina litaran yang berjuta-juta.

"Pokok pangkalnya ibubapa perlu muhasabah diri, bilakah kali terakhir kita memeluk anak meskipun dia sudah remaja? Pernahkah kita berkawan dan bercakap penuh minat dengannya? Jika kita tidak berubah, bagaimana mahukan sikapnya berubah.
Krisis Akhlak Remaja Reviewed by Fatimah Syarha on 08:55:00 Rating: 5 BARU-BARU ini negara dikejutkan dengan berita seorang remaja lelaki yang dikatakan hilang selepas memasuki banglo terbiar dikenali seba...

1 comment:

  1. Salam ustazah.. Boleh saya bertanyakan soalan x? Saya dah buntu xtau nak tanya pada siapa lg, i'm already 24. Anak ke3 perempuan dari 4beradik. Saya keliru adakah perbuatan saya betul atau salah. Halnya begini, saya ada seorang ibu yang amat sukar untuk bercampur dgn keluarganya sendiri ekoran hal hal lama, jadi saya sbg anak mmg langsung tidak menyokong perbuatan mak tu, saya cuma mendengar, dan menasihati, sbb bagi saya benda lama jgn diulang kalo x binasa diri, kalau ikutkan mmg sakit hati bila teringatkan apa yg telah dibuat oleh keluarga mak terhadap mak.,tapi saya xdapat say yes, u r true, mereka adalah makcik saya, nenek saya, saudara mara saya, xkan disebabkan hal ni saya nak berpecah belah. Ya, sampai sekarang ada saja yg dibuat oleh keluarga sana terhadap mak. Mak sabar pada mulanya. Namun skrg makin hilang plak sabar mak sehinggakan xmahu hadir bergotong royong menolong,sanak saudara. Pernah jugak saya melawan, meninggikan suara kt mak, sbb saya dh xtau mcm mana nak baikkan n pulihkan hati mak. Saya tau akhirnya nti org jugak akan kutuk2 mak di hujung2 telinga saya, sakit hati. Saya sedih. Xtau mana satu aaya nak dahulukan, kalo sokong mak, nanti lg dia menjadi2, kalo sokong saudara saya tidak sekali2, macam mana ye ustazah, saya harap ustazah dpt,membantu,

    ReplyDelete