Isu Susu Ibu: Bila Diterajang 1001 Pemikiran - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Isu Susu Ibu: Bila Diterajang 1001 Pemikiran

Lihat Teks atau Konteks atau Kedua-duanya?

“Orang mukmin makan dengan satu usus manakala orang kafir makan dengan tujuh usus.”
                     
Secara spontan, apa yang terlintas di fikiran kita tatkala membaca pernyataan ini?
A)     Salah! Ini bercanggah Sains. Semua saintis sepakat usus manusia sama sahaja.
B)     Mungkin ada maksud tersirat di sebalik apa yang tersurat.
Jujurnya, A atau B yang terlintas?

A? Tidakkah kita sungguh cepat menghukum?
B? Mungkin ada yang sudahpun mengetahui ia adalah sabda Nabi SAW, sahih riwayat Bukhari Muslim. Lalu, mengkaji.

·         Apakah suasana yang melatari hadis ini?
·         Kenapa 7?
·    Jika lafaznya umum dan tidak terikat dengan sebab-sebab tertentu, apakah maksud sebenar Nabi?
·         Nabi bercakap dari konteks saintifik atau bahasa?
·         Nabi diutuskan sebagai saintis atau pakar bahasa atau utusan Allah?
·         Ini kias atau hakikat?
·         Jika kias, apa maksud sebenarnya?

Persoalan-persoalan ini akan membantu seseorang melihat konteks berbanding hanya pada teks. Lalu, dia tidak mudah menghukum. Bahkan dia akan menemui keluasan cabang ilmu. Misalnya:


  1. Kata 1 atau 7 usus menunjukkan kiasan.
  1. Hadis itu merujuk cara makan muslim sangat jauh berbeza dengan bukan muslim. Muslim berpada dan tidak rakus.
  1. Nabi menididik umat agar tidak mengutamakan hal-hal duniawi yang bersifat berlebihan seperti banyak makan, namun Islam menempatkan sesuatu kena pada tempatnya.


4.       Dalam sastera Arab, angka 7 merujuk kepada banyak. Contoh penggunaan angka 7 dalam al-Quran: “Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [Luqman 31:27]


Siapa Paling Banyak Dituduh Berdusta?

Siapa yang lebih benar kata-katanya berbanding Nabi SAW? Siapa yang paling banyak dituduh berdusta? Siapa yang paling banyak dicaci nista? Siapa yang paling banyak diputar belit kata-katanya?

Siapa lagi kalau bukan Nabi kita Muhammad SAW? Betapa ramai saintis dan pakar seantero dunia yang menolak kebenaran Islam kerana menganggap hadis ini salah. Bahkan menyerang Islam menggunakan hadis ini. Namun, semua itu tidak membuatkan baginda makin hina. Bahkan di sisi Allah, makin mulia.

Dalam realiti hidup serba mencabar, tidak peliklah jika ada perkataan kita yang tidak ma’sum ini akan disalah fahami bahkan ditokok tambah lalu disebarkan. Kita semua, tanpa terkecuali, manusia biasa yang berpotensi untuk betul dan salah bila-bila masa sahaja. Nabi yang benarpun disalah fahami perkataannya.

Kita ini, apatah lagi. Kita akan berhadapan dengan berjuta manusia yang langsung tidak melihat konteks tapi mentafsirkan kata-kata kita secara literal sesuka hati. Redha sahaja dengan sunnah kehidupan ini agar kita terus gagah tersenyum. Tetap teguh, redha Allah yang kita cari. Kepuasan seluruh manusia, mustahil untuk kita penuhi.

Mari menjengah realiti. Seorang ilmuan menerangkan secara berdalil tentang kesan pemakanan terhadap karakter seseorang menerusi link ini.

Jangan hairan andai penerangan seperti ini diserang oleh mereka yang tidak memahami konteks yang beliau maksudkan. Secara metafizik, iaitu aspek yang melangkaui Sains, makanan memang salah satu (bukan satu satunya) faktor yang boleh mempengaruhi akhlak. Antara dalilnya, Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) arak dan berjudi itu, dan menghalang kamu daripada mengingati Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (daripada mengerjakan pekerjaan itu).” (QS. Al Ma-idah: 90-91).

Manakala, salah satu ‘basic law’, sunnatullah yang sering terjadi, ‘you are what you eat.’ Islam menggalakkan makan sesuatu yang bukan saja halal tapi tayyiba. Misalnya, susu lembu halalan tayyiba untuk kita. Susu ibu halalan tayyiba untuk bayi.

Segelintir Saintis tidak mengiktiraf adanya aspek metafizik, melangkau Sains yang perlu diambil kira. Hanya apabila ada penemuan-penemuan baru seperti di bawah ini, barulah mereka mahu membuka mata.
Box
KESAN SUSU IBU VS SUSU FORMULA TERHADAP BAYI

Satu cohort study di western Australia melibatkan 2900 wanita dan mengikuti mereka dan anak-anak selama 14 tahun. Anak-anak yang dibahagikan samada menyusu badan (6 bulan dan ke atas) atau yang menyusu badan kurang dari 6 bulan kemudian bertukar kepada formula/lembu. Anak-anak ini dikaji melalui Child Behaviour Checklist (CBCL) pada 2, 6, 8, 10, dan 14 tahun. Keputusan menunjukkan bahawa kumpulan yang menyusu badan menujukkan kurang masalah mental berbanding dengan kumpulan yang satu lagi sepanjang zaman kanak-kanak hinggalah ke umur remaja [1].

Satu lagi kajian yang mengikuti 86 bayi premature untuk mengkaji kesan penyusuan ibu mengikut jangkamasa penyusuan mereka di hospital, dan dibahagikan kepada 3 kumpulan; yang menerima sedikit (<25%), sederhana (25-75%) atau banyak (>75%) susu ibu. Bayi-bayi di kaji akan neurobehavioral maturation mengikut Neonatal Behavior Assessment Scale. Bayi yang menerima susu ibu dalam kumpulan yang banyak menunjukkan profil neurobehavioral yang lebih baik, terutamanya dalam motor maturity. Kumpulan bayi ini juga berterusan mencapai markah yang tinggi dalam pelbagai jenis ujian. Dalam kajian ini juga di dapati ibu yang menyusukan anak lebih lama/banyak menunjukkan tahap depressi yang paling kurang, secara tidak lansung meninggalkan kesan yang positif kepada bayi di dalam kumpulan ini [2].

Satu lagi kajian cohort yang besar di United Kingdom yang mengikuti 10 037 pasangan ibu dan anak-anak tentang kesan penyusuan dan tumbesaran sikap mereka sehingga umur 5 tahun. Perangai anak-anak di beri markah oleh ibu mereka berdasarkan Strengths and Difficulties Questionnaire (SDQ). Keputusan menunjukkan yang anak-anak yang menyusu badan mempunyai markah yang jauh lebih baik daripada yang menyusu formula [3].

1.       Kramer M. Long-Term Behavioral Consequences of Infant Feeding: The Limits of Observational Studies. The Journal of Pediatrics (2010) 156 523-524.
2.       Feldman R et. al.  Direct and indirect effects of breast milk on the neurobehavioral and cognitive development of premature infants. Developmental Psychobiology (2003) 43 109–119.
3.       Heikkilä K, et. al. Breast feeding and child behaviour in the Millennium Cohort Study. Archive of Diseases in Childhood (2011)
(Rujuk lanjut kajian Dr. Elies Elias (semoga Allah memberinya syurga Firdaus tertinggi) tentang Epigenetics tentang kesan pemakanan terhadap emosi bayi.

Wahyu Rujukan Pertama, Akal Cuma Sokongan Sahaja

Bukan mudah hendak berhadapan dengan golongan yang hanya merujuk akal, bukan wahyu. Dalam hamparan realiti, akal sahaja tidak selalu mampu mencari kebenaran. Kenapa? Kerana akal, nalar, ratio bergantung kepada biologis. Akal sifatnya terbatas. Wahyu adalah suluhan bagi akal. Akal yang sihat tidak bertentangan dengan wahyu.
Dalam mempelajari Islam, tidak boleh hanya menggunakan pendekatan emprik dan rasional biasa tetapi perlu ada ‘iman.’ Dalam hal ini paling tidak terdapat empat katagori ilmu iaitu :
         Empirical Science iaitu ukuran benar tidaknya adalah dibuktikan secara empirik melalui eksperimen. Sumbernya adalah pancaindera, terutamanya mata. Mata itu dalam bahasa Arabnya adalah ain, maka disebutlah ainul yaqin . Yang termasuk ke dalam empirical science antara lain kedoktoran, fizik, kimia, biologi, dan goelogi.
         Rational  Science iaitu ilmu yang kebenarannya ditentukan oleh hubungan sebab – akibat. Kalau ada hubungan yang logis disebutlah rasional. Sumbernya adalah  ‘ratio’, maka disebutlah ilmul yaqin. termasuk ke dalam kategori ilmu ini seperti bahasa, filsafat, matematik.
         Suprarational  Science , iaitu kebenarannya ditentukan oleh hal-hal di luar  ratio yang berkembang pada zaman itu. Sumbernya adalah hati (qalbu), maka disebutlah Haqqul Yaqin. Yang termasuk ke dalam ilmu ini seperti Isra Mi'raj, doa, mukjizat.
         Metarational  Science adalah Ilmu Ghaib, seperti siksa dan nikmat kubur, syurga neraka dan sebagainya. Sumbernya adalah Ruh.
Ada golongan yang mahu memahami kehidupan dengan hanya menggunakan kategori Empirical science dan Rational Science. Akibatnya, sukar menemui cahaya atas cahaya. Bahkan Muslim sendiri yang cuba memahami Islam dengan akalnya sahaja, akan menemui jalan berliku. Akibatnya al-Quran dan al-Sunnah yang dianggap kurang rasional dipaksakan harus rasional.
Begitulah pemikiran manusia sungguh unik, pelbagai dan beraneka. Dakwah sungguh mencabar. Namun inilah mahar untuk ke syurga. Maka, langkah jihad ini tidak maju dek keji, tidak mundur dek keji, tapi kan tetap melangkah memburu janji Ilahi. Biarkan diri disakiti asal Islam terus tersebar.



Isu Susu Ibu: Bila Diterajang 1001 Pemikiran Reviewed by Fatimah Syarha on 21:41:00 Rating: 5 Lihat Teks atau Konteks atau Kedua-duanya? “Orang mukmin makan dengan satu usus manakala orang ...

No comments: