INDAHKAN RASA SAAT BERBEZA - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

INDAHKAN RASA SAAT BERBEZA



Mana Ada Hidup Tanpa Perbezaan?

Adakah anda mahukan hidup tanpa perbezaan? Ia seperti mahukan saiz jari sama panjang.  Adakah anda benci pada pendapat berlainan? Ia seperti bencikan sunnatullah sejak zaman berzaman. Jom, kita lebih positif dengan perbezaan serta mensyukuri persamaan.

                Kenapa perlu memenatkan kepala dengan bencikan sesuatu yang ‘pasti’ terjadi? Takdir ini tidak dapat dielakkan. Al-Quran dan hadis sahih sudah lama menceritakan hukum alam ini. 

Perhatikan tabiat-tabiat manusia ini:
1.       Nabi Daud berbeza pandangan dengan anak kesayangannya sendiri, Nabi Sulaiman dalam isu kambing merosakkan ladang.  (Al-Anbiya’, 78-79).
2.       Nabi Muhammad SAW diberi cadangan oleh Nabi Musa a.s. dalam peristiwa isra’.(Riwayat al-Bukhari, 3342, Muslim, 163).
3.       Nabi Musa a.s. menegur Nabi Khidir kerana tidak sabar dengan perlakuannya. (Surah al-Kahfi: 82).
4.       Para malaikat berebut ruh seorang jenazah yang membunuh 99 nyawa. (Sahih al-Bukhari, 3470, Sahih Muslim, 2766).
5.       Abu Bakar dan Umar kerap juga bertentangan pendapat antara satu sama lain. (Sahih al-Bukhari, 3661).
6.       Para imam mazhab yang 4 juga sudah sedia kita maklum sering berbeza pandangan namun jiwa saling menghormati dan menyayangi sungguh tinggi.


Tip Bersikap Apabila Dikritik

Jika kita dibaling kata-kata tajam oleh mereka yang berbeza pendapat, bagaimana seharusnya kita bersikap?

Dalam dunia media sosial hari ini, semua orang bebas menjadi ‘keyboard warrior’ dan menghunus pelbagai tentangan dan bantahan seluas-luasnya. Kita pasti akan diuji terkena hunusannya. Apa respon kita?

1.       Kita ada banyak kerja. Tentu sukar untuk meneliti satu-persatu setiap komen yang dihunus setelah lelah berkerja. Mengumpulkannya satu-persatu dan menjawabnya satu persatu akan memakan banyak masa dan menimbunkan lagi kelelahan sedia ada. Fokus dan utamakan dahulu kerja-kerja lain yang lebih positif seperti memenuhi undangan, bersilaturahim dengan sanak-saudara, menulis artikel, membaca dan menulis buku, bergembira dengan anak-anak dan sebagainya.

2.       Jangan terburu-buru membantah siapapun yang bertentangan dengan kita. Sudah tentu kita tidak mahu menjawab dalam emosi yang marah, emosional, dan geram. Ambil masa bertenang. Biarkan pihak sana bercakap. Jauhi sementara suasana yang tegang. Apabila ruh sudah dipersiapkan dengan solat dan al-Quran, barulah kita membaca setiap kritikan secara objektif. 

3.       Sediakan jiwa agar tidak mendustakan kebenaran atau membenarkan kebatilan tidak kira dari manapun ia datang, di pihak kita atau pihak bertentangan. Tergesa-gesa mahu menjawab balas membuatkan kita tidak mampu memahami  mana-mana sisi kebenaran yang disampaikan oleh lawan walaupun secebis. Lebih-lebih lagi apabila pihak lawan menyampaikan mesej dengan bahasa yang pedas dan bermotifkan peribadi. Hikmah adalah harta mukmin yang hilang. Petiklah ia daripada siapapun, di manapun. Nabi Sulaiman a.s  yang hebat itupun sanggup merendahkan hati untuk mengutip hikmah daripada si burung hud-hud.

4.       Usahlah kita mengharapkan semua orang mesti berfikir seperti yang kita fikir. Ia suatu harapan yang hanya mengecewakan. Firman Allah SWT, “Jikalau Tuhanmu mengkehendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu. Tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat . Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. (Hud: 118-119).

5.       Terima hakikat, ada isu yang Islam benarkan kita mempunyai pelbagai pendapat. Jika anda meyakini pendapat 1, biarkan saja pihak lain bertahan dengan pendapat 2. Semuanya dalam daerah pahala, samada 1 atau 2 pahala. Cerdikkah kita jika mahu menghabiskan terlalu banyak umur untuk berdebat tentangnya hingga kedua-dua pihak penat dan lemah? Bukankah isu khilaf akan tetap mempunyai alasan dan hujah tersendiri, ada yang lemah dan ada yang kuat, relatif/tidak sama menurut semua orang? Bukankah hal ini akan berterusan sampai kiamat?

6.       Dalam isu khilaf, anda mungkin memiliki sebahagian daripada kebenaran dan lawan anda juga sama. Selalunya, kata-kata yang diperdebatkan bersifat global dan pendengarnya bersifat emosional, lalu mereka memahami maksudnya secara salah. Namun, isu sebegini akan segera mereda dan hilang seiring perjalanan hembusan angin.

7.       Seseorang mengkritik anda di belakang, anda pun segera membalas. Dia membalas balik. Adakah anda ingin terus-terusan mengikat diri dengan perdebatan yang tiada kesudahan ini? Jika anda mula membalas kemudian anda berhenti membalas, mungkin anda dianggap salah dan menyerah. Baik sejak awal-awal lagi, usah dilayan. Biarkan dia cakap sorang-sorang di belakang. Orang yang suka bercakap belakang, posisinya akan terus di belakang. Tugas anda, maju ke depan.

8.       Bukanlah sesuatu yang pelik pada hari ini apabila seseorang itu pada asalnya berada di posisi salah. Kemudian, kebenaran menyentuh hatinya. Dia pun memilih kebenaran itu. Jika anda di posisi itu, jelaskan pada saat yang tepat dengan bahasa yang tepat. Ia bahkan membawa wibawa anda naik di mata orang. Biasalah tu. Semua anak Adam pasti pernah buat salah kan? Yang penting, akhlak segera menyahut yang benar.


Indahkan Perasaanmu

                Hormatilah  mereka yang sependapat dengan penuh cinta. Hormati juga mereka yang tidak sependapat. Samada mereka bersikap keras atau kasar, tetap hormati mereka. Jika mereka bersikap lemah lembut dan menghargai, pujilah mereka kerana mereka membantu kita menyingkapi kebenaran. Jikalau pendapat mereka itu kita yakin salah, tetap ucapkan terima kasih. Kenapa? Kerana dengan sebab sikap mereka itulah kita dilatih Allah untuk sabar dan memperkuatkan kesabaran. Bisik dalam hati,
                “Terima kasih banyak lawanku. I love you!”


                Hamburan kata-kata selaju panah, pena-pena setajam pedang yang bertubi-tubi meyerang kita, kita tangkis sahaja dengan senyuman yang tenang. Maafkan mereka yang keliru. Kutip sebanyak-banyaknya sisi manfaat dari setiap pengetahuan, hikmah atau kebenaran yang ditunjukkan Rabb kepada kita melalui mereka.  Tak kan tak ada langsung. Carilah. Mesti ada. Kita akan menemui apa yang kita cari. Jika kita hanya mencari kesalahan, hanya kesalahanlah yang kita jumpa. Begitulah sebaliknya. Carilah yang indah-indah, akan lahir perasaan yang indah. Nikmatinya.
INDAHKAN RASA SAAT BERBEZA Reviewed by Fatimah Syarha on 11:53:00 Rating: 5 Mana Ada Hidup Tanpa Perbezaan? Adakah anda mahukan hidup tanpa perbezaan? Ia seperti mahukan saiz jari sama panjang.  Adakah and...

No comments: