Ini Gila!!! - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Ini Gila!!!


Gambar sekadar hiasan.


Ruh Khyra terdera di alam mimpi, terhuyung hayang kembali pulang ke alam realiti. Deru nafasnya beributan kencang. Mendadak, Khyra terbangun. Lenanya terusik. Dia berpaling ke sisi kiri setelah gementar melihat ke kanan. Sisa-sisa ketakutan seakan masih tertayang. Kesedihan yang mengendap di alam bawah sedar muncul secara ganas dalam mimpinya tadi. 


Khayra meludah angin di sebelah kiri setiap kali ditimpa mimpi ngeri. Peluhnya berjatuhan bak gerimis hujan. Air matanya berguguran bagai aliran embun di dedaunan. Jiwanya kerapuhan oleh tayangan demi tayangan yang menakutkan. 

Selimut ditarik dengan jari-jemari yang berketaran. Terasa seram. Suasana gelap suram di bilik itu seakan gelapnya keadaan di latar mimpi. Tiada cahaya. Udara sejuk tidak menghalang cucuran keringat. Dia mengesat dengan lengan. Kesunyian di sekeliling menambah kerunsingan di jiwanya.

Catatan diari gadis Syria berkali-kali bergentanyangan datang dalam mimpi malam Khyra. Diari yang diberikan oleh kenalan Syrianya itu bagaikan baju yang sentiasa melekat di badannya. Sentiasa dibaca terjemahannya. Berkali-kali ia menggoncang ketenangan. Berkali-kali ia menyakitkan perasaan. Berkali kali ia menghantuinya, sekaligus seperti memohon simpatinya. 

Namun ternyata, bagi gadis Syria itu, lain cara pandangnya. Di mata Khyra, gadis itu pelik sungguh!

Tulis si gadis Syria,

‘Khalid al-Walid, saksikanlah cucu-cicitmu ini juga segagah dirimu. Petaka besar yang datang satu petanda bahawa kemuliaan besar akan berulang. Seperti kemuliaan sejarah pembebasan Syria pada abad ke-7 Masihi daripada cengkaman Byzantine. Secerah api pertempuran Yarmuk yang mengakhiri kezaliman kisah-kisah semalam. Secerah-cerah cahaya matahari, datang selepas gelapnya malam.' 

Pernafasan Khyra berombak resah. Dia seakan sedang berada di dunia gadis itu. Wajah-wajah bengis dan hiruk pikuk suara-suara memohon pembelaan seakan bergayutan di mata dan telinganya. Dia seperti dapat menyaksikan segalanya dengan bisu. Terkebil-kebil mata Khyra, seakan dapat melihat saat gadis itu disentap purdahnya oleh seorang askar berwajah singa. Terserlah pipi seputih kapas,sehalus sutera. Tersingkap bibir mungil gadis itu yang kecil bak limau seulas, merah bak delima merekah. Serta-merta, tangan kotor si askar terpaku di laras senapangnya. Hujung bibir sebelah kirinya terjungkit sedikit ke atas. Mata hitamnya ikut berlari ke arah si gadis tak berdaya. Matanya berbinar-binar keghairahan.

Mendadak, lelaki itu cuba mendakap si gadis. Gadis itu menampar mukanya. Dengan geram, lelaki itu menggari tangan si gadis. Kemudian, mencabut kuku-kuku tangan dan kaki gadis itu dengan pisau rambo di poketnya. Gadis itu mengerang kesakitan sekaligus terjelopok ke tanah. Azabnya tidak terkira. Dia menjerit memanggil nama Tuhannya. Dia menggelupur seperti kambing dilapah kulitnya hidup-hidup dalam ikatan gari besi itu. Terdengar suara esak tangis adik kecilnya yang menyaksikan penderitaan kakaknya. Tiada sesiapa di situ kecuali dia. Khyra bagai dirodok matanya di dunia berbeza. 

'Kebinatangan apakah ini?' jerit batin Khyra, sukar percaya. 

Setelah itu, gari dibuka. Khyra yang menyaksikan peristiwa itu di alam bawah sedarnya, menyangka gadis yang diseksa itu akan menyerah. Tambahan pula, andainya gadis itu tidak rela diperkosa, apa saja pilihan yang ada, selain daripada menyerah? 

'Adakah dia akan senasib dengan Zainab al-Husni dari Homs yang dikerat empat badannya kerana enggan dinoda?' fikir Khyra sambil membengkokkan kuku tangan dan kakinya seakan menjiwai keperitan yang sedang dideritai gadis itu. 

'Adakah dia mahu menjadi seperti ramai tawanan wanita Syria yang hilang jejak entah ke mana?' 

'Atau menjadi sebahagian daripada mayat-mayat terdampar di pesisiran pantai Turki dan Eropah?' 

'Atau dia ingin menjadi mayat terseksa yang dilambung gelombang laut yang turun naik dan bergulung gulung di Mediteranean?'

'Ataupun, dia ingin menjadi orang yang dipaksa menukar syahadahnya kepada menyembah manusia?'

"Pilihan terakhir ini paling ‘gila’!" Kyra seakan dapat mendengar suara hati gadis itu menggetus sinis. 

Ternyata, gadis itu terpaksa membuat pilihan. Pilihan yang lebih mulia adalah mati, jika dibandingkan dengan membiarkan dirinya jatuh ke lembah paling hina sebagai ratahan hina sang singa. Dengan nekad membulat tekad, dia lantas menerjuni samudera Latakia. Airnya sedang pasang. Ombaknya beralun ganas seakan kemarahan.

“Ukhtiiiiii!” 

Terdengar jeritan seorang gadis kecil dalam lingkungan 6 tahun. Wajah polosnya secantik kakaknya. Khyra menggigil bimbang melihat gadis kecil itu sedang menyembunyikan sebahagian badannya di belakang dinding rumah. Kakinya terpaku di situ menyaksikan penderaan ke atas kakaknya sejak awal, bagai menanti-nanti peluang membela. 

Askar itu menoleh dan menyeringai aneh sambil menanti mangsa seterusnya.


---------------------------------------

INI GILA!!!
Kisah penderitaan wanita Syria dan pembelaan wanita Malaysia.

Novel terbaru Ustazah Fatimah Syarha.

Jika anda berhajat membaca sambungan novel ini, katakan:

#Inigila. Pray4Syria.



Ini Gila!!! Reviewed by Fatimah Syarha on 11:28:00 Rating: 5 Gambar sekadar hiasan. Ruh Khyra terdera di alam mimpi, terhuyung hayang kembali pulang...

No comments: