Jerat Cinta - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Jerat Cinta






Irama telefon kedengaran. Dalam keletihan, dia menyambut panggilan itu.

“Asrar, awak kena bantu saya. Kali ni saja, tolonglah!” Khazinatul Asrar terdiam dengan rayuan Tsabit. Jauh di sudut hati, dia pelik dengan sikap Tsabit yang tidak pernah jemu. Itulah keistimewaan Tsabit sebenarnya.

“Apa yang boleh saya bantu? Pastikan tidak melanggar syariat.” Akhirnya dia simpati.

“Asrar, saya dah jatuh cinta. Masalah tu berat bagi saya. Hidup saya jadi tak menentu.”

“Kalau masalah tu, saya tak  ada masa  mendengarnya.”

“Awak kena bantu saya, Asrar. Saya sanggup merayu.”

‘Sombongnya!’ Hati Tsabit geram.

“Macam mana saya nak bantu, saya tak pernah jatuh cinta. Lagipun dah tentu saya tak pernah cintakan awak. Faham!” Ketegasannya menyentak Tsabit. Namun, otak licik Tsabit pantas mengenakan balik. Geram.

“Siapa cintakan awak? Awak perasan. Saya sebenarnya jatuh cinta pada kawan awak, Hijriah.”

Gurlp! Malunya. Khazinatul Asrar rasa diperkena. Tsabit memang berotak cair.

“Asrar, saya perlukan nasihat awak. Perlukah saya meluahkan isi hati saya kepada Hijriah?”

“Tak perlu! Sekarang, peranan awak ialah belajar betul-betul, islah diri dan hayati Islam sepenuhnya, bukan sibuk mengejar cinta perempuan.”

“Takkan nak tunggu saja. Kalau melepas?”

“Yakin dengan Allah! Kalau melepas pun, Allah akan gantikan dengan yang lebih baik. Buat masa sekarang, berusahalah sedaya upaya mendekatkan diri dengan Allah, pasti ada ganjaran cinta Allah menanti awak.”

“Alahai, macam mana nak dekatkan lagi diri dengan Allah! Nak kata saya tak pernah solat, solat pun tak pernah tinggal tapi ada juga yang qada. Nak kata saya ada buat dosa besar rasanya tak pernah.”

“Hm, saya teringat ayat Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 186. Ayat ini sering menghiburkan saya apabila saya cuba mencari Allah, maksudnya,

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (beritahu kepada mereka), sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu menyahut seruanku (dengan mematuhi  perintah-Ku),  dan  hendaklah  mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul."  [Surah al-Baqarah 2: 186]

Minimum iman, buat apa yang Allah suruh dan tinggal apa yang Allah larang. Tapi, takkan nak iman tahap minimum saja. Sebagai mukmin yang nak capai darjat maksimum di sisi Allah, kita kena sentiasa membaiki kualiti iman menjadi cemerlang. Contohnya, kalau selama ini solat tak pernah tinggal, sekarang nak baiki lagi kualiti dengan solat di awal waktu. Kemudian, nak baiki lagi dengan solat yang khusyuk. Kemudian, nak baiki lagi agar istiqamah menjaga kekhusyukan solat. Perlu juga diingat, mengikis keaiban diri lebih utama daripada menambah amalan baharu.”

“Solat pada awal waktu? Subuh saja biasanya lambat. Masalahnya sekarang, saya tak dapat merasai nikmat sebenar solat. Tak pernah pun rasa khusyuk. Rasanya, susahlah nak dapat apa yang sepatutnya daripada solat tu.” 

“Pandai pun mengesan apa yang perlu dibaiki lagi, itu baru satu aspek. Kalau nak rasa nikmat buat sesuatu, kena pujuk dan proses hati buat kerana rasa sayang pada Allah. Cubalah menjadi orang yang angau cinta pada Allah. Secara automatik, jiwa rasa lain dan peribadi lebih baik. Moga Allah bantu.”

“Saya rasa tak bolehlah nak timbulkan rasa cinta dengan Allah, tak pernah terfikir pun nak timbulkan rasa cinta dengan Allah. Awak dapat rasa nikmat cinta pada Allah?”

Nak  bercinta  dengan  Allah,  syarat  utamanya  ada kehendak!  Allah  terlalu  sayangkan  kita  melebihi sayangnya seorang ibu kepada anak kecilnya, cuma kita tak bagi peluang pada diri kita kenal cinta-Nya. Kalau betul-betul berkehendak, Allah pasti memudahkan jalan. Kita buat apa-apa pun rasa diperhati oleh Kekasih Agung, jiwa akan bahagia.”

“Kehendak saja syaratnya? Dengar macam senang tapi tak tahulah. Saya rasa tak boleh nak fikir ke arah itu, ilmu tak cukup lagi. Itu bahagian usul, tarekat, sufi atau entah apa-apa, susah!”

“Kehendak atau persediaan hati adalah syarat utama. Ia mesti disusuli dengan tindakan. Selagi aturan minda awak mengatakan cinta Allah ni susah, usul, tarekat dan lain-lain, awak tak akan dapat merasainya selama-lamanya. Ubah aturan minda awak tu. Allah dekat dengan kita dan kalau kita bercakap dengan dia sekarang, Dia akan membalas dengan cinta. Kan saya dah bacakan ayat tadi. Allah terlalu sayangkan kita. Cuma kita tak sayang Allah.”

“Masalahnya saya tak tahu cara nak bercinta dengan Allah. Saya ni tak pernah bercinta, nak bercinta dengan perempuan pun kecewa, inikan pula nak bercinta dengan Allah.”

“Sebenarnya tak tahu nak bercinta dengan Allah, bukan masalahnya tapi kalau hati tak nak, itu masalah besar. Kalau hati kata nak, kita akan rebut apa sahaja perkara yang boleh dekatkan diri dengan-Nya. Contoh, hadiri majlis ilmu, mencari kawan yang soleh dan lain-lain. Itulah caranya. Kalau kita cintakan Allah, Allah akan temukan kita dengan orang yang turut dicintai-Nya.”

“Macam cinta Khazinatul Asrar? Gurau saja. Tapi, itu perkara yang susah. Sekarang ni pun diri saya tak terbimbing lagi, nasib baik ada manusia macam awak. Bila tengok awak, saya rasa nak mengatasi awak. Awak banyak bagi petunjuk pada saya, tapi kalau ada petunjuk, hidayah tak ada tak guna juga, kan?”

Hidayah dan petunjuk milik Allah, bukan milik sesiapa. Ia boleh dicari. Allah memberikannya kepada orang yang mencari. Jangan bertangguh lagi, malam ni juga oraklah langkah baru mencari hidayah Allah. Muhasabah. Bertekad mengikis keaiban diri. Buatlah solat taubat. Dalam solat, cuba kawal hati agar faham makna dan cuba rasa bagaikan sedang duduk berdua-duaan dengan-Nya. Kita sama-sama buat kerana nak rasa sayang pada-Nya.”

“Solat taubat? Tak pernah pun saya buat kecuali buat dosa. Nak taubat apa? Bukannya ada buat salah pun.”

“Saya solat taubat setiap malam sebab saya tahu hari-hari yang saya lalui, mesti saya ada buat perkara yang Allah tak reda sama ada sedar atau tidak. Dosa hati, mata, telinga dan lidah, takutnya! Saya solat taubat sebab saya sedar saya tak maksum, setiap hari saya tak terlepas daripada buat salah. Saya insan lemah. Tak sangka pula awak ni maksum, tak pernah buat salah.”

“Err, sindir nampak! Selama ni, saya fikir solat taubat tu untuk orang yang buat dosa besar saja, kalau dosa kecil memadai dengan istighfar. Satu lagi, saya tak berani buat solat taubat sebab nanti saya buat lagi, takut taubat seterusnya tak diterima pula.”

“Kenapa masih nak beralasan dengan minda sendiri untuk bertangguh dari jumpa Allah? Atau hati awak masih tak bersedia nak kikis semua unsur-unsur jahiliah yang bersarang kat situ? Ini faktor yang boleh menghalang kita daripada menerima hidayah.”

“Unsur-unsur jahiliah, apa maksud awak?”

“Apa saja selain Islam adalah jahiliah.”

“Contohnya?”

“Telefon perempuan tanpa urusan munasabah, ganggu perempuan, lupa Allah, tak cari cinta Allah, tangguhkan taubat dan apa saja selain Islam. Mudahkan nak kenal apa itu jahiliah?”

‘Asyik aku saja yang terkena,’ rungut hati Tsabit.

“Tsabit, Allah cintakan hamba-Nya yang sentiasa menyucikan diri dengan istighfar dan solat taubat. Ini salah satu cara nak rasai cinta Allah, Raja Pemilik Isi Alam Semesta.” 

“Baiklah, saya akan cuba buat. Buat pengetahuan awak, saya dah lama tinggal solat sunat ni. Solat jemaah pun sama.”

“Yang lepas tu biarlah ia berlalu. Yang penting, saat dan detik ini kena tanam azam baru untuk menjadi lebih baik. Saya rasa dah lama sangat kita berbual ni. Rasa banyak dosa pula. Entah macam mana saya boleh terlayan awak bercakap. Astaghfirullah. Malam ni saya nak berdua-duaan dengan Kekasih Agung saya. Nak ikut? Jom!”

“Awak ajak saya ikut? Betulkah apa yang saya dengar ni?”

“Maksud saya, awak nak ikut solat pada malam ni atau tidak. Kalau nak, awak solat di bilik awak dan saya solat di bilik saya.”

“Hidup ini indah bila ia kerana Allah, kan Asrar?”

“Masya-Allah. Inilah kata-kata yang saya rindukan daripada pemuda Islam seperti awak. Ayuh mujahid, kita jadikannya realiti bukan sekadar kata-kata dusta, Allah menjadi saksi!”

Khazinatul Asrar bersimpuh. Sejadahnya direnung.


-------------------------------


[Petikan buku 'SEINDAH MAWAR BERDURI']









Jerat Cinta Reviewed by Fatimah Syarha on 12:04:00 Rating: 5 Irama telefon kedengaran. Dalam keletihan, dia menyambut panggilan itu. “Asrar, awak ke...

No comments: