Lelaki Tanpa Kerja - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Lelaki Tanpa Kerja




Rahmat bangun malam. Mengadu tentang ‘hidup.’ Bangun malam bererti, Allah memilih untuk bertemu dan berkata-kata. Adakah wujud pertemuan lebih hebat daripada ini? Rahmat tidak mahu ketinggalan.

Melalui hidup sebagai lelaki tanpa kerja, sakit! Bukan dia tidak berusaha namun Allah mahu menduga. Rahmat redha. Biarlah dia hilang kerja, asalkan dia tidak hilang rasa bertuhan. Tidak Hilang al-Quran dan Tab Tee Laa kesayangan.

Rahmat mencongak baki duit simpanannya. Meskipun tidak dapat nilai yang tepat, namun dia dapat membuat anggaran secara kasar. Tidak banyak.

Selepas solat Subuh berjemaah di masjid, Rahmat duduk di sebuah restoran sambil makan roti canai. Seorang lelaki buta dipimpin oleh seorang wanita datang menghulurkan sebungkus tisu kepadanya. Dengan pantas tangannya menyeluk kocek dan mengeluarkan dompetnya.

Setelah membelek beberapa kali, dia sedari duit dalam dompetnya cuma empat ringgit sahaja. Jika dihulur sedikit, bimbang tidak mampu untuk membayar sarapannya dan membungkus roti telur untuk Mama. Dia hanya menggelengkan kepala dan menghadiahkan senyuman kepada mereka.

Rahmat berjalan pulang. Kepalanya berat. Jumlah simpanan dalam bank, tidak sampai satu ribu ringgit. Dia mungkin hanya mampu bertahan selama satu bulan sahaja. Melainkan dia mendapat pekerjaan yang baru. Jika tidak, kasihan mama...

Sungguh pun tanggungannya tidak besar dan belum mempunyai keluarga, dia perlu menanggung dirinya sendiri dan ibunya. Dia boleh bersabar bila terpaksa berlapar, dapat berpuasa. Namun dia tidak boleh tahan jika mama yang terpaksa berlapar sedangkan mama ada anak jantan yang masih hidup. Bil elektrik, air, kereta, sewa rumah, hutang belajar, semuanya perlukan biaya.

‘Aku sudah pun berusaha. Aku sudah pun berdoa dengan penuh yakin. Aku yakin Allah akan menolongku mendapatkan pekerjaan tidak lama lagi,’ bisik hatinya.

Dia teringatkan satu hadis, sebagai dorongan untuk bersangka baik dengan Allah . “Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.” [Dari Abu Hurairah (semoga Allah merahmatinya), Riwayat Bukhari dan Muslim].

Insya-Allah. Allah kan ada,” katanya dengan perlahan.

Dia mendongak dan memandang langit. Kabus jerebu tidak begitu menebal lagi. Kemudian dia memandang wayar elektrik yang masuk ke rumahnya dari sebatang tiang elektrik. Seterusnya matanya beralih kepada meter air yang terletak di penjuru kanan hadapan rumah.

‘Semua ini ada caj. Tidak percuma. Akulah yang bertanggungjawab,’ bisik hatinya dengan gusar.
Runsing memikirkan poketnya yang makin kempis. Kemelut kewangan sememangnya amat menyesakkan dada.

Sezuhud mana pun seseorang, pastinya dia gembira jika mendapat rezeki yang melimpah ruah. Paling tidak pun, cukup sekadar untuk keperluan asas hingga tidak perlu merendahkan diri untuk meminta-minta.


-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Rahmat tiba di rumah. Rahmat melihat mama sedia menanti di pintu. Ada wajah gembira di wajah mama.

“Mama,” sapa Rahmat sambil menghulurkan roti telur.

Alhamdulillah, dah pulang anak mama. Terlupa bagi salam ye, Assalamualaikum,” kata mama.

Rahmat tersenyum.

Walaikumussalam warahmatullah.”

“Rahmat, hari ini kan keputusan ‘Master’ Rahmat keluar. Cepatlah semak di talian,” pinta mama.

Rahmat hampir terlupa. Rahmat segera membuka telefonnya di sebelah mama. Mereka sama-sama duduk di tangga.

Alhamdulillah!!!

“Lulus ya, Rahmat?”

“Cemerlang dengan ‘pointer’ tinggi,” jawab Rahmat.

Mama memeluk Rahmat dan tidak henti-henti lisannya mensyukuri nikmat Allah SWT.

Insya-Allah, nanti dapat pekerjaan yang lebih baik,” kata mama.

Amin. Tapi mama, ada juga kawan Rahmat yang tamat tahun lepas tapi sekarang cuma jadi pemandu teksi, pembantu tadbir dan kerja kilang pun ada,” kata Rahmat.

“Cara kita berfikir, bukan tengok pada orang yang tak dapat. Tengok pada peluang apa yang boleh kita rebut,” kata mama.

Rahmat terkesima mendengar bicara si buta yang dipanggilnya mama. Pengalaman hidup sungguh mendewasakannya.

“Bersyukur pada apa yang ada. Usah biarkan fikiran sakit dengan apa yang kita tak ada. Jom, kita senyum dan bergembira,” kata mama lagi.

Rahmat tersenyum. Dia tahu mama tidak nampak senyuman itu. Lalu, Rahmat ketawa kecil. Biar mama tahu dia sangat terpujuk dengan bicara mama. Ia sungguh membahagiakan mama.

“Rahmat, kerja kilang ke, pembantu tadbir ke, pemandu teksi ke, jika ia tak halang kita dari Tab Tee Laa, ia tetap kerja halal dan baik. Tak perlu memilih. Apa saja peluang yang ada, rebut cepat,” kata mama.



[Petikan buku 'TAB TEE LAA']







Lelaki Tanpa Kerja Reviewed by Fatimah Syarha on 11:22:00 Rating: 5 Rahmat bangun malam. Mengadu tentang ‘hidup.’ Bangun malam bererti, Allah memilih untuk bertemu dan berkata-kata. Adakah wujud pert...

2 comments:

  1. Buku baru ustazah ke? Dah dijual di kedai/online?

    ReplyDelete
  2. Antara yang terbaru. :) Jika berminat, boleh terus WhatsApp 013-262 8063. Atau layari www.bukuonlineterbaik.com. #AdminSB

    ReplyDelete