Allah Nak Lihat Usaha Kita - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Allah Nak Lihat Usaha Kita



Gambar sekadar hiasan. Sumber: Google Image.


Sebelum Jumaat, langsung tidak laku. Para jemaah lebih memusatkan perhatian kepada ibadat. Usai solat Jumaat, hanya dua buah buku sahaja yang laku. Ramai yang sekadar menjeling sekilas pandang. Ada yang membelek-belek, kemudian berlalu begitu sahaja. Ada yang bertanya judul yang sememangnya tidak pernah dijual. Ada juga yang tawar-menawar harga yang sudah begitu rendah. Kemudian berlalu setelah tidak mendapat harga yang diiinginkan. Ada juga yang sekadar mengerling, kemudian memandang jam di tangan dan terus berlalu pergi.

Jualan terburuk dalam tempoh tiga bulan. Hanya laku dua buah buku sahaja. Setakat ini, setidak-tidaknya enam buah buku laris untuk satu sesi jualan.

‘Ah, tidak berbaloi dengan masa, minyak kereta dan keringat. Ingatkan ada kereta makin tinggi jualan. Malaslah kalau begini. Tutup kedai lagi baik,’ dia mula merungut. Hatinya sedikit panas. Sepanas terik mentari di atas kepalanya.

Tidak mudah untuk Ameen menelan hakikat tersebut. Dia baru sahaja bercita-cita hendak melangsaikan hutang kereta secepat mungkin. Hutang tidak boleh dibiarkan lama. Takut-takut meninggal sebelum dapat melangsaikannya. Apakan daya, inilah pengalaman pertama keluar berniaga dengan kereta. Jualan paling rendah dalam rekod perniagaannya setakat ini.

Dia melontarkan pandangan kosong ke kawasan masjid. Tidak ada selera untuk belajar dengan keadaan panas dalaman dan luaran seperti itu. Matanya menangkap satu sosok di tepi parkir berbumbung. Sosok itu benar-benar menarik perhatiannya. Ia seolah-olah didatangkan oleh Allah untuk menyampaikan satu mesej kepadanya.

Sosok itu adalah seorang lelaki yang menjual rojak. Wajahnya mirip seseorang yang berketurunan India Muslim. Usianya sekitar 50-an, memakai songkok berjalur putih dan kuning. Ramai orang sedang lalu-lalang di hadapan gerainya, namun tiada seorang pun yang singgah membeli. Waktunya lebih banyak menunggu daripada menerima pelanggan dan menjual.

‘Apa yang akan dibuat oleh pakcik itu kalau jualan tidak laku? Tidak mungkin makanan hari ini hendak dijual esok,’ fikirnya sendirian.

Lelaki itu kelihatan termenung dalam. Entah apa yang difikirkan. Mungkin sedang memikirkan strategi yang lebih sesuai. Mungkin juga sedang mencongak kerugian pada hari tersebut. Raut wajah yang berwarna coklat kehitaman dek dipanggang panas matahari, memperlihatkan bahawa hidupnya tidak pernah lekang daripada cabaran.

Astaghfirullah. Astaghfirullah,” mulutnya bergerak-gerak melafazkan istighfar beberapa kali.

‘Setidak-tidaknya aku tidak rugi. Masih untung walaupun tidak seberapa. Buku yang tidak laku masih boleh dijual lagi. Satu sen pun tidak rugi. Paling teruk pun ia dikembalikan semula kepada penerbit,’ ujarnya dalam hati.

Benar. Kehadiran penjual rojak itu seakan-akan ingin menyampaikan satu mesej yang berguna kepadanya. Baru sahaja dia ingin menyalahkan takdir atas jualan yang teruk pada hari itu. Allah benar-benar sayang kepadanya. Allah mahu hatinya sentiasa bertaut kepada-Nya walau dalam apa-apa keadaan sekalipun.


Alhamdulillah. Aku ada pendidikan. Ada pinjaman pelajaran. Bahkan aku sudah mempunyai hasil pendapatan sendiri. Aku mampu merangka masa depan yang lebih gemilang berbandingnya. Sedikit pun aku tidak layak untuk mengeluh. Astaghfirullah, ampunkan aku ya Allah,’ dia bermonolong sendirian. Matanya sedikit basah.

Kata-kata khatib semasa khutbah tadi mula terngiang-ngiang dalam mindanya.

“Usah ditangisi rezeki yang belum ada, tapi tangisilah jika tidak bersyukur dengan kurnia yang ada. Ramai orang yang cemas tentang rezeki. Dalam keadaan cemas itu, dia tidak sedar dia masih hidup dan terus hidup dengan jaminan rezeki daripada Allah. Lihat janin dalam rahim ibu, sudah dijamin rezekinya meskipun dia tidak tahu apa-apa. Orang yang sakit, ada rezeki dengan ada tangan yang menyuap dan membawakan makanan. Orang yang tidak mampu makan, masih dapat infusi zat dan nutrisi melalui salur wayar di hospital.”

Begitu cepat dia terlupa. Baru sahaja dia mendengar khutbah mengenai kesyukuran. Memang itulah sifat manusia. Sering terlupa. Jadi perlu diingatkan berkali-kali.

Pandangan matanya mula bergerak lebih jauh ke pintu pagar masjid. Tidak jauh dari pakcik rojak tersebut, orang ramai sedang berpusu-pusu ke arah sebuah gerai. Entah apa keistimewaan gerai tersebut sehingga mampu menarik perhatian begitu orang ramai. Ameen mengamati betul-betul gerai tersebut.

‘Wah... gerai potato spring!

Serta-merta mulutnya tersenyum lebar. Semangatnya pulih kembali. Memandang makanan kegemarannya sahaja sudah cukup untuk memberikan energi baharu kepadanya.

‘Boleh tahan juga perniagaan dia,’ dia tersengih sendirian. Serta-merta asid hidroklorik merembes dengan banyak di dalam perutnya. Ada sedikit bunyi “muzik” yang tidak ada rentak di sekitar ulu hatinya.

‘Tidak mengapa tidak untung sangat. Aku mungkin dapat sesuatu iaitu pengalaman berniaga,’ dia memujuk hati untuk kesekian kali.

Dia mengeluarkan nota pelajaran dari begnya dan mula membaca sesuatu. Hajatnya tidak lama. Mungkin kira-kira lagi 20 minit, dia akan menutup gerainya. Itulah yang dilakukannya setiap kali berniaga buku. Prinsipnya masih sama. Dia tidak akan bazirkan meskipun satu saat dengan sia-sia.


-------------------------------


[Petikan buku 'CINTA POTATO SPRING']















Allah Nak Lihat Usaha Kita Reviewed by Fatimah Syarha on 11:06:00 Rating: 5 Gambar sekadar hiasan. Sumber: Google Image. Sebelum Jumaat, langsung tidak laku. Para ...

No comments: