Bagai Baru Semalam Kita Pernah Kecil - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Bagai Baru Semalam Kita Pernah Kecil




Cuba hari ini kita melihat sekumpulan kanak-kanak kecil di sebuah tadika. Usia mereka sekitar lima atau enam tahun. Percayalah, pejam celik, pejam celik, apabila kita bertemu dengan mereka semula di lain hari, kita mendapati mereka sudah meningkat remaja. Sekejap sahaja. Kita sendiri, rasanya baru semalam berusia 6 tahun, tapi hari ini sudah berusia 16 tahun atau 26 tahun atau 60 tahun.

Masa berlalu sangat cepat. Anak-anak yang comel di tadika itu, fizikalnya berubah dengan pesat ketika remaja. Remaja lelaki akan berkembang menjadi sasa dan tegap. Manakala remaja perempuan mula menampakkan ciri-ciri kewanitaannya.

Bukan fizikal anak-anak ini sahaja membesar, ia seiring dengan pergolakan dalam jiwa. Perubahan emosi dan fikiran, diistilahkan dengan ‘narcisma.’ Ia merujuk kepada perasaan ketagih cinta dan ingin dicintai. Semasa kanak-kanak perasaan ‘narcisma’ didapati daripada ibu bapa dan keluarga. Namun semasa remaja keperluan ‘narcisma’ memuncak kerana remaja mengalami rasa kesunyian yang hebat kesan zaman peralihan terutamanya remaja perempuan. Berdasarkan inilah remaja beralih lepada rakan sebaya yang berlawanan jantina untuk memburu nacisma. Lalu, ilmu apa yang kita persiapkan untuk membantu mereka?

Perlu diingat bahawa mereka tidak membesar sesama mereka sahaja. Ada berjuta-juta lagi kanak-kanak yang sebaya yang membesar bersama. Bahkan generasi mereka lebih ramai daripada generasi kita. Generasi selepas itu makin bertambah ramai dan semakin ramai. Jiwa mereka pasti akan diusap oleh perasaan ini. Tanpa panduan yang jelas, mereka akan terbabas. Tanpa iman yang utuh dalam diri, mereka akan dikawal oleh hawa nafsu.

Generasi kita ini banyak belajar dari persekitaran sekeliling, terutamanya media dan rakan-rakan. Bagaimana cara yang ditunjukkan, itulah yang akan menjadi ikutan. Media banyak menghidangkan drama-drama yang tidak menunjukkan cara yang betul seperti yang Islam ajarkan.


Gambar sekadar hiasan


Aksi yang ditayangkan biasanya tentang berdua-duaan, keluar sambil berpegangan tangan bahkan melarikan diri tatkala cinta tidak direstui orang tua. Bagi mereka, cinta kepada kekasih adalah segala-galanya. Mereka sanggup meredah apa sahaja demi kemahuan cinta yang palsu belaka. Soal kehormatan, dosa dan pahala diletak jauh di belakang.



Berhadapan Kisah Masyarakat


Suatu hari, semasa saya (Dr. Farhan Hadi) sedang bertugas di hospital, saya berhadapan satu kes. Seorang remaja lelaki dibawa masuk ke wad kecemasan kerana dilanggar kereta. Ketika kejadian, dia menunggang motorsikal.

Saya memberikan rawatan kepadanya.

“Doktor,” sapa jururawat yang turut bertugas.

Saya mendongak dan mengangguk laju. Jururawat itu memaklumkan,

“Seorang lagi rakannya turut cedera.”

“Bagaimana keadaannya?”

“Dia agak stabil. Cuma melecet pada lengan kanan sahaja.”

“Bawa dia masuk,” arah saya.

Sangkaan saya, rakannya itu seorang lelaki. Perkataan ‘rakan’ yang disebut oleh jururawat itu terus menghantar mesej elektrik ke otak saya bahawa pembonceng seorang lagi adalah lelaki.

Krek!

Pintu bilik dikuak. Masuklah seorang remaja perempuan yang dalam lingkungan 16 tahun.

“Awak naik motor dengan dia?” soal saya dengan nada hairan.


Wajah saya turut berkerut kepelikan. Saya hairan bagaimana wajah-wajah bersih dan berpotensi ini boleh menunggang motorsikal berlainan jantina. Hmm, hairan atau perkataan yang lebih tepatnya, kecewa.

Remaja perempuan itu berkata,

“Kami bonceng motor sahaja. Bukan buat benda yang salahpun. Dia pula bukan orang lain, teman lelaki saya juga. Apa yang salahnya?” jawabnya seakan dapat membaca fikiran saya.

‘Astarghfirullah.’ Saya beristighfar dalam hati.

“Di mata adik tak salah. Tapi di mata Allah, adik pernah kaji, ia salah atau tak?” tanya saya.

Kedua-duanya terdiam.

“Mungkin kemalangan ni tanda Allah sayang. Tak usah buat benda yang Allah tak suka lagi,” pesan saya.

Kasihan remaja kita. Masih banyak perkara yang mereka sukar bezakan antara betul dan salah. Mereka menghampiri hidup berpasangan tanpa mempersiapkan diri bagi memenuhi keperluan sebuah rumah tangga.

Kondisi rumahtangga yang dibina kelak banyak dipengaruhi oleh persiapan kita sebelum berkahwin. Jika sebelum berkahwin, kita hidup dengan maksiat, dikhuatiri perbuatan tersebut masih dibawa-bawa setelah berkahwin lalu menghambat keberkatan Allah SWT dalam kehidupan berkeluarga.


-------------------------------


[Petikan buku 'SAAT HATI BERDEBAR CINTA']










Bagai Baru Semalam Kita Pernah Kecil Reviewed by Fatimah Syarha on 12:17:00 Rating: 5 Cuba hari ini kita melihat sekumpulan kanak-kanak kecil di sebuah tadika. Usia mereka sekit...

No comments: