Defib Your Heart - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Defib Your Heart

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Google Image.



Di keheningan pagi, suasana mulanya tenang di Jabatan Kecemasan. Tiada pesakit yang baru datang. Doktor oncall yang bertugas bolehlah melelapkan mata seketika. Lelapnya  tidak  lama apabila  dia segera dikejutkan oleh petugas  lain.

“Doktor!”
“Doktor!”

Ada pesakit baru masuk. Seorang lelaki berusia lewat 40-an mengalami sesak nafas dan sakit di dada. Keadaannya amat kritikal. Mukanya pucat putih. Peluh dingin membasahi badannya. Rekod perubatannya diperiksa. Ia menunjukkan dia pernah mendapat serangan jantung sebanyak dua kali tahun lalu.

Suasana Jabatan Kecemasan tiba-tiba menjadi gawat setelah lelaki itu rebah dan tidak sedarkan diri. Resuscitation (pertolongan cemas) dimulakan serta-merta. Keadaannya semakin teruk. Kadar oksigen dalam badannya menunjukkan bacaan minimum. Tekanan darahnya direkodkan. Bibirnya menjadi pucat kebiruan.

Paparan skrin menunjukkan jantungnya mengalami ventricular fibrillation. Keadaan jantung seperti ini tidak efektif. Jantung seperti tiada fungsi. Ia boleh berhenti bila-bila masa sahaja.

Lalu, doktor bertugas itu memegang alat yang disebut sebagai defibrilator dan menekan ke atas dadanya. Satu arus elektrik diberikan untuk menyahneutralkan degupan tadi. Setelah itu, jantungnya kembali berdegup. Degupan jantung hampir normal, namun ia terlalu lemah. Masih memerlukan bantuan ubat-ubat perangsang untuk bertahan.

Lelaki itu berjaya diselamatkan, dengan izin Allah SWT. Allah masih memberi nyawa kepada seseorang bererti Allah SWT masih memberi kesempatan untuk bertaubat dan menambahkan pahala dengan sisa-sisa hidup yang ada. Terpulanglah kepada dirinya bagaimana mahu mensyukuri nikmat usia yang masih dikurnia.

Situasi ini biasa terjadi di hospital. Ada suatu lagi situasi yang biasa terjadi di rumah kita. Sering terjadi. Nyaris sama seperti situasi di hospital tadi. Apakah ia? Sakit jiwa.

Setiap hari, setiap orang akan mengalami suasana jiwa yang pelbagai. Jiwa itu semakin lama semakin sakit, kian sakit dan hampir mati jika tidak segera disedarkan. Adakah kita menyedarinya? Kayu ukurnya pada akhlak dan tanggung jawab kita kepada orang sekeliling. Mudahkah kita marah, menghukum, melabel? Ia cerminan ‘penyakit’ yang ada dalam jiwa.

Suatu hari, di keheningan pagi, seorang lelaki baru sahaja ingin mengejutkan keluarganya. Dia pula dikejutkan oleh ketukan bertalu-talu di pintu rumahnya.

Jirannya terkocoh-kocoh datang memberitahu ada seorang ayah  sedang meracau. Macam histeria. Hanya kerana anaknya tidak membawa pulang walau 1A dalam peperiksaan.  

Si ayah berada dalam keadaan jiwa yang agak parah. Tiada harapan. Tiada kasih sayang. Tiada perasaan cinta. Apatah lagi cinta kepada ibadat buat Sang Pencipta. Jiwanya penuh dengan putus asa. Semangatnya hancur luluh.

Pelbagai ujian menimpa dirinya. Habis kontrak. Tiada kerja. Dikejar pengutip hutang. Jiwanya begitu terseksa dengan setiap ujian yang menimpa. Dia seperti tidak ada jalan keluar. Umpama terperangkap di sebuah lorong sunyi dan gelap gelita.

Dia pernah cuba terjun bangunan dan menelan berpuluh-puluh biji Panadol sekaligus. Ia tidak berjaya merenggut nyawanya. Bahkan dia mengalami kecederaan parah dan penyakit lain pula. Dia pernah mengambil racun Paraquot untuk menamatkan hayatnya namun berjaya digagalkan keluarganya. 

Semua tindakan itu bermula daripada ‘cara fikir’ dan ‘sikap’ setiap hari tatkala berhadapan ujian. ‘Cara fikir’ dan ‘sikap’ itu membesar hari demi hari sehingga seseorang memiliki jiwa yang tidak berasa reda, berputus asa dan asyik menyalahkan Tuhan. ‘Sakit’ dalam jiwa itu akhirnya meletup menjadi ‘sakit’ pada fizikal. Ya, bukan ‘sakit jiwa’ itu satu-satunya punca ‘sakit fizikal’. Namun, kajian dan realiti yang akan dihampar dalam buku ini akan membuka mata kita.  

Berbalik kepada lelaki tadi. Rentak bahaya pada jiwanya perlu dinyahneutralkan. Ia perlu digantikan dengan arus yang normal, agar jiwanya bertambah sihat. Jiwanya perlu diberi renjatan defibrillator untuk memulihkan semula rentak jiwanya yang hampir mati.

Dengan sentuhan agama, dia berjaya diselamatkan, dengan izin Allah SWT. Setelah itu, dia telah mendapatkan semula jiwanya yang baru. Penuh dengan kasih sayang. Dapat mengenal hakikat hidup ini. Alhamdulillah.

Semoga jiwa kita semua ‘didefib’ hari ini. Jangan sampai ‘sakit’nya tidak dikesan awal. Bahaya nanti!

-------------------------------


[Petikan buku 'DEFIBRILLATE YOUR HEART' - AKAN TERBIT! (InsyaAllah)]


www.bukuonlineterbaik.com | FB - Fatimah Syarha | IG - Fatimah Syarha
Defib Your Heart Reviewed by Fatimah Syarha on 11:37:00 Rating: 5 Gambar sekadar hiasan. Sumber: Google Image. Di keheningan pagi, suasana mulanya tenang d...

No comments: