Kita Perlukan Nyamuk? - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Kita Perlukan Nyamuk?

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Google Image.


Sebaik sahaja selesai mengangkap kalimat-kalimat akhir dalam ceramah, saya meletakkan mikrofon di atas meja. Mikrofon itu pantas disambar oleh pengerusi majlis. Mulutnya mengungkap kata-kata penutup. Itu sebagai tanda program pada malam itu sudah berakhir.

Hadirin yang terdiri daripada para palajar Institusi Pengajian Tinggi mula bersurai. Saya menarik nafas lega kerana selesai menyampaikan satu tajuk yang agak berat buat diri saya. Bercakap di hadapan ratusan pelajar yang genius dalam bidang sains bukanlah satu tugas yang mudah. Mungkin yang mendengar itu lebih mengetahui daripada yang bercakap di hadapan. Tajuknya ialah God of Science, Atheist Ideology.

Ilmu di dada ini tidak seberapa. Bercakap jua tidaklah fasih. Saya hanya ada beberapa prinsip yang mungkin memberi sedikit kekuatan kepada diri saya setiap kali mendapat jemputan untuk menyampaikan ceramah.

  • Pertama, tujuan saya menyampaikan ceramah bukan untuk tunjuk pandai bercakap atau ingin bertanding dengan mana-mana penceramah yang lain. Kita semua saling melengkapkan.

  • Kedua biarlah ilmu kurang, namun jika ia berjaya memberi sedikit kebaikan walau hanya untuk seorang sahaja, itu sudah cukup beruntung bagi saya. Maka, buat apa nak risau sangat tentang kelemahan diri. Mana yang baik, teruskan. Moga Allah beri kekuatan dan bantu tingkatkan.


Baru beberapa langkah saya berjalan, sekumpulan pelajar lelaki datang menghampiri saya. Mereka menghulur tangan seorang demi seorang sambil mengucapkan terima kasih. Ada juga di kalangan mereka yang meminta untuk bergambar. Ada juga yang menghulurkan buku tulisan saya untuk dicoret tandatangan.

Dalam sedikit keasyikan menurunkan tandatangan, salah seorang pelajar berbaju putih menyelit dan menghampiri saya. Saya menyambut salam yang dihulurkannya dengan senyuman.

“Doktor sihat?” Ujarnya sebaik sahaja tangan kami bertaut.

Alhamdulillah. Sihat,” jawab saya.

“Doktor, boleh tanya soalan?” Pintanya.

Insya-Allah boleh,” jawab saya.

Lazimnya memang begitu. Apabila saya membuka soalan kepada hadirin setelah ceramah, tidak ramai yang ingin bertanya. Mungkin segan, mungkin takut ditertawakan dan mungkin juga soalan belum terlintas dalam fikiran mereka pada masa itu. Namun sebaik sahaja ceramah selesai, banyak pula soalan yang diajukan secara perseorangan.

Memori saya terbang sekejap ke zaman menuntut di kolej perubatan dahulu. Saya mengagumi sikap seorang pensyarah bernama Professor George. Dia seorang pakar dalam bidang farmakologi.

Pernah suatu hari setelah selesai kuliahnya, seorang pelajar cina menghampirinya dan bertanyakan beberapa soalan. Beliau kelihatan agak terkejut dan marah. Beliau segera mencapai mikrofon dan mengarahkan semua pelajar mengambil tempat duduk semula.

Kemudian dia menjelaskan salah seorang pelajar bertanyakan satu soalan secara perseorangan yang berkaitan dengan kuliahnya. Dia berasa tidak adil untukmemberi jawapan kepada pelajar itu seorang sahaja. Dia perlu memaklumkan jawapan di hadapan semua pelajar agar semua orang dapat mengetahui jawapannya. Dia beranggapan mungkin sebahagian pelajar lain juga mempunyai kekeliruan yang sama.

Saya terfikir untuk melakukan perkara yang sama. Namun melihatkan sebahagian besar penonton sudah keluar dari dewan, saya batalkan hasrat saya. Mungkin soalan yang ingin diajukan berupa masalah peribadi yang tidak sesuai untuk diajukan secara umum. Saya suka kepada pelajar yang berfikiran kritikal dan selalu mengajukan soalan.

“Doktor, apa hikmahnya Tuhan menjadikan virus, bakteria dan penyakit?” Soal pelajar itu tadi.

Saya perlu jawab apa yang dia ‘perlu’. Bukan yang saya tahu.  

Soalan itu mungkin sangat penting kepada orang yang bertanya.

“Supaya manusia jaga kebersihan,” jawab saya ringkas.

Saya tersenyum kepadanya. Saya masih pening. Saya yakin akan ada beberapa soalan yang berkaitan menyusul selepas ini.

“Contohnya, nyamuk. Bukankah nyamuk bawa banyak penyakit? Nyamuk aedes bawa kuman denggi. Ramai yang meninggal. Apa manfaat kepada manusia? Bukankah lebih elok jika nyamuk tidak diciptakan?” Seperti yang disangka, soalan susulan dilontarkan.

Saya tidak terus menjawab soalan tersebut. Saya melayan beberapa pelajar yang ingin bergambar.

Apa yang dia perlu?

Keyakinan kepada kebijaksaan Tuhan. Saya mesti membantunya berfikir.

“Allah maha bijak. Banyak sebenarnya hikmah nyamuk. Cuba tengok, berapa ramai manusia dapat peluang pekerjaan dengan adanya nyamuk?” Saya melontarkan soalan kepadanya. Supaya dia merenung.

“Pekerja kilang ubat nyamuk, kilang kelambu, hospital dan klinik.”

“Lagi?” ujar saya. 

"Pekerja yang fogging nyamuk pun dapat pekerjaan juga,” jawabnya.

“Pandai!”

“Ayah saya dulu kerjanya fogging nyamuk. Dengan berkat kerja itulah dia dapat berkahwin dengan emak saya. Kalau tidak ada nyamuk, mungkin ayah saya susah mendapat kerja dan susah untuk berkahwin,” sambung saya lagi.

Pelajar itu menganggukkan kepalanya. Dua orang rakan di sebelahnya juga mengangguk laju. Jawapan saya tidaklah sebaik mana. Ia hanyalah sedikit cetusan idea dari Allah SWT. Ada seratus lagi jawapan yang lebih baik, namun saya kira, itu yang mereka perlu. Hikmah yang lebih baik boleh dilihat dari sudut kestabilan ekosistem alam.

Memang benar, setiap sesuatu Allah ciptakan di alam ini tentu ada hikmahnya. Bahkan seekor nyamuk yang kelihatan tiada erti dan menyusahkan juga ada hikmah.

“Wahai Tuhan kami, tidaklah engkau jadikan benda-benda ini dengan sia-sia.”
[Surah Ali Imran, ayat 191]

-------------------------------


[Petikan buku 'KESAYANGAN']






















Kita Perlukan Nyamuk? Reviewed by Fatimah Syarha on 12:33:00 Rating: 5 Gambar sekadar hiasan. Sumber: Google Image. Sebaik sahaja selesai mengangkap kalimat-kalim...
Next
This is the most recent post
Older Post

1 comment:

  1. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website kami http://kbagi.com/ atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    ReplyDelete