Mendidik Generasi Pewaris - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Mendidik Generasi Pewaris

            Hati Khyra langsung mengiyakan,
‘Ya Allah, mungkinkah ini peluang untukku mendidik generasi pewaris? Walaupun aku tiada anak kandung, tapi aku boleh berkhidmat kepada ramai anak bangsa. Allah!’
        Persoalan itu membawa Khyra kepada solat istikharah pada malamnya. Dia juga bertanya pendapat ibubapanya. Saat itu ibubapanya sedang bersantai di depan TV. Khyra datang dan menerangkan hajatnya.
       Ibunya memarahi,
      “Buat apa tanya kami? Kamu tu dari kecil sampai besar, suka menyusahkan mak ayah ni. Dulu, orang tak bagi kahwin, kahwin juga. Lepas itu, pergi ke Syria nak bunuh diri. Kamu nak buat apa, buat sajalah. Makin dilarang, makin menjadi-jadi. Pergilah buat. Pergi!”
      Khyra terguris dengan ungkitan itu. Namun, Hadeela mengajarnya sangat memuliakan keluarga apatah lagi ibu bapa. Hadeela sanggup menjejaki saki-baki keluarganya walau terpaksa bertarung nyawa. Khyra terdidik dengan akhlak Hadeela. Dia yang asalnya suka membangkang ibu bapa menggagahkan diri berkata,
      “Syukur, ada mama papa yang selalu ambil berat pasal Khyra. Banyak dah kesilapan yang Khyra buat tapi mama papa tetap sayang. Alhamdulillah. Maafkan Khyra ya, mama, papa. Terima kasih sebab izinkan Khyra menjadi guru ganti ye.”
      “Suka hatilah. Pergilah jadi guru ganti tu,” kata ibunya lagi.
      Ayahnya diam mungkin melayan sakit jantungnya yang kian menjadi-jadi. Khyra juga berterima kasih kepada ayahnya, membuat kesimpulannya sendiri bahawa ayahnya mengizinkan dengan rela hati.
     “Terima kasih ya papa sebab izinkan Khyra. Sayang mama, papa,” kata Khyra dengan senyuman ceria yang dipaksa-paksa.
      ‘Menyuruh tidak, melarangpun tidak. Ah, buat sajalah,’ putus Khyra.
       Khyra sudah terbiasa membesar dengan kata-kata sinis, bebelan, label-label negatif, ancaman, amaran dan syarahan panjang. Ia menjadikannya mudah tidak mendengar kata.
      Namun, apabila menghadapi satu demi satu cabaran hidup, meskipun dikelilingi harta yang melimpah, barulah Khyra sedar selemah manapun cara didikan ibu bapa, cinta mereka tetap paling tulus dan sejati. Cinta yang tidak akan sirna selamanya.

(Petikan buku Cinta Selalu Menang)
Mendidik Generasi Pewaris Reviewed by Fatimah Syarha on 12:55:00 Rating: 5             Hati Khyra langsung mengiyakan, ‘Ya Allah, mungkinkah ini peluang untukku mendidik generasi pewaris? Walaupun aku tiada anak ...

No comments: