Jauh Dan Sesat. Allah Tidak Zalim! - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Jauh Dan Sesat. Allah Tidak Zalim!

Kredit foto: Eyes Of Palestine (Facebook)


Usrah mingguan itu sering mereka nanti-nantikan kerana eratnya simpulan persaudaraan yang terjalin sesama mereka. Bagi mereka, kumpulan kecil sebegitu sangat membantu dalam rangka menghidupkan hati untuk kembali memperbaharui iman kepada Allah dengan suasana yang mendidik.

Seperti biasa, majlis itu dibuka dengan surah al-Fatihah dan tafsiran beberapa potong ayat-ayat suci al-Quran sebelum memulakan pengisian. 

“Lihat surah al-Ma’idah ayat 41,” arah Khazinatul Asrar. Semuanya mula membelek tafsir al-Quran masing-masing.

“Biar saya bacakan,” Asiah menawarkan diri tanpa perlu diminta.

“Saya nak bacakan tafsirnya,” Sayyidah tidak mahu terkecuali.

Khazinatul Asrar tersenyum sambil mengangguk. Lalu, beralunlah suara merdu mereka. “Baiklah, dalam ayat yang dibacakan tadi, kak Asrar nak tekankan firman Allah yang bermaksud,

"Dan sesiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, maka engkau tidak berkuasa sama sekali (menolak) sesuatu apa pun (yang datang) daripada Allah untuknya. Mereka ialah orang-orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka; bagi mereka kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar." [Surah al-Ma’idah 5:41]

Tafsir ayat ini menjelaskan tentang orang yang dibiarkan jauh dari hidayah Allah dan terus sesat hidupnya tanpa pedoman. Kenapa Allah buat begini pada orang tersebut? Adakah Allah zalim? Tidak! Tidak sama sekali tidak! Sebenarnya, jauh dari hidayah Allah adalah azab yang Allah berikan kepada orang yang memang patut menerimanya. Allah tidak menganiaya hamba-Nya sebaliknya hamba-Nya yang menzalimi diri sendiri. Fikirkanlah, jika seseorang sudah terbiasa mendengar kebatilan dan menerimanya tanpa menyucikan hati, ia akan menghijab dirinya daripada kebenaran Allah. Hatinya dibiarkan angguk pada kesesatan tanpa sebarang mujahadah dan pembersihan. Dia menerima kebatilan dan tentu hatinya menyukai kebatilan itu.

Akibatnya, ketika kebenaran datang tanpa memenuhi seleranya, dia menolak dan mendustakannya. Masakan tidak, hatinya sudah gelap dan tidak nampak lagi cahaya Allah. Sebagai balasan, Allah biarkannya terus dalam kesesatan dengan tidak memancarkan hidayah-Nya ke hati-hati mereka. Dalam istilah Arab, ia dipanggil istidraj. Contohnya, apa yang dilakukan oleh kelompok Jahmiyah terhadap ayat-ayat dan hadis-hadis yang berkenaan dengan asma’ dan sifat Allah. Mereka menolak ayat-ayat dan hadis-hadis itu dengan takwil mereka sendiri. Ikut selera mereka. Justeru, Allah biarkan mereka dalam kesesatan kerana azab akhirat yang menanti itu sesungguhnya lebih pedih lagi.

Kita sepatutnya menyucikan hati kita kerana hati adalah raja yang memerintah seluruh amalan. Jangan biarkan ia dinodai oleh titik hitam. Apatah lagi membiarkan ada kebatilan yang masih bersarang di situ, walaupun sedikit. Sentiasalah berzikir dan beristighfar untuk menyucikannya kerana manusia memang sering membuat kesilapan. Proses mengikis keaiban dalam hati adalah proses yang perlu dibuat berterusan,” hurai Khazinatul Asrar.


“Maksudnya, mereka dalam ayat tu bukan dikhususkan kepada satu kaum tertentu saja, kita pun boleh termasuk sekali, kan kak Asrar?” Soal Asiah yang agak aktif orangnya. Minta kepastian.


“Betul tu. Kalau dilihat tafsir ayat secara keseluruhan, mereka ditujukan kepada orang-orang Yahudi yang mengubah kitab Taurat dan mendustakan kebenaran ayat-ayat Allah SWT. Allah SWT membiarkan mereka terus dalam kesesatan. Namun, kita ambil pengajaran berdasarkan umumnya ayat ini. Orang Islam yang tahu tentang kebenaran tetapi tidak beramal sebaliknya memilih kebatilan sebagai cara hidup samalah sikapnya dengan orang-orang Yahudi yang dilaknat Allah SWT. Hatinya akan berselaput dengan noda hitam kerana sudah sebati melakukan kesilapan yang berulang tanpa penyucian hingga akhirnya sukar untuk menerima kebenaran yang dia imani sebelumnya.


Sementara itu, orang yang membiasakan keadaan hatinya lalai daripada cahaya Allah SWT mungkin akan dibiarkan oleh Allah SWT untuk terus lalai dan jauh dari-Nya. Orang ini sebenarnya tertapis daripada hidayah Allah SWT kerana kecuaian diri sendiri, sebagaimana ingatan Allah SWT yang bermaksud,

“Dan setelah mereka menyesal (akan apa yang mereka lakukan) dan mengetahui bahawa mereka telah sesat, katakanlah mereka: “Sesungguhnya jika Tuhan kami tidak memberi rahmat kepada kami dan mengampunkan kami, nescaya menjadi lah kami dari orang-orang yang rugi.” [Surah al-A’raf 7:149]


“Kalau ada lintasan di hati kita untuk berhijrah dari jiwa yang lalai kepada jiwa yang cintakan Allah SWT, maka bersegeralah untuk melakukannya kerana percayalah bahawa itu adalah lintasan yang benar daripada Allah SWT. Lintasan itu merupakan hidayah yang tak akan datang selalu, jarang-jarang sahaja ia singgah di hati. Biasanya apabila ia singgah, ia akan disertai keyakinan yang kuat. Namun, kalau kita sering tertangguh, mungkin Allah SWT akan tarik balik hidayah-Nya itu. Taufiq dari-Nya bukan milik semua orang, bukan milik orang yang tak bersedia,” jelas Khazinatul Asrar.


[Petikan buku 'SEINDAH MAWAR BERDURI']


-------------------------





Jauh Dan Sesat. Allah Tidak Zalim! Reviewed by Fatimah Syarha on 11:55:00 Rating: 5 Kredit foto: Eyes Of Palestine (Facebook) Usrah mingguan itu sering mereka nanti-nantikan kerana eratnya simpulan persaudaraan yang t...
Next
This is the most recent post
Older Post

No comments: