Tip Ibubapa Mengajar Anak Al-Quran dengan Hati Senang - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Tip Ibubapa Mengajar Anak Al-Quran dengan Hati Senang



1. Akrabkan hubungan.

Raihlah hati anak dengan kreatif. Banyakkan senyuman dan kata-kata positif. Awasi sikap cepat naik darah. Anak-anak sering mendengar ungkapan,

“Tak baca al-Quran, dosa! Allah tak sayang. Rugi!” Sekilas, ungkapan ini tidak salah. Namun, kerana latarnya suasana negatif, kesan anak terhadap al-Quran pun menjadi negatif. Seimbangkanlah.

“Adik suka baca al-Quran, kan? Mesti Allah sayang. Bila Allah sayang, nanti Allah bagi syurga. Dalam syurga boleh makan ais krim banyak-banyak tanpa sakit gigi.”

Bila ada perbualan yang positif setiap hari, hubungan dengan anak menjadi lebih asyik. Apabila anak mencintai kita, maka mereka pun akan mencintai apa yang kita cintai. Tunjukkan kepada mereka betapa kita mencintai al-Quran. Show, not to tell.



2. Jangan paksa

Kerana sayang, kita sudah tentu mahukan anak-anak kita belajar asas al-Quran seperti Iqra’. Ya, semua anak anak suka belajar.Itu fitrah semulajadi manusia. Cara keras yang digunakan seperti mengarah tegas, membentak dan mencubit, dan kurikukulum yang ketat, membuatkan anak stress belajar.

Ia mungkin memberikan ketaatan cepat, tapi membenihkan kesan jangka panjang yang bahaya. Anak-anak akan menganggap pembelajaran itu satu sumber stress dalam hidupnya. Anak anak juga akan hilang keakraban dengan pendidiknya. Kekacauan yang terjadi pada diri dan keperibadiannya setelah itu menjadi sangat sukar untuk disembuhkan. Inilah yang membuahkan realiti, walaupun dia
menghafal al-Quran namun tidak memberi manfaat kepada akhlaknya.



3. Beri lebih perhatian terhadap kebaikan anak berbanding kesilapan.

Katakan, anak kita suka berlari dan membuat bising di depan tetamu. Apa selalunya reaksi kita?

“Hey, diam!”
“Jangan lari!”

Atau,

"Lajunya anak abah lari. Suara pun sedap kalau mengaji ni. Ya Allah, jadikan anak saya tidak berlari-lari depan tetamu. Rajin mengaji.”

Fokuslah pada kualitinya sambil mensyukuri Allah. Kurangkan menyebut kesilapannya. Lebih bahagia, bukan? Anak juga terdorong merealisasikan doa si ayah agar dirinya rajin mengaji kerana itu yang menjadi fokus si ayah.

Apabila anak berbuat silap, pujilah dulu mana yang baik. Fokus dan tekankan kebaikan mereka itu, kemudian barulah tegur dan spesifikkan perbuatan mana yang perlu ditambah baik. Dalam situasi tadi, anak-anak mungkin sejak tadi mundar-mandir di depan kita dan tetamu. Namun, dirinya seakan-akan tidak disedari. Apabila mereka mula berlari-lari dan membuat bising, baru kita memberi respon.

Ketahuilah, anak-anak di usia awal sangat dahagakan perhatian ibubapa. Apabila mereka berbuat baik, mereka selalunya kurang diperhati dan dipuji. Tapi, apabila mereka berbuat silap, mereka terus dimarahi. Mereka akan termotivasi untuk berbuat silap lagi kerana perbuatan itu berjaya meraih perhatian ibubapa. Mereka tidak kisah, perhatian itu berbentuk positif atau negatif. Janji, perhatian.

Berdoalah selalu di hadapan mereka agar menjadi pencinta al-Quran. Biar mereka menjadikan bacaan al-Quran sebagai cara meraih perhatian kita.


4. Lain usia, lain kaedah. Lain anak, lain kreativitinya

Ketika usia anak 1 hingga 2 tahun, agak sukar mendengar mereka menghafal. Mulakan dengan menanam kecintaan yang besar terhadap al-Quran. Pasanglah selalu alunan al-Quran dalam rumah melalui cd, laptop, MP3, MP4, atau apa sahaja.

Usia 3-5 tahun, usia yang sangat mudah tertanamnya fanatik dalam diri manusia. Tanamlah dengan nilai-nilai al-Quran. Penyedaran terhadap tujuan belajar al-Quran untuk Allah dan kerana Allah perlu diulang-ulang.

Allah maha bijak apabila menjadikan kita berbeza kemampuan. Maka, pendidik tidak boleh membandingkan anak dengan anak lainnya dalam nada merendah-rendahkan. Perlakukanlah mereka sesuai dengan kadar kemampuan mereka. Anak-anak yang mulanya menghafal, apabila dewasa, dia lebih mudah memahami maknanya. Bahkan, dia akan berpindah dari fasa kanak-kanak ke fasa remaja
dalam keadaan telah memahami banyak etika.

Anak-anak sangat menyenangi kaedah variasi seperti:


  •  Pemberian hadiah.
  •  Belajar kisah-kisah dalam al-Quran sambil menyanyi.
  •  Berjalan-jalan sambil mengulang hafazan.
  •  Menggunakan slogan yang dapat memprogramkan anak-anak tentang identiti dirinya. Misalnya, “I’m little a’bd.” “I’am little caliph.” “Saya ulama kecil.”

Ajarilah si kecil dalam suasana bermain. Bermain adalah dunia si kecil.
Kata Imam al-Ghazali, "Hendaklah anak kecil diberi kesempatan bermain. Melarangnya bermain dan menyibukkannya dengan belajar terus, akan mematikan hati, mengurangi kecerdasan, dan membuatnya jemu terhadap hidup. Sehingga dia sering mencari alasan untuk membebaskan diri dari keadaan resah." 

Jom, berseronok setiap hari bersama anak-anak kita dengan al-Quran.



-------------------------------


[Petikan buku 'KESAYANGAN']















Tip Ibubapa Mengajar Anak Al-Quran dengan Hati Senang Reviewed by Fatimah Syarha on 12:59:00 Rating: 5 1. Akrabkan hubungan. Raihlah hati anak dengan kreatif. Banyakkan senyuman dan kata-kata positif. Awasi sikap cepat naik darah. Anak-a...

No comments: