Wanita Berkerjaya, Salahkah? - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Wanita Berkerjaya, Salahkah?

Sumber foto: Google Image



Dengan Ilmu, Wanita Berkepakaran

            Dewasa ini, kita melihat semakin ramai wanita ‘mampu’ untuk berkerjaya. Ia natijah daripada revolusi ilmu pengetahuan. Kepakarannya didambakan oleh masyarakat.

Siapa yang tidak mahu bersalin dengan doktor wanita?
Siapa yang tidak perlukan kelembutan didikan seorang guru wanita?
Siapa yang tidak berhajat kepada ketelitian tugas jururawat wanita?

Peranan mereka ini bukan calang-calang. Ia menyumbang kepada ketamadunan. Kehadiran wanita di dunia kerjaya dan tugas-tugas sosial banyak menyumbang kepada kemaslahatan.

Allah SWT sememangnya menciptakan manusia untuk bekerja, bahkan Dia ingin tahu siapa yang membuat kerja (amal) secara terbaik.

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) " [Surah al-Mulk, ayat 2]


Wanita sebagaimana lelaki diberi tanggung jawab untuk berkerja atau melakukan amal. Kerja yang dilakukan dengan terbaik akan memperolehi hasil terbaik.


Allah berfirman:"Aku (Allah) tidak akan mempersiakan amalan orang yang beramal di kalangan kamu, baik lelaki mahupun perempuan; sebahagian kamu berasal daripada sebahagian yang lain."                


Berkerjayalah Tapi Jangan Lupa Tugas Utama

Dalam keadaan-keadaan tertentu, wanita dianjurkan, atau bahkan diwajibkan berkerjaya, jika memang terdesak dengan tuntutan hidup. Contohnya, janda atau wanita yang ditalak dan dia tidak mempunyai hasil pendapatan, sementara itu dia mempunyai kemahiran atau keahlian tertentu untuk digunakan. Dalam konteks ini, bekerja dengan kemahiran atau keahliaannya itu boleh menyelamatkannya daripada hidup meminta-minta.

Wanita adalah sebahagian daripada komuniti manusia. Tidak boleh dibayangkan bagaimana Islam kehilangan sebahagian dari komunitinya jika semua wanita tidak berkerja. Lalu terfitnahlah Islam sebagai agama yang jumud dan membosankan, yang hanya mengambil dari kehidupan tetapi tidak memberi kepada kehidupan, hanya mengkomsumsi (menjadi pengguna) akan tetapi tidak berproduksi (menjadi pengeluar).

Namun begitu, institusi kekeluargaan menghadapi cabaran baru dan sumber stress yang baru. Ketika masyarakat semakin memerlukan penglibatan wanita dalam dunia kerjaya, dalam banyak keadaan, ia dilihat seperti menambah beban tugas sedia ada kepada wanita sebagai pengurus rumah tangga.        


Maka, walau apapun kerjaya pilihan wanita, pekerjaan wanita yang pertama dan utama adalah mendidik para generasi. Allah SWT telah menyiapkan jiwa dan fizikal wanita untuk melakukan tugas ini. Jika dia memilih berkerjaya di luar rumah, dia mesti meninggalkan sebahagian hatinya di rumah. Lebih menarik jika wanita boleh memilih suatu pekerjaan yang mempunyai masa anjal dan lebih mesra famili.



Pilihan di Tangan Anda

Hormatilah wanita yang memilih untuk berada di rumah. Mereka bukannya ketinggalan zaman sebaliknya keluarga mereka lebih memerlukan mereka di situ.

Hormatilah juga wanita yang memilih untuk berkerjaya. Mereka bukannya melakukan suatu dosa. Ada yang menganggap seolah-olah wanita berkerjaya itu haram. Hakikatnya, wanita itu melakukan sesuatu yang harus.  Banyak kisah wanita berkerjaya di dalam al-Quran dan hadis. 

Samada berada di rumah atau berkerjaya, masing-masing ada sebab dan keperluannya yang tersendiri. Masing-masing ada peranan yang besar buat diri, keluarga dan ummah. Asal  saja tugas utama wanita iaitu mendidik generasi terus terpelihara. Asal juga suami redha dengan pilihannya.


Berbincanglah. Wanita yang memilih untuk berada di rumah namun tidak berusaha memberi didikan kepada anak-anaknya, akan gagal mencapai matlamat mendidik generasi. Wanita yang memilih untuk berkerjaya namun tidak menyediakan pengurusan yang terbaik untuk rumah tangganya, akan gagal juga mencapai matlamat.














Wanita Berkerjaya, Salahkah? Reviewed by Fatimah Syarha on 11:14:00 Rating: 5 Sumber foto: Google Image Dengan Ilmu, Wanita Berkepakaran             Dewasa ini, kita melihat semakin ramai wanita ‘mampu...

1 comment: