Sebatang Pokok Buat Generasiku - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Sebatang Pokok Buat Generasiku



Sumber foto: Google Image



Untuk Apa Pokok Ini?

Lelaki itu kedutnya seribu. Ototnya lemah didera zaman. Terketar-ketar tangannya menanam sepohon pokok buah-buahan.

“Pak cik, pak cik buat apa ni?” tegur seorang lelaki.

Antara dengar atau tidak, lelaki tua itu meneruskan kerjanya. Lelaki muda meneliti pokok yang ditanam oleh lelaki tua.

“Pokok macam ni perlukan masa berpuluh-puluh tahun baru berbuah. Umur pak cik bukannya boleh bertahan lama lagi,” sindir lelaki muda.

Cuk! Cuk!

Cangkul lelaki tua mengambus akar pokok. Lalu ditekan-tekan dengan kaki agar menjadi padat.


“Pak cik, pak cik kan dah tua bangka. Buat apa tanam pokok ni? Kubur kata mari, rumah kata pergi. Sia-sia saja kerja pak cik ni,” lelaki muda gagal membaca hikmahnya lalu pantas menghukum.



Agar Pahala Tidak Putus

Lebih kurang beginilah situasi yang pernah dialami oleh seorang sahabat Nabi bernama Abu Darda’. Di penghujung usia, beliau tidak lupa meninggalkan pusaka terbaik untuk anak cucunya. Bersusah payah menanam pokok buat mereka.

Apabila ditanya beliau menjawab,
“Apa salahnya kalau saya memperoleh pahala kerananya dan orang lain mendapat kebaikan buahnya?”

Begitu juga yang dilakukan oleh sahabat yang lain. Tekun menanam pokok zaitun pada usia senja. Memikirkan kemaslahatan generasi seterusnya.

Apabila ditanya, beliau menjawab, “Orang yang lebih dahulu dari kita telah menanam untuk kita. Kita telah memakan buahnya. Sekarang kita menanam, supaya orang yang kemudian  kita dapat memakannya.”

Jasanya terus hidup sesudah jasadnya mati. Amalnya meninggalkan manfaaat  dari zaman ke zaman. Ilmunya dinikmati generasi demi generasi. Sedekahnya dimakan oleh ramai orang. Pahalanya berkekalan. Tidak putus-putus.

Inilah kelebihan orang yang menghargai masanya. Tidak kira masa muda atau tua. Yang mereka fikirkan setiap hari ialah bagaimana ingin memberi manfaat kepada orang lain.



Antara Dua Pilihan

Seorang wanita dirogol. Dia berhadapan dengan dua pilihan. Pilihan yang bakal menggelapkan atau mencerahkan masa depannya.

Pilihan pertama, terus mengikat diri dengan kisah hitam itu. Menghina diri yang tidak bersalah. Biarkan diri diterajang berkali-kali oleh trauma seumur hidup.

Pilihan kedua, buat laporan polis. Bangkit dan terus majukan diri. Usah ceritakan kisah ini kepada sesiapa. Beri peluang kepada diri sendiri untuk bahagia.

Seorang lelaki dibuang kerja. Dia berhadapan dengan dua pilihan. Pilihan yang bakal menggelapkan atau mencerahkan masa depannya.

Pilihan pertama, menghukum diri sebagai lelaki tidak berguna. Merempit dan menghisap berkotak-kotak rokok sehari untuk mencari ketenangan sesaat.

Pilihan kedua, positif dengan cabaran hidup. Jangan tunggu esok. Hari ini juga mula mencari kerja baru yang lebih sesuai.

Sama ada mereka memilih A atau B, masa tetap berlalu meninggalkan mereka. Menghantar mereka kepada Pencipta. Memindahkan mereka ke alam abadi. Suatu alam yang sangat memerlukan bekal untuk satu perjalanan jauh.

Jika pilihan buruk yang kita pilih, kita akan merasai pembalasan. Sejak di dunia, apatah lagi di sana. Saat itu, barulah setiap manusia akan tahu. Biar segetir mana ujian, masa tetap berjalan. Kita tetap perlu ada saham daripada perkara yang bermanfaat dalam hidup ini. Jika tiada, bagaimana kita mempunyai survival untuk perjalanan abadi? 



Boleh Bersedih, Jangan Bersedih-sedih

Anda bersedih? Tak mengapa, menangislah. Itu lumrah. Normal. Air mata boleh mengubat duka. Air mata boleh menjadi terapi jiwa. Menangislah di ribaan Pencipta.

Tapi, usah bersedih-sedih. Berapa banyak lagi air mata anda yang perlu dialirkan? Berapa banyak lagi masa perlu dibazirkan? Peristiwa yang menyedihkan itu telah berlaku. Hidup anda mesti diteruskan. Masa tak pernah kasihan. Masa tak pernah berhenti. Masa akan terus pergi. Anda perlu cepat bangun!

Fajar terus menyingsing. Fajar baru terus berkerinsing. Malam dan siang bertukar ganti. Harmoni berkerja tanpa henti. Masa yang ada adalah satu amanah. Satu nikmat. Satu ujian untuk dimanfaatkan atau diabaikan.

Tanamlah ‘pokok’ kebaikan buat umat hari ini sebelum tibanya suatu alam yang tiada lagi masa dan ruang. Jangan biarkan kesedihan terus menghalang kita daripada berproduktiviti. Tanam pokok pahala hari ini.

Umar bin Abdul Aziz berkata, “Malam dan siang, kedua-duanya berkerja untuk kamu. Maka berkerjalah kamu dalam masa kedua-duanya.”

Prof. Syeikh al-Qaradhawi berpujangga dalam bukunya Iman dan Kehidupan, fajar dan mentari itu seakan berkata, “Hai manusia. Aku makhluk baru. Menjadi saksi bagi perbuatanmu. Oleh sebab itu, pergunakanlah aku untuk keperluanmu. Ambillah aku untuk kesempatan mengerjakan perbuatan baik. Apabila aku telah pergi, aku takkan kembali lagi selamanya.”



Hentikan Rutin Hidup Yang Sia-sia

Tegakah kita menjadikan hari kita berlalu sia-sia? Sanggupkah kita bangun pagi lagi tanpa apa-apa perancangan? Tergamakkah kita biarkan sehari yang berlalu tanpa berkerja dan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat?

Kerja hari ini untuk hari ini. Kerja hari esok untuk hari esok. Jika ditangguh kerja hari ini ke hari esok, maka kerja hari esok bagaimana jadinya? Berkualitikah kerja beberapa hari yang dilakukan dalam masa sehari?

Hidup ini ada misi. Hidup ini akan kembali kepada Ilahi. Jadikan hari ini lebih baik daripada semalam. Hari esok mesti lebih bermanfaat daripada hari ini.

Hari semalam telah berlalu selamanya. Hari esok belum tentu milik kita. Yang kita miliki cuma hari ini. Jom, mulakan hidup kita hari ini dengan perancangan. Jadikan rutin hidup kita hari ini bernilai dan penting. Mari sama-sama fikirkan, apakah ‘pokok’ pahala yang boleh kita bangunkan hari ini?


Sebatang Pokok Buat Generasiku Reviewed by Fatimah Syarha on 10:16:00 Rating: 5 Sumber foto: Google Image Untuk Apa Pokok Ini? Lelaki itu kedutnya seribu. Ototnya lemah didera zaman. Terketar-ketar tan...

No comments: