Berat Tapi Berkat - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Berat Tapi Berkat

(Sumber foto: Google Image)

Duhai hati,

            Bersinarkah cita-citamu hendak menjadi pendakwah? Suka atau tidak, inilah pilihan terbaik yang kau miliki.

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan, dan berkata, “Sungguh aku termasuk orang-orang Muslim yang berserah diri.” [Surah Fussilat: 33]

Jalannya memang jauh dan payah tapi penghujungnya penuh pelangi indah. Jalan berlalai-lalai itu jauh dan payah juga. Tapi penghujungnya? Seksa.


Dakwah Islam mempunyai karekternya yang tersendiri. Antara karakter itu ialah:

1.       Rabbaniyyah.
(Ia bersumber daripada wahyu Allah SWT)

Apa-apa sahaja yang kita seru daripada sumber wahyu, atau sumber Rabbani, ia tidak bertentangan langsung dengan nilai kemanusiaan. Maka, untuk lebih yakin dalam berdakwah, cari dan kajilah ilmu wahyu. Bahkan juga, dalamilah ilmu sains kerana ia membawa kita lebih memahami wahyu. Malah membawa kita tiba di tahap yakin terhadap apa yang kita seru.

Contoh yang jelas, puasa. Ibadah ini bersumber daripada wahyu. Sumber Rabbani. Jika dikaji, puasa umat Islam  memang praktikal.

Penganut agama lain berpuasa juga. Tapi, ada yang terlalu mudah. Misalnya, puasanya bermula daripada tidur sampai tengahari saja. Cuma tidak makan sarapan pagi.

Ada juga puasanya terlalu payah. Sampai 3 hari. Ada yang sampai berbelas hari untuk tiba ke makam tinggi. Seksa!

Tapi Islam, puasanya bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari. Sederhana. Bahkan apabila dikaji dari sudut Sains, manfaatnya didapati lebih hebat daripada penemuan bom nuklear atau penemuan telur dinasour.

Kenapa?
Ya lah, bom nukleur hanya memusnahkan orang. Telur dinasour pula, kita hendak buat apa? Tapi manfaat puasa, ia membuatkan manusia di dunia ini lebih sihat.

Ya, kita berpuasa kerana taatkan Allah semata-mata, bukan kerana manfaatnya. Tapi tidak salah mengkaji kelebihannya. Ia menambah iman. Lalu, hendak berdakwah apa-apapun, daripada sumber Rabbani, kita jadi sangat yakin. Boleh berhujah dengan orang Islam dan bukan Islam.


2.      Wasathiyyah.
(Ertinya tengah-tengah atau tawazun (seimbang))

Jangan sempit sangat. Jangan liberal sangat. Kalau di Malaysia ini, kita berdakwah kepada remaja perempuan misalnya. Kita kata, wanita Muslimah nanti tidak boleh berkerjaya, kena fokus jaga anak di rumah sahaja. Alamatnya, memang orang tolaklah dakwah kita, tidak kira Muslim, atau bukan Muslim.

Sebabnya? Ia tidak pertengahan. Sempit sangat peranan yang dikaitkan dengan wanita. Sedangkan sirah para sahabiah membuktikan peranan mereka jauh lebih besar daripada itu. 

Berilah peluang kepada mereka sepenuhnya. Didik mereka agar seimbang. Bukan menghalang apa yang Islam tidak halang bagi mereka. Itu seruan yang lebih pertengahan.

Banyak lagi contoh seruan-seruan dakwah yang tidak pertengahan terutamanya dalam isu-isu wanita. Contoh yang lain, ada yang melonggokkan semua perhiasan yang Islam benarkan kepada wanita dalam bab tabarruj. Padahal wanita sejak zaman Nabi lagi memang berhias meskipun di luar rumah secara sederhana dan wajar. Rujuk buku hebat, Kebebasan Wanita Pada Zaman Risalah, karya Abdul Halim Abu Syuqqah.

3.      Ijabiah.
(Positif dalam memandang alam, manusia dan kehidupan)

Lihatlah manusia lain bagaikan emas. Siapa tidak mahu kaut emas banyak-banyak jika ia ada depan mata? Diambil untuk diproseslah.

Semua insan ada potensi besar untuk menjadi penghuni syurga jika mereka faham Islam dengan sebenar-benarnya. Jangan kita asyik pandang, ini adalah umat yang rosak. Akhir zaman sudah. Lepas itu, kita kecewa seorang diri dan tidak berbuat apa-apa.Takut-takut kita juga rosak akhirnya.

4.      Waqi’iyyah.
(Bersifat realisitik)

Misalnya hendak berdakwah kepada anak, remaja, atau anak saudara, tengoklah ini zaman apa? Ini  zaman skrin. Kita mesti realistik dalam memperlakukan individu dan masyarakat.

Masih ada lagikah daie yang menganggap TV itu haram? Tidak mahu beli TV, itu terpulang. Tapi, jangan sampai menghukum haram terhadap perkara yang kita tidak sukai. Usah juga perlekeh-lekehkan pilihan orang lain yang masih dalam batasan harus.

Kalau kita tidak bagi langsung anak main game misalnya, tengoklah anak itu akan menjadi apa? Dia akan memberontak. Kita perlu realistik. Ia bukan untuk disekat tapi perlu dikawal.

Para pendakwah perlu memanfaatkan apa-apa saja perkembangan dalam realiti hari ini selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak.


5.      Akhlaqiah.
(Berakhlak)
Biarlah akhlak mulia seperti berlembut sabar yang mendominasi dakwah kita.  Perlu banyak terang, bukan serang. Perlu banyak didik, bukan herdik.

Tapi ada ketikanya, perlu marah dan tegas. Setelah kelembutan tidak berbekas. Banyak contoh dalam sirah Nabi juga bersifat tegas. Tapi kelembutan dan kesabaran tetap mendominasi akhlak baginda.


6.      Syumuliah.
(Utuh dan menyeluruh)

Raikan kepakaran masing-masing. Dakwah tidak semestinya dimainkan oleh ustaz dan ustazah sahaja. Dakwah juga boleh dilakukan dalam cabang seni seperti muzik, lakonan, dan drama. Bahkan kalau kita berkerja sebagai perkerja kebersihan sekalipun, kita juga boleh berdakwah.

Bila kita cuci lantai, pasti lantai itu paling berkilat. Lalu, orang nampak akhlak Muslim yang hebat. Itu suatu dakwah.


7.      A’lamiyah.
(Mendunia)

Dalam isu Syria, Palestin, dan sebagainya, semua itu perlu diambil berat dalam dakwah kita. Tapi, jangan pula kuman di tempat orang, kita nampak. Tapi, gajah depan mata, kita buat-buat tidak nampak.

Misalnya, kita hebat menolong di tempat orang tapi anak-anak tidak cukup belanja sekolah. Isteri ditinggal tanpa nafkah. Kita sibuk mengajar anak-anak yatim di Afrika misalnya, tapi anak di rumah, kita tidak pernah peduli sudahkah dia mengenal alif, ba, ta.

Jangan kita menjadi bak kata pepatah, kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan. Nanti ia menjadi fitnah kepada dakwah.

Ya, dakwah ini mendunia. Seimbanglah. Khidmat bakti kita untuk sesiapa sahaja. Ini jiwa sukarela. Tapi, tugas asasi di rumah jangan dilupa. Jika tidak mampu mendidik mereka yang berada di rumah, kerana tuntutan tugas di luar, sekurang-kurangnya jagalah hatinya dengan bertanya khabar dan menjaga setia.


8.      Syuriah.
(Berpijak atas prinsip musyawarah dalam menentukan segala sesuatu)


Biasanya kita akan bermesyuarat dengan orang yang kita percayai. Hidup dalam jemaah, lebih barakah.


9.      Jihadiah.
(Berjihad)

Umat Islam bukan pengganas. Islam tidak sukakan peperangan dan kemusnahan. Namun, andai ada yang menghalang kita bersyahadah, menceroboh tanah air kita, mengancam dan berbuat zalim, kita bersedia untuk mati syahid bila-bila masa sahaja. Atas nama jihad suci. Kita adalah umat yang diajar cintakan kematian sepertimana musuh cintakan kehidupan.


10.   Salafiah.
(Menjaga ketulenan dalam pemahaman dan aqidah)

Sentiasa merujuk sumber yang terpelihara, al-Quran dan as-Sunnah. Merujuk Nabi SAW dan generasi salafussoleh.


Tugas Istimewa

Rasulullah SAW bersabda, 
“Barangsiapa menunjuk kepada kebaikan, dia berhak memperoleh pahala sebagaimana pahala orang yang melakukannya.” [HR Muslim]

            Baginda juga bersumpah,

 “Demi Allah. Sesungguhnya jika Allah memberi petunjuk kepada seseorang keranamu, itu lebih baik bagimu daripada unta merah.” [Muttafaqun a’laih]


Berat Tapi Berkat Reviewed by Fatimah Syarha on 12:28:00 Rating: 5 (Sumber foto: Google Image) Duhai hati,             Bersinarkah cita-citamu hendak menjadi pendakwah? Suka atau tidak, inilah pil...

No comments: