Berlutut di Hadapan Tuhan ( Saat Kitab Amalanku Dibaca ) - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Berlutut di Hadapan Tuhan ( Saat Kitab Amalanku Dibaca )

Bismillahhirahmanirahhim..

Firman Allah;
“Dan (pada hari itu) kamu lihat tiap-tiap umat berlutut. Tiap-tiap umat dipanggil untuk (melihat) buku catatan amalnya. Pada hari itu kamu diberi balasan terhadap apa yang kamu kerjakan.” 
[Surah Al-Jaatsiyaat, ayat 28]

Jika kita membaca buku motivasi yang ditulis oleh tokoh-tokoh barat, kita akan dapati sebahagian besar kaedah motivasi mereka hanya terhad kepada kejayaan hidup di dunia. Saya tidak nafikan ia adalah satu aspek yang penting dalam hidup kita dan saya sendiri kerap membacanya dan membuat rujukan.

Namun sebagai orang islam, motivasi yang paling baik untuk diri kita adalah motivasi yang menjurus kejayaan hidup di alam yang mempunyai dimensi yang lebih tinggi, iaitu Alam Akhirat.



Buku  BERLUTUT  DI  HADAPAN  TUHAN &  SAAT  KITAB AMALANKU DIBACA merupakan sebuah karya yang secara khusus untuk mengingatkan dan membincangkan tentang satu detik yang amat penting dalam perjalanan hidup kita, iaitu hari di mana catatan amal kita dibentangkan. Kami tidak nafikan masih ada babak-babak penting dalam perjalanan hidup  yang  perlu  kita lalui seperti alam barzakh, melintasi titian sirat dan sebagainya.

Sungguh, pihak penulis sendiri merasakan begitu tersentak dan bergetar di jiwa tatkala membaca penulisan para ulama’ tentang bab ini. Maka sebab itulah pihak penulis cuba mempersembahkan sedikit  ilmu  yang  Allah anugerahkan dalam bentuk karya kreatif agar samasama beroleh manfaat, khusus untuk penulis sendiri.

Pihak penerbit sering mendapat maklumbalas daripada para pembaca yang mempunyai pelbagai latarbelakang dan minat yang berbeza terhadap bahan bacaan. Ada yang suka membaca apa sahaja buku asalkan dalam bentuk novel. Namun tidak sedikit yang sebaliknya.

Bagi meraikan pembaca yang pelbagai latarbelakang, pihak penulis dan penerbit telah menghasilkan buku yang mempunyai dua bahagian seperti ini. Bahagian pertama adalah berbentuk novel dan bahagian kedua pula berbentuk non-fiction. Apapun bentuknya, paling penting adalah sejauh mana kita mampu menghayatinya dan mengamalkannya.



Sesungguhnya pembentangan  dan  penyerahan  kitab amalan ini akan di lalui oleh semua manusia. Ia merupakan satu saat yang cukup penting bagi menentukan kehidupan kita selepas itu, sama ada bahagia atau celaka.

Tiba saatnya nanti, setiap dari kita akan duduk dalam keadaan berlutut, menunggu nama dipanggil untuk menghadap Tuhan Semesta Alam. Sehingga tiba detiknya, nama kita dipanggil. Seruan itu benar-benar menggetarkan jiwa kita. Seluruh tubuh kita akan gementar dan kita dilanda ketakutan yang amat dahsyat. Kita akan berhadapan dengan Tuhan Semesta Alam secara berseorangan untuk diadili.

Seterusnya catatan kitab amalan dibuka dan dibentangkan di hadapan kita. Lalu diserukan kepada kita,

“Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu.” 
[Surah Al isra’, ayat 13-14]

Pada saat itu kita akan melihat apa yang telah kita lakukan di dunia ini. Semuanya dicatat dengan lengkap tanpa ada kekeliruan sedikit pun. Kita benar-benar mengharapkan rahmat dari Allah agar diampunkan kesalahan dan dosa-dosa yang kita lakukan sehingga melayakkan kita untuk menerima catatan itu dengan tangan kanan.

Kami  berharap buku ini menjadi best-seller di mata Allah. Jika  ia  dapat  menjadi  asbab  kepada  sedikit peringatan walau untuk seorang sahaja, ia sudah memadai atas penat lelah kami sepanjang menghasilkannya. Moga Allah beri ganjaran yang baik kepada kami.

Segala kisah dan watak dalam karya ini adalah rekaan. Ia tidak ada kena mengena dengan kisah sesiapapun. Pihak penulis memohon jutaan maaf jika terdapat manamana bahagian pada karya  ini  yang menyinggung hati pihak pembaca, atau  menyebabkan para pembaca berasa tidak begitu senang. Kami mengalu-alukan sebarang penambahbaikan dan cadangan agar karya ini dan karyakarya seterusnya dapat ditingkatkan kualitinya.

Kepada Allah kami mohon taufik dan hidayah-Nya. Semoga usaha kami ini sentiasa dalam keredhaan-Nya dan dicatatkan sebagai amal soleh yang bernilai. Amin...

Firman Allah:
Maksudnya: “Wahai  Tuhan   kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” [Surah al-Tahrim: 8]



Everyday is upgrading day.

Salam sebarkan bahagia,
Dr. Farhan Hadi Mohd Taib.
Fatimah Syarha Mohd Noordin.
Berlutut di Hadapan Tuhan ( Saat Kitab Amalanku Dibaca ) Reviewed by Fatimah Syarha on 10:26:00 Rating: 5 Bismillahhirahmanirahhim.. Firman Allah; “Dan (pada hari itu) kamu lihat tiap-tiap umat berlutut. Tiap-tiap umat dipanggil untuk (melihat...
Next
This is the most recent post
Older Post

No comments: