Projek Mega Dalam Rumah ( Siri II ) - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Projek Mega Dalam Rumah ( Siri II )

Projek Apa Ni? 

Siapa yang ada soalan yang sama seperti ini? Elok baca buku ini.

Anda sebenarnya berkongsi soalan yang sama dengan kami.

Buku ini bukan tentang betapa baiknya kami, tetapi betapa baik kami nak jadi. Bukankah kita sama-sama ingin diri dan keluarga kita jadi baik di mata Allah?

Samalah kita, masya-Allah!

Dunia tahfiz hari ini makin diminati. Ya, apabila persoalan kenapa dan mengapa (big why) sudah difahami. Siapa yang tidah mahu segala kemuliaan dunia dan akhirat yang Allah SWT janjikan.



Persoalannya:

i. Ada yang tidak mampu menghantar anak ke institusi tahfiz disebabkan kadar yuran di luar kemampuan.

ii. Ada yang mampu menghantar anak ke institusi tahfiz, tetapi apabila anak pulang ke rumah, anak itu tidak hidup dengan sistem hidup seorang hafiz atau hafizah. Sekejap saja sudah lupa semua ayat dan surah al-Quran yang dihafal. Aduh!

Ini semua masalah. Masalah untuk kita selesaikan. Tetapi, bagaimana?



Solusi yang mudah:

#adakanmasa

Wujudkan projek mega tahfiz sendiri dalam rumah kita. Bukan dengan angan-angan kosong, tetapi dengan perancangan yang bersistematik. Rapi dan terpandu dengan wahyu, ilmu dan pengalaman orang yang sudah berjaya.


Tapi, boleh ke kita buat? Kita sendiri pun sibuk. Hidup tunggang-langgang. Lebih malang, selalu terlupa hendak membaca al-Quran. Inikan pula hendak menghafal.

Ya, mungkin setiap hari kita sibuk. Boleh jadi juga setiap hari kita masukkan 'aktiviti penyibuk' dalam masa kita. Err, contohnya melekat dengan phone lama-lama, tidur melebihi had, tengok TV sampaikan TV pun tiada masa hendak berehat dan banyak lagi. Astaghfirullah.

Mungkin anak-anak yang sudah besar sibuk nak bermain. Anak yang masih kecil pula sibuk nak melekat dengan kita. Hah, sekarang pun mungkin sedang menangis sambil menjerit-jerit memanggil kita.

Kita yang begitu bersemangat sedang memegang al-Quran pun, boleh hilang fokus. Hinggakan terlupa ayat mana yang sedang dibaca. Allah!

Tak mengapa.

Be happy and always upgrade.

Yang penting kita mulakan dulu.

Bagaimana?

90% kejayaan ditentukan oleh faktor mental. Tahu big why? Semakin besar why yang kita faham, semakin berkobar-kobar semangat kita. Ketika itu, semangat yang menyala-nyala tidak boleh dipadamkan oleh apa-apa jua cabaran dan halangan yang merintang di depan.

Hebat bukan?

Dengan izin Allah jua.

Tidak kisahlah walaupun kita tidak pandai membaca al-Quran. Walaupun kita ini bukan ustaz atau ustazah. Jika kita #adakanmasa walaupun 10 minit sahaja setiap hari bersama-sama seisi keluarga menekuni al-Quran, apa hasilnya? Dalam masa 10 tahun akan datang, seluruh ahli keluarga boleh jadi hafiz atau hafizah, insya-Allah. Fuh, 'keluarga Allah' tu!

Buku Projek Mega dalam Rumah hadir sebagai satu bentuk buku keibubapaan yang faham niat suci kita.

Aura semangatnya sudah dikongsi dalam buku siri 1.

Dalam buku siri 1, apa yang kita sudah pelajari?

1. Lima sebab kenapa perlu cipta saat lazat seisi keluarga bersama-sama al-Quran?

2. Kisah-kisah hafiz atau hafizah.

3. Menjernihkan fokus hidup kita yang keliru dan celaru.

4. Merancang matlamat keluarga yang fleksibel dan dinamik.

5. Mengenal musuh tersembunyi yang boleh menjadi penghalang sesuatu matlamat dicapai.

6. Sikap berlembut ketika mengajar anak-anak al-Quran.

7. Inspirasi demi inspirasi.

Apapun, tahu big why sahaja, tetap tidak mencukupi.

Kita mesti tahu caranya. Yang mudah dan praktikal. Step by step. 

Dalam buku siri 2 ini, insya-Allah perjalanan menuju impian indah ini akan menjadi semudah membasuh baju dengan mesin basuh automatik atau memasak dodol dengan periuk tekanan tinggi. Canggih, cepat dan hasilnya pasti berkualiti, dengan izin Allah.

Bukan Siapa-Siapa.

Masya-Allah! Buku ini sudah berada di tangan anda! Alhamdulillah.

Nampak tak wajah saya sedang tersenyum? Gembira kerana anda sudi membaca buku ni. Terima kasih ya. Ehem, baca bismillah dulu.

Kenapa ya anda berminat nak baca buku ni? Cer citer... Cer citer...

Tergoda dengan kulit buku muka hadapannya?

Anda ada tengok keletah ulama kecil saya menghafal al-Quran di Instagram atau Facebook ya?

Atau ada sesiapa yang mencadangkan supaya membaca buku ni?

Hmm, walaupun saya tidak dapat mendengar jawapan anda, hati saya turut merasai apaapa yang anda rasa. I feel you. Cewah... Yalah, tentu anda ada cita-cita yang sama seperti saya. Betul tak?

Kita sama-sama ingin wujudkan sebuah keluarga al-Quran, kan? Cukuplah bertahun-tahun rumah tangga kita berjalan tanpa keutamaan yang jelas. Kali ini tidak lagi. Sesebuah keluarga mesti jelas visi, misi dan pelan tindakannya.

Bersiap sedialah semua ahli keluargaku!‛ Penuh semangat. Semangat yang tidak akan malap.

Bersedia untuk satu projek mega. Kitalah pengurus kepada projek itu. Kita mengurus ibarat  mengetuai sebuah syarikat gergasi peringkat antarabangsa. Projek ini bertujuan membina hubungan sangat cinta akan al-Quran.

Seronok bukan projek mega ini?

Semuanya bermula dengan diri kita sendiri sebagai ibu bapa. Kita mendidik dengan teladan. Inilah cara yang Nabi SAW ajar.

Ya, kita masih banyak kelemahan. Tetapi, kita perlu bersemangat membina diri sendiri. Maafkan diri sendiri. Beri diri kita peluang walaupun sudah banyak kesilapan yang kita lakukan. Hikmahnya, cara kita memperlakukan ahli keluarga juga akan menjadi lebih manusiawi. Saat kita tersilap, beranikan diri meminta maaf. Lalu, generasi kita belajar suatu akhlak yang indah iaitu mudah meminta maaf. Mudah juga memaafkan.

Indah bukan dikurniakan rezeki ada keluarga? Lebih indah apabila Allah rezekikan kita satu rasa. Rasa apa? Rasa ingin lakukan yang terbaik untuk mereka.

Walaupun Allah Maha Tahu diri kita tidak begitu baik. Sering leka dan alpa. kerap melupakan Dia. Banyak cacat cela. Tidak lekang daripada kekurangan sana sini.

Tak mengapa. Saya maafkan dikau, wahai diriku sendiri. Bukankah kelemahan ini merupakan ruang untuk kita sentiasa memperbaiki dan menambah baik kualiti diri sendiri?

Jom, kita hadiahkan dulu doa ini untuk keluarga tercinta:


Sebelum tu, anda dah kenal saya atau belum? 

Saya bukan siapa-siapa. Saya cuma insan bernama Fatimah Syarha. Saya masih dalam perjalanan ke suatu destinasi. Setiap hari saya cuma mampu menambahkan bacaan dan selalu ke seminar ilmu. Buah daripada perjalanan ilmu itu, saya ingin kongsi dengan semua. Boleh jadi juga, pembaca buku saya ini lebih berilmu dan beramal daripada saya. Tolong betulkan saya, andai terdapat apa-apa yang salah. Tolong lengkapkan apa-apa yang terkurang. Terima kasih sahabat seakidahku.

Terlalu banyak nikmat-Nya yang saya kecapi. Bimbang tidak setanding dengan amalan yang saya persembahkan. Semoga buku ini membantu saya memperbaiki diri. Andai ada mana-mana isi buku ini yang memberi inspirasi kepada anda, ingatlah, saya juga memerlukan inspirasi daripada anda. Jika sudi, hantarkan semula maklum balas berkenaan buku ini kepada saya. Boleh terus berhubung dengan saya di sebarkanbahagia@gmail.com.

Sekali lagi saya ingin beritahu anda. Saya bukan siapa-siapa. Namun, saya perlu ekspresikan rasa syukur saya kepada Yang Maha Pencipta. Ini salah satu caranya. Menerusi buku ini.

Nikmat terbesar dalam hidup saya adalah mengenali-Nya. Menjadi hamba dan khalifahNya. Membaca kalam-Nya yang luar biasa, mukjizat yang tiada tara. Ia mengubah hidup saya. Saya terasa seolah-olah dilamun cinta. Saya bersemangat untuk menyebarkan 'rasa' ini sehingga semua orang turut merasainya, bahkan lebih lagi. 

Saya juga bersyukur menjadi isteri kepada Dr. Farhan Hadi; insan yang paling sabar menerima sisi baik dan buruk diri saya. Sentiasa mencintai saat tawa dan tangis hidup saya. Suami yang berbuat baik kepada isterinya sepanjang masa. Tolong doakan ya, moga dia selalu setia, hehe... Moga cinta ini berkekalan sampai syurga tertinggi. Amin.

Saya juga berasa sangat bertuah menjadi anakanda kepada Allahyarham Haji Mohd Noordin bin Haji Abdullah dan Hajah Rusni binti Zakaria. Dua insan ini sangat mencintai alQuran dan panduannya. Semoga Allah SWT mengampuni dan mengasihani mereka sebagaimana mereka menyayangi saya sejak kecil.

Saya juga mensyukuri nikmat dikurniakan empat orang penyejuk mata. Setakat inilah empat. Bak kata suami saya, baru empat. (Yalah tu :) ). Saya suka memanggil mereka, ulama kecil. Mereka adalah:

1. Al Haura’ Maqsurah (8 tahun) bermaksud bidadari yang terpelihara. 
2. Al Qasira Torfina (6 tahun) bermaksud bidadari yang menundukkan pandangan kami. 
3. Al Iffa Tasleema (3 tahun) bermaksud harga diri yang penuh penghormatan. 
4. Eibadur Rahman Assa’dy (1 tahun) bermaksud hamba Allah yang berbahagia. 



Andai anda berada di hadapan saya, sudah tentu saya minta anda semua bercerita tentang anak-anak anda pula. Anak anda, seperti anak saya juga. Saya ingin belajar daripada semua orang di dunia ini.

Boleh jadi, anak anda lebih baik daripada anak-anak saya. Alhamdulillah. Saya pegang satu perkara. Usah bandingkan anak kita dengan sesiapa pun. Bandingkan diri anak kita dengan potensi lebih baik yang boleh dicapai. Everyday is upgrading day.

Baiklah. Sudah panjang sangat ni. Saya simpulkan, ya. Oleh sebab kita semua sangat mencintai generasi anak-anak kita, maka kita perlu lakukan sesuatu. Bukan begitu? Semoga kita betul-betul diberikan kekuatan untuk beramal, lalu generasi kita meneruskan misi membina peradaban. Insya-Allah. 


Salam sayang,
Fatimah Syarha Mohd Noordin 
Projek Mega Dalam Rumah ( Siri II ) Reviewed by Fatimah Syarha on 16:06:00 Rating: 5 Projek Apa Ni?  Siapa yang ada soalan yang sama seperti ini? Elok baca buku ini. Anda sebenarnya berkongsi soalan yang sama dengan kami....

No comments: