BUANG LABEL LESU - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

BUANG LABEL LESU


24 jam yang dimiliki dalam satu hari kadang kala rasa tidak mencukupi bagi sesetengah individu. Terkadang 24 jam sehari juga menjadi tidak produktif dan dibazirkan dengan melayan rasa malas dan lesu. Faktor pemilihan waktu tidur yang salah menjadi salah satu penyebab kelesuan. Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan bagi menghilangkan rasa lesu yang membelenggu diri.

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ لِبَاسًا وَالنَّوْمَ سُبَاتًا وَجَعَلَ النَّهَارَ نُشُورًا
“Dialah yang menjadikan untukmu malam (sebagai) pakaian, dan tidur untuk istirahat, dan Dia menjadikan siang untuk bangun berusaha.”

            Di dalam surah al-Furqan ayat 47 ini, jelas menerangkan firman Allah swt bahawa malam hari itu dijadikan untuk kita tidur dan merehatkan diri setelah seharian berusaha mencari rezeki dan ilmu pada siang hari. Namun begitu, pada masa kini dapat dilihat terdapat segelintir yang keluar pada waktu malam atau berjaga pada waktu malam sama ada bekerja atau melakukan hal-hal seperti menonton televisyen, bermain permainan video, atau melayari laman sosial.

Perkara-perkara seperti ini bukan sahaja boleh membuat badan menjadi lesu pada keesokan hari, malahan dapat menjejaskan kesihatan tubuh badan. Hal ini demikian kerana, keperluan tubuh badan kita untuk tidur adalah sama pentingnya dengan keperluan tubuh badan kita terhadap nutrisi dan senaman yang mencukupi atas faktor kesihatan. Menurut Hodgson (1991) dalam Potter & Perry (2005), tidur yang mencukupi diyakini dapat menjaga dan mengawal keseimbangan mental, emosi dan kesihatan.


Disamping itu, tidur selepas subuh atau dalam konteks Islam disebut sebagai Hailulah juga akan mengundang kepada kelesuan tubuh badan. Menurut Ibnu Taimiyah ketika dirinya berzikir setelah Subuh, beliau bersemangat dan kekuatannya bertambah di siang hari, tetapi ketika tidak berdzikir di waktu pagi setelah Subuh, beliau merasakan seperti kehilangan semangat di siang hari. Justeru, kita sangatlah digalakkan untuk melakukan sebarang aktiviti yang menuju ke arah kebaikkan selepas waktu subuh seperti, berdzikir, melakukan senaman, atau mengemas rumah. Tambahan pula, tidur selepas waktu subuh tidak digalakkan kerana ditakuti kehilangan rezeki dan tidak mendapat keberkahan di waktu pagi. Sabda Rasulullah saw:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِى فِى بُكُورِهَا
“Ya Allah, berkahilah umatku di waktu paginya.” (HR. Abu Daud)

            Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan bagi menghilangkan rasa lesu yang membelenggu diri. Antaranya ialah, waktu tidur yang betul dan mencukupi, menjaga pemakan dan melakukan senaman.

            Untuk membuang label lesu dalam diri, tidur dan rehat yang mencukupi dan pada waktu yang betul adalah sangat penting. Tidur yang mencukupi membantu memberi tenaga dan semangat untuk keesokan harinya. Oleh itu, adalah disarankan untuk tidur awal pada malam hari agar lebih segar apabila bangun di siang hari.


Pastikan jadual harian diatur dengan baik agar tiada tekanan yang dihadapi. Hal ini kerana, tekanan menganggu perjalanan harian kita yang boleh membuatkan kita sentiasa merasa letih, penat dan kurang bertenaga. Tambahan lagi, qailullah atau tidur disiang hari sebelum masuk waktu zohor adalah disarankan. Sabda Rasullah saw "Lakukanlah Qailulah, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak berani Qailulah" (Riwayat ai-Tabrani)

            Menurut David Dinges (1980), tidur di siang hari atau ‘quick nap’ mampu meningkatkan kecerdasan fikiran, meningkatkan kepekaan, dan semangat dalam diri.

Makanan yang baik adalah sangat penting terutama apabila kita perlu menggunakan tenaga fizikal dan mental kita. Kebanyakan yang mempunyai kelas atau bekerja di waktu pagi akan berasa kurang bersemangat dan lesu. Justeru, sarapan adalah sangat penting dan perlu diambil. Namun begitu, kuantiti makanan itu pelulah berada dalam kuantiti yang sedikit kerana jika pada waktu pagi kita mengambil makanan berat atau banyak, kebarangkalian untuk mengantuk itu adalah tinggi.

Disamping itu, makanan seharian yang kita ambil juga haruslah makanan yang sihat dan mengikut diet dalam piramid makanan. Kurangkan mengambil makanan yang tinggi kolestrol dan lebihkan makanan berprotien tinggi. Tambahan pula, tenaga-tenaga yang diserap ke dalam badan adalah daripada makanan yang diambil. Oleh itu, pilihlah makanan yang berkhasiat agar dapat membekalkan tenaga yang baik dalam badan dan makanlah dalam kuantiti yang mencukupi untuk tubuh badan tanpa mengikut hawa nafsu. Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat 168:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
“Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah setan . Karena sesungguhnya setan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”
 Seterusnya ialah senaman. Ramai yang mengetahui kebaikan senaman, namun berapa ramaikah yang sedar dan mengamalkannya? Senaman sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari perlu diamalkan bagi membuang label lesu dalam diri. Senaman yang merupakan pergerakan badan yang konsisten dan berulang kali mampu meningkatkan kecergasan diri. Senaman ringan seperti melakukan kardiovaskular dan ‘joging’ mampu membuang toksik dalam badan seterusnya membantu kita mengawal penyakit dengan lebih baik.

            Kesimpulannya, label lesu dalam diri dapat dibuang dengan pengamalan gaya hidup sihat agar minda lebih cerdas dan tubuh badan lebih produktif dan bertenaga. Justeru, 24 jam yang dimiliki setiap hari akan lebih bermanfaat dan digunakan dengan sebaiknya tanpa sebarang pembaziran masa.

Salam Sebarkan Bahagia,
Oleh: Nor Azuwa Mohammed Amran

BUANG LABEL LESU Reviewed by Fatimah Syarha on 11:27:00 Rating: 5 24 jam yang dimiliki dalam satu hari kadang kala rasa tidak mencukupi bagi sesetengah individu. Terkadang 24 jam sehari juga menjadi tidak...

No comments: