Tips Lebih Mesra Hafal Al Quran - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Tips Lebih Mesra Hafal Al Quran




Tip Lebih Mesra Hafal Al Quran


Kitab Ajaib

Jika ada suatu kitab ajaib yang boleh memberitahu manusia segala perkara menakjubkan, mahukah kita pada kitab itu?
Allahu Akbar!
Kitab itu adalah Al-Quran Al-Karim.
Dengan pengetahuannya yang mendalam, ia menjadi suluhan yang terang untuk membantu cara kita berfikir dan menjalani kehidupan.
Firman Allah SWT:
 “Dan sesungguhnya Kami telah mendatangkan sebuah Kitab (Al Quran) kepada mereka yang Kami telah menjelaskannya atas dasar pengetahuan Kami; menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Surah al-A’raf: 52)
Ia bukan kitab biasa. Ia luar biasa. Ia mukjizat. Keajaibannya kekal selamanya. Tidak mahukah kita mengenalinya dengan lebih dekat? Mahukah kita bersahabat dengannya lebih akrab?
Firman Allah SWT:
“Dan orang-orang kafir Mekah berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepadanya mukjizat-mukjizat dari Tuhannya?" Katakanlah: "Sesungguhnya mukjizat-mukjizat itu terserah kepada Allah. Dan sesungguhnya aku hanya seorang pemberi peringatan yang nyata". Dan apakah tidak cukup bagi mereka bahwasanya Kami telah menurunkan kepadamu Al Kitab (Al Quran) sedang dia dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya dalam (Al Quran) itu terdapat rahmat yang besar dan pelajaran bagi orang-orang yang beriman.(Al-Ankabut: 50-51)
Setiap ayat al-Quran itu tidak mampu ditandingi oleh sesiapapun. Ia kalam Tuhan. Hinggakan Allah SWT berfirman.
Katakanlah: "Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengan dia, sekalipun sebagian mereka menjadi pembantu bagi sebagian yang lain". (Al-Isra: 88)
Kitabullah, ia sebaik-baik perkataan. Menghafalnya insya Allah sangatlah mudah bagi seluruh umat. Mulakan perjalanan kita membacanya, menghafalnya serta menghayatinya.
Ada di kalangan kita yang meletakkan azam 2018 untuk lebih akrab dengan al-Quran. Bagus! Sama-samalah kita adakan masa menghafalnya. Pasti nikmat membaca al-Quran akan terasa lebih lagi.

      Baiki Dahulu Bacaan, Barulah Hafal

Saat anak kita masih kecil, bagaimana kita mula mengajar mereka menghafal?
Biasanya dengan mendengar. Mereka mendengar dan mengikut bacaan ibubapa. Mereka mendengar dan mengikut bacaan daripada radio dan youtube yang dipasang oleh ibubapa.
Apabila mereka mulai mengenal huruf, beri keutamaan kepada memperbetulkan bacaan sebelum menghafal. Kenalkan dengan ilmu tajwid. Saat ini, ilmu tajwid sangat mudah didapati dari pelbagai sumber. Mahu atau tidak sahaja…
Lebih bagus lagi, jika kita dan anak kita dapat membaca Al-Quran dengan disemak oleh Sheikh Al-Hafiz terlebih dahulu sebelum mulai menghafal 30 juzuk. Jika kita menghafal dengan bacaan yang salah, sukar nantinya kita mengubah tabiat itu.
Jangan pula kita berhenti atau menangguh hafalan kerana sukar berjumpa Sheikh al-Hafiz.
Teruskan menghafal Al-Quran dan tidak lupa memberi keutamaan untuk memperbaiki tajwid dan bacaan. Mulakan dengan cara yang mudah terlebih dahulu. Misalnya dengan mendengarkan kaset-kaset bacaan Syeikh Al-Minsyawi atau Al-Hashri sebelum mulai menghafal halaman tertentu bagi yang belum belajar ilmu tajwid.

Pilihlah Mushaf Khusus

Lebih baik jika kita cukup dengan menggunakan mushaf dari satu jenis penerbitan. (Baca, 1 jenis. Bukan sebuah mushaf sahaja.) Eloknya, kita tidak bertukar-tukar jenis penerbitan mushaf.
Kenapa?
Otak manusia lebih menyukai perencanaan yang terperinci.
Jadi, tetap dengan 1 jenis mushaf tujuannya supaya kita lebih mudah merancang langkah-langkah untuk menghafal.
Mushaf seperti yang diterbitkan oleh Raja Fahd atau Mushaf Utsmani adalah cetakan mushaf yang paling baik.
Kenapa?
Ia ‘standard’ dengan:
·         Setiap halaman terdiri dari 15 baris.
·         Setiap juz terdiri dari 20 halaman.

Warna Kertas Dalam Mushaf
Semakin banyak warna pada mushaf, semakin mudah dihafal. Dalam pembelajaran juga begitu. Buku yang berwarna-warni lebih baik. Otak kita lebih mudah merakamnya.

Warna kertas pada mushaf juga berpengaruh dalam menghafal. Hindari warna putih. Lebih baik memilih mushaf-mushaf yang kertasnya berwarna kuning atau hijau.
 Saat menghafal, otak kurang suka tulisan hitam di atas kertas putih.

Banyak kajian menunjukkan bahawa tahap kemampuan untuk menangkap, memahami dan menghadirkan kembali informasi semakin bertambah dengan menggunakan latar yang berwarna-warni.

Begitu juga banyak kajian yang menunjukkan bahawa untuk mengatasi kesulitan dalam belajar boleh menggunakan latar kertas yang berwarna-warni.

Menurut Dr. Majdi Obaid, ada 5 jenis mushaf berwarna yang baik untuk kita. Antaranya:
·           Mushaf yang lafaz Allah-nya ditulis dengan warna merah.
·           Mushaf dengan imu tajwid yang biasanya terdiri daripada 6 warna.
·           Mushaf yang sering disebut sebagai Mushaf Tematik di mana ayat yang mempunyai tema yang sama, maka warnanya juga sama.
·           Mushaf hafalan. Awal kata ditulis dengan warna merah. Ini mushaf yang sangat bagus, membantu orang yang menghafal untuk mengetahui ayat-ayat dengan mudah.
·           Mushaf yang wangi. Mushaf ini juga berwarna. Ketika mushaf ini dibaca, haruman dapat dicium. Mushaf ini juga bagus, kerana boleh merangsa pancaindera bau ketika menghafal sehingga hal ini sangat bermanfaat untuk mengoptimalkan pancaindera yang ada.

Ukuran Mushaf

Ukuran mushaf yang paling baik adalah dalam saiz yang mudah dibawa. Di dalam saku lelaki, ia muat. Di dalam beg tangan wanita, ia muat. Ini ideal.

Belilah mushaf seperti ini paling kurang 5 buah. Letakkannya di tempat-tempat strategik yang sering kita singgah dalam sehari. Misalnya:
1.      Ruang tamu
2.      Bilik tidur
3.      Kereta
4.      Tempat kerja
5.      Saku atau beg tangan

Biar mudah menjangkaunya di mana-mana. Biar kita dapat membaca al-Quran bila-bila masa sahaja dan di mana jua. InsyaAllah, dalam masa beberapa tahun lagi, kita akan menghafal keseluruhannya.

Sebuah kajian tentang pengurusan waktu menunjukkan pada dasarnya manusia menggunakan 30% - 60% dari masa hidupnya untuk melakukan aktiviti harian. Serta menggunakan sekitar 83% masa hidupnya untuk melakukan aktiviti sampingan. Maka kita harus mengoptimalkan waktu ini untuk menghafal Al-Quran.

Selalu bawalah Al-Quran! Insya Allah anda akan menemukan banyak sekali waktu untuk menghafal dalam sehari semalam.
Semoga tip-tip ini menjadikan kehidupan harian kita lebih mesra al-Quran dan terasa mudah menghafalnya.



Diterbitkan oleh Harian Metro: 12 sep 2017




Tips Lebih Mesra Hafal Al Quran Reviewed by Fatimah Syarha on 23:16:00 Rating: 5 Tip Lebih Mesra Hafal Al Quran Kitab Ajaib Jika ada suatu kitab ajaib yang boleh memberitahu manusia segala perkara menakjub...

No comments: