Macam Mana Nak Jatuh Cinta Berkali-kali Dengan al-Quran? - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Macam Mana Nak Jatuh Cinta Berkali-kali Dengan al-Quran?




Macam Mana Nak Jatuh Cinta Berkali-kali Dengan al-Quran?

Nikmat hidup adalah membaca al-Quran. Rahsia hidup ada dalam al-Quran. Peta hidup adalah al-Quran. Tapi…
Macam mana nak rindu al-Quran? Biar rindu itu berasap dan membara. Bagaimana nak berasa lazat saat membaca al-Quran? Biar al-Quran terasa lebih lazat daripada mencicip makanan kegemaran.
Bagaimana nak jadikan hidup kita, ibarat makan tak kenyang, mandi tak basah kerana al-Quran? Bagaimana nak buatkan al-Quran menjadi perbualan harian kita, mimpi malam kita dan target hidup kita?
Bulatkan dulu keinginan sekarang juga.
Impian kita al-Quran. Kawan baik kita al-Quran. Pendamping dalam kenderaan kita al-Quran. Lampu di dalam kubur kita al-Quran. Penolong kita di mahsyar al-Quran.
Hidup dan mati bersama al-Quran.
Inilah cita-cita agung yang akan menolak kita terus ke depan saat kita terjatuh. Menepuk bahu kita dengan motivasi saat kita tak berdaya lagi. Membuatkan hidup kita terus bercahaya dengan impian membina hubungan dengan al-Quran, membacanya, memahaminya, merenungkannya dan menghafaznya.
Ada dua cara untuk membantu kita terus bersemangat membina hubungan cinta dengan al-Quran:
1.      Tahu darjat Al-Quran.
2.      Rasai keagungan Al-Quran.

Darjat al-Quran
·         Al-Quran kalamullah.
Al-Quran itu kata-kata siapa? Ia bukan kata-kata Yang Dipertuan Agong. Bukan juga kata-kata pemimpin para Nabi dan Rasul. Tapi ia adalah kata-kata Pencipta yang jaaauh lebih mulia daripada kata-kata semua pemimpin ternama dalam dunia ini.
Allah SWT berfirman, “Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (yaitu) Al Quran yang serupa (ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka ketika mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa dibiarkan sesat oleh Allah, maka tidak seorang pun yang dapat memberi petunjuk” (Surah al-Zumar: 23)
·         Al-Quran digeruni makhluk lain.

Al-Quran bukan benda main-main. Ia mukjizat. Amanah yang berat.
 “Kalau sekiranya Kami menurunkan al-Quran ini kepada sebuah gunung (lalu dijadikan-Nya pada gunung tersebut akal sebagaimana manusia), pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah, disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu yang telah disebutkan di atas tadi, Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir (yang kerananya lalu mereka beriman).” (Surah al-Hasyr: 21)
·         Al-Quran menunjuk arah sepanjang kehidupan.
Dengan al Quran, jalan hidup yang gelap bertukar cahaya.
 “Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.” (Surah Ibrahim: 1)
·         Al-Quran adalah penyembuh.
Apabila kita diuji sakit, bukankah kita mencari ubat?
 “Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah al Isra’: 82)
·         Al-Quran bersinar menyinari.
Kita mahu cahaya atau kegelapan?
 “Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan.” (Surah al-Maidah: 15)
 Dan telah Kami turunkan kepadamu cahaya yang terang benderang (Al Quran).” (Surah al-Nisa’: 174)
·         Al-Quran adalah kitab peringatan.
Bukankah indah, saat kita leka, ada bicara Tuhan yang mengingatkan?
 “Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu” (Surah Yunus: 57)
“Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu bukti kebenaran dari Tuhanmu.” (Surah al-Nisa: 174)
·         Al-Quran penuh keberkatan.
Makin dibaca makin bertambah ilmu dan kesedaran.
 “Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.” (Surah Shad: 29)

·         Al-Quran menjelaskan segala sesuatu. Inilah kitab yang boleh memberi motivasi tiada tandingan dan memberi kegembiraan saat kesedihan.
 “Dan Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan kabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.” (Surah al-Nahl: 89)
 “Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu” (Surah Yusuf: 111)
·         Al-Quran membuatkan jin kagum saat mendengarnya.
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!`Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.” (Surah al-Jin: 1-2)
Allahu Akbar! Bagaimana pula sikap kita sebagai manusia?
"Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran atau adakah hati mereka terkunci?" (Surah Muhammad: 24)
·         Al-Quran, “Perkataan yang paling baik”
Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (yaitu) Al Quran.” (Surah al-Zumar: 23)

·         Al-Quran, bacaan yang sangat mulia. Allah berfirman, “Sesungguhnya Al-Quran ini adalah bacaan yang sangat mulia.” (Surah al-Waqiah: 77)

·         Al-Quran, kitab teragung. Allah berfirman: “Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan Al-Quran yang agung.” (Surah al-Hijr: 87)

·         Al-Quran, kitab tersangat mulia. Allah berfirman, “Demi Al-Quran yang sangat mulia.” (Surah Qaf: 1)

·         Al-Quran terlalu agung. Allah berfirman: “Demi Al-Quran yang mempunyai keagungan.” (Surah Shad: 1)

·         Al-Quran sarat hikmah. Allah berfirman: “Demi Al-Quran yang penuh hikmah.” (Surah Yasin: 1)

·         Al-Quran pemberi penerangan. Allah berfirman, “Al-Quran itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan.” (Surah Yasin: 69)

·         Al-Quran ibarat cahaya. Allah berfirman, “Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah dan kitab yang menerangkannya.” (Surah al-Maidah: 15)

·         Al-Quran adalah pembeza antara kebenaran dan kebatilan. Allah berfirman, “Mahasuci Allah yang telah menurunkan Al-Furqan (Al-Quran) kepada hambaNya.” (Surah al-Furqan: 1)

Inilah kedudukan Al-Quran.
Ia kitabullah.
Ia khabar dulu, kini dan akan datang.
Ia hukum yang tegas.
Ia mematahkan kesombongan.
Ia petunjuk.
Ia penyelamat daripada kesesatan.
Ia adalah tali yang kukuh.
Ia zikir yang utuh.
Ia jalan yang lurus.
Ia memandu nafsu.
Ia meluruskan lidah.
Ia membentangkan ilmu seluas lautan.
Ia tidak pernah lapuk dan basi.
Ilmunya penuh keajaiban.
Ia memandu hujah kita menjadi benar.
Ia menunjuk cara berhukum yang adil.
Ia memotivasikan kita dengan syurga dan pahala.
Wujudkah kitab lain sedarjat al-Quran?
Tidak ada, demi Allah, tidak ada. Tetapi, apa sudah jadi dengan sikap kita terhadap al-Quran?

Allah berfirman, “Berkatalah Rasul. Wahai Tuhanku,sesungguhnya kaumku menjadikan Al-Quran ini sesuatu yang tidak diacuhkan.” (Surah al-Furqan: 30).
           Apa sudah jadi dengan kita? Kenapa kita meninggalkan sebuah kemuliaan? Ya Allah, izinkan kami jatuh cinta berkali-kali dengan al-Quran setelah mengetahui kemuliaannya ini.


Macam Mana Nak Jatuh Cinta Berkali-kali Dengan al-Quran? Reviewed by Fatimah Syarha on 21:30:00 Rating: 5 Macam Mana Nak Jatuh Cinta Berkali-kali Dengan al-Quran? Nikmat hidup adalah membaca al-Quran. Rahsia hidup ada dalam al-Quran. Pe...

No comments: