Yakin, Sakit Itu Hadiah daripada Allah SWT! - Fatimah Syarha

728x90 AdSpace

Terkini

Yakin, Sakit Itu Hadiah daripada Allah SWT!


Yakin, Sakit Itu Hadiah daripada Allah SWT!

Apa Paling Menyakitkan?
Mari kita bertanya kepada guru bernama kehidupan. Dalam hidup ini, apakah ujian yang paling menyakitkan? Ya, ada banyak kes kesakitan. Mana yang paling sakit? Adakah apabila diuji penyakit kronik? Atau diejek? Dipenjara? Dianiaya? Disindir? Dibuli? Dihukum? Dibelasah? Kurang kasih sayang?  Kerugian bisnes? Dirundung kesedihan? Menjadi orang buangan? Menjadi mangsa propaganda para pembenci? Diancam samseng? Dikhianati insan terdekat? Bimbang kedegilan pasangan dan anak-anak? Dihancurkan perasaan dengan fitnah dan menyalahkan? Negara diperangi dan ditakhluk musuh? Disalahguna?
Apapun ujian yang menimpa kita, apakah kekuatan yang kita perlukan? Bukan hanya kekuatan ubat tetapi kekuatan ‘yakin.’ Ujian itu ‘hadiah’ daripada Allah SWT. Yakinlah! Ujian adalah ‘pangkat’ yang menaikkan darjat kita. Meskipun ia datang sebagai hukuman atas kesalahan, ia tetap ‘hadiah’ Tuhan. Mana lebih sakit, hidup didera kesalahan atau diusap keampunan? Ujian bagaikan jambatan yang membawa kita sampai kepada kegembiraan sebuah kesabaran.
Damailah dengan firman-Nya:
Tidak ada sesuatu musibahpun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (At Taghabun: 11)
Pahala Tercucuk Duri
Mungkin ada di antara kita saat ini yang diuji perlu melalui rawatan di hospital. Ada yang melihat doktor sahaja sudah gerun apatah lagi saat melihatnya memakai sarung tangan, kemudian mengambil syringe (picagari suntikan) dan menyedut ubat bius ke dalamnya.
Ada orang mengalami sekecil-kecil luka, hingga sebesar-besar luka. Ada kalanya luka yang perlu dirawat kecil sahaja. Hanya memerlukan satu atau dua jahitan. Namun ada kalanya luka begitu besar sehingga memerlukan berbelas-belas, malahan berpuluh-puluh jahitan.
Apapun, yakinlah, ia ‘hadiah’ daripada Allah SWT.  Semoga semua proses ini memberikan pahala kepada setiap mereka yang melaluinya. Allah SWT sentiasa menghadiahkan kebaikan untuk setiap kesakitan kita meskipun sekadar tercucuk duri.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak ada satu musibah (ujian) yang menimpa seorang Mukmin walaupun tercucuk duri, melainkan dengan musibah itu Allah akan mencatatkan untuknya satu kebaikan atau menghapus satu kesalahannya.” (Riwayat Muslim).
Apakah Yang Paling Sakit?

Tahap-Tahap Kesakitan

Penyakit apakah paling menyakitkan?  Setiap penyakit adalah menyakitkan. Ia mempunyai skala kesakitan yang tersendiri. Ada orang yang datang dengan penyakit migrain yang biasa-biasa sahaja. Namun ada yang teramat teruk sehingga perlu dipapah untuk berjalan.
Di hospital, skala kesakitan diukur dengan skala Pain Score. Nombor 1 adalah sakit yang paling ringan, dan nombor 10 adalah paling maksimum. Pain score bertujuan untuk membantu para doktor memilih ubat tahan sakit untuk diberikan kepada pesakit. Semakin tinggi skala pain score, maka semakin kuat dos ubat penahan sakit yang perlu disediakan.
Dapatkah kita bayangkan bagaimana skala kesakitan pada tahap 10? Ia nilai maksimum untuk kesakitan. Selalunya tahap ini dapat dilihat pada keadaan pesakit yang meraung dengan kuat dan tidak lagi menghiraukan orang di sekeliling.
Secara umumnya, rata-rata kesakitan yang reaksi pesakitnya ‘mencemaskan’ adalah kesakitan yang disebabkan oleh batu karang. Pesakit tanpa segan silu akan menggelupur di atas lantai. Ia kerap berlaku kepada orang lelaki, terutama jika badan kekurangan air kosong untuk tempoh yang lama.
Itu baru kes nak keluarkan batu kecil dari kemaluan lelaki. Sakitnya tidak terperi. Bagaimana pula keadaan pesakit yang nak mengeluarkan seorang manusia daripada kemaluannya?
Bagi wanita, kesakitan bersalin mungkin adalah yang paling ‘tak terdaya’. Bayi yang biasanya sebesar 2.5 kilo sehingga 3.8 kilo perlu melalui jalan normal itu, jika tidak jalan pembedahan terpaksa dilakukan. Menghiris berlapis-lapis kulit.
Tanyalah wanita yang pernah melalui kesakitan hendak bersalin. Meskipun mulut mereka cuba merahsiakan raungan, namun keadaan mereka rata-rata bagaikan memberitahu kita sakit adalah pada tahap yang maksimum. Kesakitannya umpama dipatah-patahkan 20 tulang sekaligus di dalam badan.
Sebenarnya masih ada satu lagi keadaan yang paling menyakitkan. Semua orang pasti akan melaluinya. Saya, para pembaca dan semua manusia pasti akan melalui saat itu.
Semua agama tidak menolak fakta wujudnya saat itu, termasuk juga mereka yang tidak beragama dan para ateis. Itulah saat sakkaratul maut.
Disebutkan dalam beberapa rujukan, kesakitan saat ini sukar diketahui secara langsung. Orang yang sedang mengalaminya kebiasaannya tidak mampu berkata-kata untuk menjelaskan sakit yang mereka tempuhi. Setelah itu, mereka telah menjadi jenazah dan sudah tentu tidak dapat menceritakan apa-apa lagi.
Sama ada orang yang sedang menghadapinya di atas katil, mahupun yang menghadapinya di jalan raya, kesakitannya tetap sama. Bahkan orang yang menghadapinya tanpa jeritan dan raungan juga sebenarnya menghadapi keperitan yang sama.

Seperti Dilibas 300 Pedang
Pernahkah kulit kita terkena pisau dengan keadaan luka yang dalam? Tentu sekali menyakitkan. Pedihnya susah untuk diungkap. Mungkin air mata sahaja yang mampu meleleh menahan kesakitan. Namun ia masih belum setanding dengan kesakitan dilibas pedang.
Bagaimana pula sekiranya seseorang itu menghadapi 300 libasan pedang serentak? Sebagai seorang manusia, tidak ada yang mampu menahannya. Itulah antara gambaran kesakitan ketika menghadapi saat ini.
Rasulullah SAW bersabda menjelaskan hakikat ini kepada kita: (Rasa sakit kematian) itu setara dengan 300 libasan pedang. (Riwayat Ibn Abi al-Dunya)
Dilibas dengan pedang sebanyak 300 kali? Dapatkah kita membayangkan keadaan tersebut? Beberapa libasan sudah cukup untuk membuatkan kita tak mampu menanggung kesakitannya. 100 libasan akan menyebabkan badan kita hancur tercincang. Bagaimana pula dengan 300 libasan?
Itu ialah bentuk kesakitan secara umum. Namun skala kesakitan, Allah lebih mengetahui, bergantung kepada tahap amalan masing-masing. Malaikat Maut cukup kenal kita untuk mencabut nyawa secara lembut atau keras.
Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kami. Ringanlah kesakitan kami di saat sakkaratulmaut.

Temu Duga Kematian
Terdapat beberapa kisah yang menyebut ungkapan beberapa orang yang sempat melafazkan kesakitan ketika dalam sakkaratulmaut.
Seorang sahabat Nabi sangat ingin mengetahui bagaimana rasanya sakkaratul maut. Kebiasaan insan yang ditemuinya tidak terdaya menceritakan kepedihan detik itu. Sehinggalah beliau sendiri menghadapinya, anaknya lalu cuba bertanya.
Diriwayatkan ketiku Amru bin al-As sedang menghadapi sakaratulmaut, anaknya yang bernama Abdullah berkata kepadanya, “Wahai ayah, engkau pernah mengatakan, ‘Seandainya saya dapat bertemu dengan seseorang yang berakal ketika kematian datang sehingga dia dapat menceritakannya kepadaku tentang apa yang ditemuinya.’ Sekarang engkaulah orangnya, maka ceritakanlah kepadaku.”
Amru bin al-As berkata, “Wahai anakku! Demi Allah, seolah-olah aku bernafas dari lubang jarum dan seolah-olah ranting duri dicabut dari kakiku hingga ke kepala.”
Seorang yang lain, saatnya hampir meninggal dunia pernah ditanya, “Bagaimana kesakitan yang kamu rasai?”
Orang itu menjawab, “Aku dapati seperti langit runtuh ke atas bumi, kemudian ia menghempap diriku dan aku dapati diriku seperti ditarik keluar dari lubang jarum.”
Begitu juga seorang lagi yang sedang menghadapi sakkaratulmaut apabila ditanya, dia menjelaskan, “Aku dapati diriku ditarik dengan kuat, seperti banyak pisau besar di hatiku dan hatiku seperti ketuhar yang dibakar sehingga apinya menyala-nyala.”
Ini kesakitan sakkarat orang-orang soleh. Bagaimana pula kesakitan kita yang kurang soleh ini? Allahu!
Jika skala maksimum kesakitan penyakit di dunia ialah 10, dapatkah kita membayangkan bagaimana skala kesakitan sakkaratulmaut? Saya percaya skala kesakitan itu berlipat kali ganda melebihi bahkan melampaui skala maksimum kesakitan yang mampu kita ukur semasa hidup. Wallahua’lam.
Semoga Allah kurangkan kesakitan kita semua pada saat itu. Saat nyawa hampir terpisah dari jasad.
Apabila berhadapan kes pesakit yang berhadapan sakkaratul maut, saya bertanya diri. Apakah cara kematian yang boleh mengurangkan kesakitan ini? Andai diberi pilihan, saya ingin mati syahid! Antara dua kematian, mana lebih menyakitkan? Sama ada mati serta-merta ditembak Zionis tepat ke kepala atau mati perlahan-lahan di katil pesakit? 
Ada di kalangan sahabat Nabi menganggap, dilibas ratusan pedang di medan jihad lebih ringan sakitnya berbanding dilibas 300 pedang sekali gus di katil sakkaratul maut. Ya Allah, pilihlah diriku dan keluargaku serta insan yang kusayangi sebagai syuhada di jalan-Mu.
Renungilah. Kita semua akan melalui sakkaratul maut. Kematian adalah hakim yang paling tegas. Apabila ia berkata “Ya”, maka tiada sesiapa pun yang dapat menghalang. Jalan cerita hidup kita tentu sekali berbeza, namun pengakhirannya tetap sama. Iaitu kematian. Namun perjalanan setelah itu bergantung kepada jalan cerita hidup tadi.
Aduh, Tulang Rusukku!
Menurut Dr. Farhan Hadi bin Mohd Taib, pensyarah beliau, seorang pakar kardiotorasik menceritakan bahawa hampir kesemua pesakit yang menjalani ujian pembedahan kardiotorasik, termasuklah pintasan jantung, mengalami kesakitan yang amat luar biasa.
Pembedahan kardiotorasik biasanya melibatkan sternotomy dan tulang rusuk dibuka. Pesakit selalunya memerlukan ubat tahan sakit yang begitu kuat untuk melegakan kesakitannya. Malahan kesakitan itu boleh dirasai hingga beberapa tahun meskipun luka telah sembuh dan pesakit telah menjalani kehidupan harian seperti biasa.
Itu baru sakit di dunia. 5 minitpun tidak tertanggung. Tidak sabar-sabar kita mahu menghilangkan rasa sakit itu dari hidup kita. Bagaimana agaknya rasa sakit tatkala tulang rusuk dihimpit kubur? Apatah lagi kalau himpitan itu tidak mahu terbuka. Allahu Rabbi!
Mungkin sebab itulah disebut antara seksaan kubur, disempitkan kubur sehingga tulang-tulang rusuk berhimpitan. Allah ingin mevisualisasikan kepada kita bahawa azab kubur begitu berat dan menyakitkan, sehingga digambarkan kesakitan tidak terperi pada tulang-tulang rusuk. Apa tidaknya, dari sudut ilmu perubatan, memang jelas pembedahan atau kecederaan pada dada begitu menyakitkan. Itu baru di dunia. Di sana pula bagaimana?
Sabda Rasulullah SAW: “… Maka panas dan wap panas itu mengenainya. Lalu disempitkan kubur sampai tulang-tulang rusuknya berhimpitan…” (Riwayat Ahmad, al-Nasa‘i, Ibn Majah dan al-Hakim)
Semoga kesakitan yang kita alami di dunia ini menghapuskan dosa-dosa kita seterusnya menjauhkan kita daripada azab kubur dan azab-azab yang lain. Yakinlah, kesakitan sementara di dunia ini tetap suatu hadiah daripada Allah SWT.

Diterbitkan oleh Harian Metro
Yakin, Sakit Itu Hadiah daripada Allah SWT! Reviewed by Fatimah Syarha on 10:42:00 Rating: 5 Yakin, Sakit Itu Hadiah daripada Allah SWT! Apa Paling Menyakitkan? Mari kita bertanya kepada guru bernama kehidupan. Dalam hidup ...

No comments: